Sunday, July 3, 2011

Makhluk Derita Dan Insan Asuhan Rabbani



Apabila makhluk derita dan duka menakluk diri insan, bilamana segala usaha dan segala jalan yang dicari menemui jalan buntu,pada saat itu perasaan putus asa pasti akan terwujud,jika masih ada dalam jiwanya iman,dia akan mencari Tuhan.Betapa ramai yang mempelajari kemustajaban doa ketika dia dalam derita.

Antara doa yang diajar oleh Nabi s.a.w ialah seperti yang disebut oleh baginda dalam hadis:

“Doa orang yang dalam kesusahan: “Ya Allah, rahmatMu yang daku harapkan. Jangan Dikau serahkanku kepada diriku walaupun sekelip mata. Baikilah untukku urusanku semuanya. Tiada yang diabdikan diri melainkan Engkau”. (Riwayat Abu Daud, bertaraf sahih).

Alangkah indahnya intipati doa yang dianjurkan Nabi s.a.w mendidik umatnya supaya serahkan segala urusan yang dilakukan hanyalah berserah kepada Allah pencipta kita.

Dengan derita dan duka juga,manusia yang punyai asuhan rabbani dan ketakwaan yang jitu akan bertawakal kepada Allah.Tawakkal disini adalah selepas segala usaha yang dilakukan kemudian penentu segala-galanya kepada Allah sebagai tempat pergantungan yang sebenar-benarnya.Sebagaimana firma Allah:

“..sesiapa bertawakkal kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya” (Surah al-Talaq, 3).

Banyak dosa yang terhapus apabila makhluk derita menjenggah dalam hidup kita dan darjat kita disisi Allah akan diangkat.Nabi s.a.w bersabda:

“Tidak seorang muslim pun yang ditimpa keletihan, penyakit, susah hati, sedih, disakiti orang, derita, sehingga jika sebatang duri menikamnya, kecuali Allah memadamkan dengan itu semua dosa-dosanya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

No comments:

Post a Comment