Friday, July 15, 2011

Pidato HAMKA sempena penganugerahan Doktor Kehormat Persuratan/Undang-undang di Universiti kebangsaan Malaysia Bangi, 1974


Yang amat berhormat Canselor, yang berhormat pro canselor, tuan-tuan yang terutama, dif-dif terhormat dan saudara saudari sekelian.

Assalamualaikum wbt.

Tidak ada kata yang dapat saya ucapkan, hanyalah setinggi-tinggi terima kasih atas anugerah yang saya terima dari Universiti Kebangsaan Malaysia, hasil usaha perjuangan dari negara Malaysia, tetangga karib serumpun seasal, seadat kebudayaan dengan negara saya dilahirkan, Republik Indonesia.

Sebenarnya sejak usia saya 17 tahun, sekitar tahun 1925 saya telah mulai berlatih mengarang dan mulai memberanikan diri meningkatkan tangga mimbar untuk berkhutbah jumaat atau pidato tabligh. Hidup, perjuangan dan ajaran ayah saya telah beransur-ansur tumbuh dalam diri saya. Pokok ajaran itu ialah jiwa yang bebas merdeka, kerana tidak ada tempat takut melainkan Allah dan jangan diambil orang kafir jadi pemimpin. Kemerdekaan jiwa itu tersimpul dalam di dalam kalimah Lailaha illah Allah; Tidak ada Tuhan yang disembah dan yang patut ditakuti melainkan Allah. Dengan itu kita hidup, dengan itu kita mati, dengan itu kita akan bangkit kemudian hari.Itulah dia tauhid dan itulah dia Islam dan itulah dia kebenaran.

Kita wajib berjuang atau berjihad menegakkannya selagi hayat dikandung badan. Segala kesanggupan yang ada pada kita gunakanlah untuk perjuangan itu, baik dengan lisan berpidato, atau dengan tulisan mengarang. Menurut beliau, penjajahan adalah punca dari segala bahaya yang dapat memadamkan roh tauhid itu. Kebodohan dan kejahilan umat adalah tempat bertapaknya penjajah. Sebab itu isilah jiwa umat dengan ilmu agama yang sejati dengan bahasa yang dapat mereka fahamkan. Akhirnya kaum penjajah mengetahui juga bahawa ayahku merbahaya buat mereka. Sebab itu beliau pun dibuang dan diasingkan dan meninggal di Tanah Jawa.

Didikan beliau itulah yang mendorong saya untuk menyelidiki agama lebih mendalam. Kerana dengan kail panjang sejengkal tidaklah laut dapat diduga. Saya dalami bahasa Melayu ini dengan penuh cinta dan saya khususkan perhatian saya kepada sejarah Islam di tanah air ini. Rupanya bahasa Melayu telah berkembang dengan baik kerana agama Islam. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa persatuan sebelum pemuda-pemuda Indonesia bersumpah ditahun 1928. Pulau-pulau yang sekarang bersatu menjadi Republik Indonesia dahulu bernama ’Gugusan Pulau-pulau Melayu’ kerana walaupun terdapat di sana berpuluh-puluh bahasa suku, seumpama bahasa Jawa, Sunda, Aceh, Batak, Bugis dan lain-lain, namun sejak beratus tahun yang lalu bilamana mereka hendak berhubung, bilamana hendak surat menyurat, mereka memakai bahasa Melayu. Demikian juga di semenanjung ini, didiami oleh berbagai kaum, baik sebelum penjajahan orang putih datang atau sesudahnya, bahasa perhubungan adalah bahasa Melayu.

Islam mengambil bahagian yang amat mustahak dalam perkembangan bahasa ini kerana usaha alim ulama Islam dan pengarang Islam.

Dia (bahasa melayu) telah terhunjam di hati kita dan terpahat dihati kita dan tetap hidup. Jika orang hindu telah memahat candi purbanya untuk menunjukkan dia pernah berpengaruh di sini, dan agama buddha memahat candi Borubudur dan Muara Takus, maka nenek moyang orang islam telah memahatkan peraturan agama islam dengan bahasa Melayu diatas Batu Bersurat Terengganu. Tidak mati dan tetap hidup dan apa yang sekali dipahatkan itu, tidak dapat dihapuskan lagi.

