Bicara dan diam laksana dua sisi dari
sekeping mata wang, yang tidak mungkin dipisahkan. Kedua-duanya adalah
nikmat Allah yang amat besar
yang diberikan kepada umat manusia. Dengan berbicara, manusia boleh
berinteraksi sesama mereka dan menjadi makhluk yang termulia di antara
makhluk-makhluk Allah yang lainnya.
Oleh kerana itu, secara jelas Allah Taala berfirman di dalam al Quran :
"(Allah) Mengajarkannnya (kepada manusia) pandai menerangkan (berbicara)" - Surah ar Rahman:4
Dari Abu Hurairah R.A, sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah bersabda,
"Barangsiapa
yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata
baik atau diam, barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat,
maka hendaklah ia memuliakan tetangga dan barang siapa yang beriman
kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya". [Sahih Bukhari]
Kalimah,
"...Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat",
maksudnya adalah sesiapa beriman dengan keimanan yang sempurna, yang
(keimanannya itu) menyelamatkannya dari azab Allah dan membawanya
mendapatkan redha Allah,
"...Maka hendaklah ia berkata baik atau diam" kerana
orang yang beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya tentu takut
kepada ancamanNya, mengharapkan pahalaNya, bersungguh-sungguh
melaksanakan perintah dan meninggalkan laranganNya. Dan yang terpenting
dari semuanya itu ialah mengendalikan gerak-geri seluruh anggota
badannya kerana kelak dia akan dipertanggungjawabkan atas perbuatan
semua anggota badannya, sebagaimana tersebut pada firman Allah :
"Dan janganlah kamu menurut
sesuatu yang tiada dalam pengetahuan (ilmu). Sesungguhnya pendengaran,
penglihatan, dan hati semuanya kelak pasti akan dimintai tanggung
jawabnya" - Surah al Isra':36
Dan firmanNya lagi :
"Apapun kata yang terucap pasti disaksikan oleh Raqib dan ‘Atid". Surah Qaff:18
Bahaya lisan itu sangat banyak. Rasulullah S.A.W bersabda,
"Bukankah manusia terjerumus ke dalam neraka karena tidak dapat mengendalikan lidahnya" [Sunan Abi Daud].
Baginda turut bersabda,
"Tiap-tiap
ucapan anak Adam menjadi tanggung jawabnya, kecuali menyebut nama
Allah, menyuruh berbuat makruf dan mencegah kemungkaran" [Sunan Ibnu Majah].
Apabila Nabi S.A.W bersabda,
"...Maka hendaklah ia berkata baik atau diam",
ia menunjukkan bahawa perkatan yang baik itu lebih utama daripada diam,
dan diam itu lebih utama daripada berkata buruk. Berkata baik dalam
hadis ini mencakup menyampaikan ajaran Allah dan RasulNya dan memberikan
pengajaran kepada kaum Muslimin, amar makruf dan nahi mungkar
berdasarkan ilmu, mendamaikan orang yang berselisih pendapat, berkata
yang baik kepada orang lain. Dan yang terbaik dari semuanya itu adalah
menyampaikan perkataan yang benar di hadapan orang yang ditakuti
kekejamannya atau diharapkan pemberiannya.
Islam menjelaskan
bagaimana seharusnya memanfaatkan kedua nikmat yang amat besar itu,
iaitu bercakap dan diam, agar manusia benar-benar mampu memanfaatkan
untuk berbicara sehari-hari sehingga ia menjadi jalan kebaikan bagi
penuturnya. Dan kalau tidak mampu, maka lebih baik diam. Dan bagi yang
mampu untuk diam pula, tetapi menolak untuk mengucapkan kebenaran, ia
adalah "syaitan" yang bisu
- as saakitu anil haq syaitonul akhras.
Kerana itu, diam juga boleh memberikan kesan sampingan yang
bermacam-macam dan nilai impaknya. Ada yang dengan diam ia menjadi emas,
tetapi ada pula dengan diam ia menjadi masalah. Semua bergantung kepada
niat cara situasi juga kondisi pada diri dan lingkungannya.
Untuk
mencapai kebaikan Islam, seseorang tidak cukup dengan diamnya lisan,
dan anggota tubuh yang lain dari hal-hal yang dilarang oleh Allah Taala.
Namun, ia harus juga diam dan meninggalkan hal-hal yang tidak
bermanfaat baginya. Dan juga bagi agamanya Islam. Rasulullah S.A.W
bersabda,
"Di antara kebaikan Islam seseorang itu iaitu meninggalkan hal-hal yang tidak bermanfaat baginya". [Sunan Tirmizi]
Kalau
seseorang sudah mampu untuk memilih hanya yang bermanfaat baginya, bagi
keluarga, agama, dan masyarakatnya, dan mampu juga untuk diam
meninggalkan ucapan yang tidak bermanfaat, ia sudah selamat dari
kejahatan dan bala` yang besar. Dan keselamatan dari kejahatan itu
bererti prestasi besar dalam meraih kebaikan yang sangat besar. Ini
kerana manusia berbicara setiap masa. Bicara yang baik akan membawa
keselamatan dan kebaikan kepada manusia. Jika bicara tidak mengikut
adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. Di dunia akan
dibenci oleh manusia lain manakala di akhirat bicara yang menyakiti hati
orang lain akan menyebabkan kita terseksa kekal abadi di dalam neraka.
