Saturday, December 1, 2012

Kentut


Kadang-kadang bentuk wajahnya tersergam macam gunung berapi yang tiba-tiba meletup dan memuntahkan belerang.batu-batu sepemeluk dua pemeluk,melambung menujah langit menembusi ruang angkasa.Dan kemudian selonggok-selonggok relai jatuh ke bumi dengan banyaknya menyuburkan tanah dan juga membunuh makhluk ciptaan Maha Kaya.

Demikian kadang-kadang bentuk wajahnya datang tersergam,terutama apabila keputusannya untuk permisi serta-merta dan sudah amat sukar untuk mempertahankan lagi kehadiran di daerahnya.Kalau disekat dan dibentengi juga dengan apa kaedah sekalipun,termasuk kaedah melayar imaginasi memberontak emosi atau mengganyah mental dan spiritual,dia menjerit dan meraung sekuat tenaga.

Namun kehadirannya di daerah yang memang disediakan sejak awal itu adalah satu haknya,satu fitrah juga.Pertimbangan antara kehadiran dan kepermisian ini kadang-kadang menuntut perjuangan yang sengit,melibatkan ketegangan urat saraf dan kekuatan mental.

Inilah kadang-kadang aku meminta sangat-sangat agar dia bersimpati denganku dan permisi dengan mudah mengikut jalan-jalan biaa yang dia sendiri lebih maklum tetapi berdegil dan ingin menapak juga.Tidak mahu berganjak,Tidak mahu berganjak barang seinci pun.

Dalam detik-detik khas,terutama detik-detik dalam keasyikan dan kehebatan memperhambakan diri kepada Allah yang Maha Esa,aku meminta agar dia bersabar serta berdiam diri seketika dan turut bersama dalam proses perhambaan itu.Dia memberontak ganas,malah beberapa kali dia menyentak bagaikan seorang revolusioner dengan senjata di tangan.Dia menggila dan menerjah untuk keluar juga.Dan apabila aku cuba menentang dia agar jangan cuba minta permisi ketika itu,dia terus sahaja mengamuk,menendang dinding-dinding,menerjah salur nadi sehingga melarat melonjakkan diri,bergelombang bagaikan berada di tengah-tengah samudera yang maha luas tidak bertepi.Beberapa kali pula dalam bebelannya yang memang sukar difahami,dia meresap memasuki salur pernafasan dan merayap naik ke dalam otak yang bersarang di kepala.Dan di situ menimbulkan pula pelbagai konflik yang sukar di kawal.Mata melilau-lilau dan gegendang telinga pun berdesing tidak tentu pangkal dan hujungnya.Dan pada detik-detik cemas sedemikian rupa,aku biasanya terpaksa memperkayakan imaginasi dan emosi,membiarkan mereka bebas merayau mengikut nafsu mereka sendiri-sendiri.Kadang-kadang mereka meranduk lautan yang maha dalam.Dan kerapnya mereka bermain-main sesama melontar angin dan dauan-daun di pokok berdekatan serta membebaskan fikiran ke mana sahaja yang di sukai.Dan fikiran pula biasanya mengambil jalan mudah dengan meredah ruang angkasa setinggi dan sesayup yang boleh atau menggelilingi dunia sekelip mata dengan singgahan-singgahan sebentar di New York,London,Beijing,Moscow,Copenhagen,Paris dan sebagainya.

Hanya dengan jalan membebaskan segala-gala yang ada sajalah  dapat meredakan kedudukannya,malah kerapnya terus melupakannya buat sementara waktu dalam detik-detik memperhambakan diri itu.Dan apabila habis sahaja memberi salam sesudah berada dalam kekhusyukkan yang paling puncak,aku kembali teringat kepadanya dan cuba bermesra dengannya.Dan dengan mudah aku membiarkan diri pergi mengikut jalan yang telah sama-sama termaklum.

Biasanya begitulah,tetapi ketika-ketika yang tidak dapat difahami oleh sesiapa,dia enggan pula keluar,malah meresap dan menjarap entah ke mana.Tadinya dia begitu galak dan sering bergelodak untuk membebaskan dirinya bagaikan dia tidak pernah sedari yang aku berada dalam kekhusyukkan memperhambakan diriku kepada Allah yang Maha Esa.

Dan kini apabila semua menjadi reda dan selesai,dia pula membuat fiil yang lain yang lebih sukar dimengertikan.Pengalamanku selama enam puluh tahun hidup bersamanya ini memang sulit dan rumit serta tidak dapat memahami fiilnya yang sering berbah,sering songsang perjalananya dan sering menjerit pada ketika-ketika yang menuntut kesepian.Sekali,dalam usiaku empat puluh tahun,dia begitu memilukan hatiku kerana dia langsung tidak menjaga hatiku yang amat sensitif ini.

Pada waktu itu aku sedang makan bersama keluarga sebelah isteriku.Kedua-dua mentuaku ada bersama mengelilingi hidangan serba lazat itu.Dan tiba-tiba dan begitu speontan pula dia meredah keluar tanpa memberi isyarat pun.Memang salahku juga kerana pada waktu itu aku cuba menjangkau ikan haruan bakar yang berada di hujung hidangan sebelah sana.Apabila aku condong dan angkatkan sedikit tubuh ku yang agak banyak isinya itu,tiba-tiba dia pun keluar bagaikan bedil senapang patah laras satu.

Malu betul aku dibuatnya.Dan semenjak itulah aku tidak tergamak lagi makan bersama kedua-dua orang mentuaku itu sampailah kedua-dua orang tua itu meninggal dunia.

Sampai sekarang ini pun,apabila mengingatkan sejarah bedilan senapang patah laras satu itu aku ketawa riuh-rendah seorang diri.Pernah perihal ketawa seorang diri itu diciumi isteriku dan dia marah-marah pula kerana menyangka aku ketawakannya.Beberapa malam pula dia merajuk.Dan ini mencemaskan juga tuntutan fitrah kehidupan ini.Tetapi apabila aku memperjelaskan duduknya keadaan sebenar,isteriku pula terkekeh-kekeh ketawa sampai senak-senak perutnya.Dan isteriku pula tanpa sedar melepaskan dia secara spontan meskipun pengeluarannya tidaklah sehebat bunyi bedilan senapang patah laras satu.

Memang kewujudannya kadang-kadang menyeronokkan dan memperindahkan kehidupan yang sering tercabar ini.kadang-kadanglah.Tetapi yang banyak,kewujudannya itu mendera jiwa dan raga selama ini kerana sukar mengawalnya.Dia bermaharajalela sahaja kerap kalinya tanpa mempedulikan sesiapa dan di mana kita berada.Kalau dia merasakan dia ingin mengeluarkan dirinya sendiri-sendiri ,dia terus keluar tanpa banyak perhitungan.Kalau proses pengeluaran diri itu dilakukan secara senyap-senyap seperti sepinya malam atau nyamannya petang hari di tepi pantai yang indah,tidak mengapa pula.Kadang-kadang dia bernada rancak yang songsang iramanya.Kehidupan ini menjadi gamat juga kalau fiilnya tidak tentu hala macam cuaca yang sasau.Kadang-kadang di tengah-tengah kemarau panjang dengan panas terik menikam ubun-ubun itu pun tiba-tiba hujan turun.

Bagitau juga perangainya.Dalam ketenteraman dia boleh mencetuskan peperangan secara tiba-tiba.Dalam peperangan pun dia mampu melahirkan ketenteraman secara tiba-tiba.Dia benar-benar seorang tokoh kerana kecanggihan ketokohannya.

 

 


No comments:

Post a Comment