Monday, June 6, 2011

Antara masa silam,masa sekarang dan masa depan

Langit sudah tenang dan pelangi bersedia mewarnai dada langit pada petang yang lewat itu. Tinggal saya berdua dengan teman saya yang berjeans hijau di sebuah warung, ketawa bercerita tentang masa lalu. Lalu datang kawan saya yang berambut kental.

Tanpa meminta izin terus sahaja dia meneguk kopi O saya yang sudah suku. Ketawa kami berdua mengendur. Mata kami tertumpu pada kawan saya yang berambut kental hairan. Habis air saya dihirup dia memandang kami dengan mata yang separuh redup.

“Kamu semua perlu hati-hati...,” kata kawan saya yang berambut kental itu sebelum dia bersin. Selepas itu dia menyambung.

“Perlu hati-hati sekiranya ada seseorang yang datang kepada kamu membawa berita berkenaan seseorang yang kamu kenal.”

Kami kehairanan melihat gelagat dia pada hari ini sungguh-sungguh pelik dan kebingungan dibuatnya tetiba bercakap sedemekian.

“Misalnya, kalau ada orang yang membawa berita tentang saya, menceritakan sisi gelap pada masa silam saya, lalu apa yang mahu kamu perbuat?” soal kawan saya berambut kental itu. Matanya mengarah ke arah saya.

Saya hanya menggeleng lalu mencapai gelas kopi O saya sebelum kembali menyedari kopi O saya sudah dihabiskan oleh kawan saya yang berambut kental itu.

“Jangan kamu tidak percaya. Percaya sahaja berita orang itu walaupun kamu tidak kenal kerana saya juga manusia biasa yang punyai sisi gelap saya sendiri tetapi ingat satu hal....” kawan saya yang berambut kental itu menarik nafas panjang sebelum mengambil pula air coklat panas teman saya berjeans hijau yang masih belum sampai separuh. Dia menghirup pelan-pelan. Teman saya berjeans hijau matanya memerhati.

“Cuma ingat satu hal, saya juga manusia yang pasti punyai hati. Biar segelap mana pun masa silam saya, jangan kamu menidakkan apa kebaikan yang saya sudah perbuat pada masa sekarang. Tolong jangan menghukum saya. Kerana jika pun saya layak dihukum, hanya Tuhan dan orang yang pernah merasai gelapnya masa silam saya yang layak melumatkan hati saya.”

Air coklat teman saya berjeans hijau sudah tinggal separuh dihirup. Tangan kawan saya berambut kental itu menyekat baki air coklat yang tersekat di hujung bibir. Menyekat dengan lembut seperti menyekat air mata seorang gadis.

“Lagi, satu hal yang kamu semua perlu ingat. Manusia itu fitrahnya mahu berubah. Kerna untuk apa kata taubat jika manusia itu tidak bisa berubah. Untuk apa buku-buku pembina jiwa sekiranya manusia itu sudah tidak bisa berubah. Begitu juga dengan saya, saya juga bisa berubah. Jika pun tidak sekarang tetapi jauh dalam hati saya tidak pernah lepas berdoa. Bukan sahaja berdoa untuk diri saya, malah berdoa untuk semua insan yang pernah menderita pada masa silam saya yang gelap.”

Saya tunduk memerhati muka meja, kemudian memerhati gelas kosong yang tadinya penuh berisi air coklat.

“Jadi, jangan menghukum saya. Saya pohon. Jangan membina ketetapan awal ke atas diri saya sebelum kamu benar-benar mengenali diri saya. Kerana apa yang kamu lihat sekarang, apa yang kamu perhatikan sekarang hanya suku daripada diri saya. Selebihnya diri saya tertinggal di rumah. Tertinggal pada ibu, pada ayah, pada adik, pada kakak dan pada saudara-saudara saya yang lain. Mungkin mereka tidak mengenali saya seperti mana Tuhan mengenali saya hamba-Nya. Tetapi setidak-tidaknya mereka mengenali saya dari kecil dan mereka tahu yang saya sayang mereka semua. Seperti saya sayang kamu. Beza kamu tidak tahu hal itu. Maafkan saya kerana membuat kamu gusar dengan masa lalu saya. Maafkan saya sebab tidak bisa membuat kamu senang dengan pekerti halus saya sekarang.”

Kawan saya yang berambut kental itu bangun. Saya dan teman saya berjeans hijau masih memerhati. Kawan saya yang berambut kental itu mengeluarkan satu not RM50 lalu meletakkan di atas meja.

“Bayar dan ambil bakinya,” pesan dia lalu beredar pergi. Air kami berdua tidak lebih RM5.00. Bermakna ada lagi RM45.00 yang boleh untuk makan dengan sakan.

Saya dan teman saya berjeans hijau memerhati kawan saya berambut kental itu pergi menjauh lalu hilang di balik pokok yang masih tetap sama seperti hari-hari lalunya. Angin petang kemudiannya muncul menyolek lembut wajah saya yang berminyak.

Datang seorang lelaki muda bermisai galak lalu bertanya, “Kamu ada lihat lelaki yang berambut kental itu?”

“Mengapa?”

“Dulu, dia pernah berbual dengan saya lalu memesan makanan yang banyak. Lelaki yang berambut kental itu bermulut manis dan berkata yang macam-macam juga dia berjanji mahu membayarkan juga makanan saya. Tetapi akhirnya saya yang membayar makanannya kerana dia terus pergi lalu kabur tanpa rasa bersalah apa-apa pun. Jadi saya nasihatkan kamu berdua, sekiranya menjumpai seorang lelaki yang berambut kental, jangan beri dia duduk berbual dengan kamu. Dia lelaki yang suka mengambil kesempatan. Hatinya gelap, segelap tujuh malam tanpa purnama. Jauhi dia. Jangan jadi seperti saya. Terpedaya.”

Saya lalu memejam mata. Berfikir berkenaan kata-kata lelaki bermisai dan kawan saya yang berambut kental. Ternyata terlalu banyak yang mahu difikirkan. Antara masa silam dan masa hadapan, ada masa sekarang yang jadi penentu.

No comments:

Post a Comment