Sejarah dari batu itu sendiri yang telah bertahun-tahun terinjak-injak dan dilupakan orang kemudian didapat kembali adalah qias dan ibarat tentang nasib kita pemeluk islam di kedua tanahairku ini. Kemudian berturut-turut lah alim ulamak dan ahli-ahli pakar Islam memakai bahasa Melayu untuk memperkukuh islam dibumi yang subur ini. Karangan mereka dijadikan pegangan di seluruh negeri-negeri kita semasa hubungan ke mekah dan mesir belum selancar sekarang. Itulah beliau al-Syeikh Aminuddin Abd Rauf Orang Singkel, Hamzah Orang Fansuri, Nuruddin Ar-Raniri, Syamsuddin Sumaterani, Abdul Hamid Palembani, Arsyad Albanjari, Ahmad Khatib Al Minangkabawi, Daud Fatani, Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi, Raja Ali Haji. Semuanya memperkaya bahkan memberi bahasa Melayu jiwa yang hidup, jiwa taat kepada Tuhan dengan tidak kita lupakan pula pengaruh zamannya. Bukan lagi menyembah dewa dan keinderaannya.

Di awal abad ke -20 ini datanglah semangat baharu dalam Islam, menjalar juga dari Arab dan Mesir ke tanah air kita. Maka bangkitlah di Malaysia ini Tuan Guru Syeikh Tahir Jalaludin diiringi oleh Syed Syeikh Al Hadi. Dan bangkit di Sumatera Syeikh Muhammad Jamil Jambek, Syeikh Abdullah Ahmad dan ayah saya Syeikh Abdul Karim Amrullah dan bangkit di Tanah Jawa Syeikh Ahmad Dahlan, semuanya memakai bahasa Melayu.

Semuanya inilah suri teladan yang saya turuti. Saya mengarang dalam bahasa Melayu, berpidato dalam bahasa Melayu. Apabila pena saya tercecah ke atas kertas yang tergambar dalam otak saya ialah seluruh nusantara ini, seluruh bangsaku dan umat seagama yang memakai bahasa ini, Melayu, tetapi lebih luas apa yang dinamai Malaysia sekarang. Tanah jawi, tetapi lebih luas dari Pulau Jawa, Indonesia dan Malaysia sekarang. Tanah itulah semuanya tempat saya mengabdi, tempat saya berkhidmat. Sebagai saya katakan tadi, khidmat itu telah dimulai sejak usia saya 17 tahun, zaman kedua negeri ini masih terjajah sampai kedua negeri ini telah mencapai kemerdekaan.

Saya telah mengarang dalam berbagai bidang. Di waktu muda saya pun telah mengarang beberapa buku roman. Saya mengakui, memang ada orang yang memasukkan saya juga dalam barisan seniman. Tetapi bagi saya, seni bukanlah buat seni, seni buat saya ialah berpadu jadi satu di antara jamal ( keindahan), jalal (kemuliaan) dan kamal (maha sempurna). Itulah hakikat Allah, bilamana bertemu sifat-sifat tersebut, hilanglah ghairullah. Dan sampai sekarang saya belum lupa tujuan hidup saya dengan mengarang dan berpidato: menegakkan agama Islam sampai tercapai kebenaran Islam yang telah memang menjadi haknya, sesudah dia dijajah beratus tahun.

Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah memberikan penghargaan atas amal usaha yang tiada sepertinya ini. sesungguhnya penghargaan ini amat mengharukan hati saya, meskipun ini adalah penghargaan kedua kali sesudah saya terima dari Universiti Al-Azhar tahun 1958. Sebab pengkajian tentang diri saya, kuat atau lemahnya tentulah lebih dapat didalami oleh orang-orang Melayu sendiri. Moga-moga kiranya penghargaan dan anugerah ini ini tidak akan menghentikan langkah saya hingga ini, sebab nabi telah bersabda: “Orang yang beriman tidaklah akan berhenti berbuat baik sampai di tempat perhentian yang terakhir iaitu syurga.”

Saya insaf bahawa saya telah mulai tua. Dan saya pun melihat bagaimana usaha-usaha pihak luar Islam hendak menguasai bahasa ini yang dinamai oleh seorang pengarang Mesir, al-ghazwul fikri, ekspensi ideologi! Penjajahan dari sudut alam fikiran, seumpama fahaman komunis, ateis, eksistensialis (wujudiah) dan lain-lain yang memasukkan racun ke dalam bahasa kebangsaan. Namun saya percaya asal semangat bebas merdeka hasil daripada kalimah Lailaha illa-Allah masih berada dalam jiwa angkatan muda Islam Malaysia dan Indonesia, semuanya ini dapat dihadapi. Gayung disambut kata dijawab!

Saya tidak menyesal menjadi tua atau datang ajal sekalipun, kerana angkatan muda yang akan menggantikan saya bagi kejayaan agama dan kemuliaan bahasa telah mulai tumbuh.

Alhamdulillah!

No comments:

Post a Comment