Bagi
mereka yang beriman, lidah yang dikurniakan oleh Allah itu tidak
digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan
untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah. Oleh itu, diam adalah
benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia.
Misalnya, berkata-kata dan kemampuan berbicara di depan khalayak umum
menjadi sebuah keperluan kerana kita memiliki fungsi sebagai makhluk
sosial dengan kebiasaan berinteraksi antara mereka. Untuk kepentingan
itu, berkata-kata adalah sebuah jalan sikap yang harus diambil. Lalu
bagaimana dengan diam?
Sama halnya, diam memiliki faedah dan
syarat kondisionalnya tersendiri. Yang penting adalah kita mengetahui
waktu-waktu yang tepat untuk mengambil diam sebagai sikap ketika
berinteraksi dengan orang lain. Diam bahkan boleh menjadi kebiasaan
efektif yang bila diterapkan dalam diri, ia akan membuat kita menjadi
lebih produktif. Iaitu dengan membiasakan diam dan mendengar daripada
berbicara dengan memperbanyakkan kerja.
Hikmah Yang Terkandung Pada Perbuatan Diam
- Sebagai ibadah tanpa bersusah payah.
- Menjadi perhiasan tanpa berhias.
- Memiliki kehebatan tanpa kerajaan.
- Membina benteng tanpa pagar.
- Mempunyai kekayaan budi tanpa meminta maaf kepada orang.
- Memberi istirehat bagi kedua Malaikat pencatat amal.
- Menutupi segala aib dan masalah.
Antara hadis mengenai kelebihan diam bermaksud, "Barangsiapa
yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang
banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. Dan barangsiapa yang banyak
dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya". [Riwayat Abu Nuaim dalam Hilyatul Auliya']
Bersikap diam juga suatu kebijaksanaan
dan keadilan, ilmu dan pengetahuan bahkan ada yang menyebutnya
merupakan media pendidikan yang sangat bagus dan telah teruji.
Rasulullah S.A.W pernah menasihati Abu Zar R.A, "Hendaknya engkau lebih baik diam, sebab diam itu menyingkirkan syaitan dan penolong bagimu dalam urusan agamamu". [Musnad Imam Ahmad]
Manakala nasihat Amirul Mukminin Umar bin Khattab berbunyi :
- "Barangsiapa yang banyak ketawa, maka akan sedikit sekali wibawanya"
- "Barangsiapa yang suka senda gurau, maka dia akan dianggap remeh"
- "Barangsiapa yang bersikap melampau (berlebih-lebih), maka akan jatuh jatidirinya"
- "Barangsiapa yang banyak cakap, maka dia akan banyak salah"
- "Barangsiapa yang banyak salah, maka akan hilang rasa malunya"
- "Barangsiapa yang hilang rasa malunya, maka kurang sikap wara'-nya (sikap berhati-hati dari perkara dosa)"
- "Barangsiapa yang sedikit rasa berhati-hati dari perkara dosa, maka akan mati hatinya" [Hilyatul Auliya']
Semoga Allah merahmati Khalifah Umar bin Abdul Aziz, ketika beliau berkata, "Sesungguhnya
orang-orang yang terdahulu (Salafus Soleh) itu berhenti (tidak bersikap
melampau) di atas dasar ilmu dengan penelitian yang tajam (menembus),
lalu adakalanya mereka menahan dirinya (dari meneruskan sesuatu
perbahasan) sekalipun mereka lebih mampu dalam membahas sesuatu perkara
jika mereka ingin membahasnya" [Bayan Fadhli Ilmi Salaf]
Diam Juga Boleh Mengundang Fasad
Tedapat dalam sebuah hadis yang masyhur berbunyi, "Barangsiapa
melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dan mencegahnya
dengan menggunakan tangannya (kuasa), sekiranya ia tidak mampu maka
hendaklah ia menggunakan mulutnya, sekiranya ia tidak mampu juga maka
hendaklah ia menggubah dengan menggunakan hatinya. Sesungguhnya mengubah
dan mencegah perbuatan mungkar dengan menggunakan hati itu adalah tanda
selemah-lemah iman". [Sahih Muslim]
Justeru, tidak mengubah
dan mencegah sesuatu kemungkaran adalah tanda tiada iman atau hampir
kepada kekufuran. Jika dilihat daripada hadis yang disebut di atas, Nabi
Muhammad S.A.W menggunakan pendekatan yang sangat berhemah dalam
mengkategorikan seseorang Muslim itu kepada tiga peringkat.
Bagaimanapun, selalu sangat disalah-tafsirkan kategori yang terakhir itu
sebagai diam. Maka mengatakan kategori yang terakhir dalam melunaskan
kerja untuk mencegah kemungkaran sebagai diam adalah suatu kesilapan,
kerana diam bukan tanda beriman dan bukan pula tanda kekufuran. Dalam
bahasa lain diam tidak boleh dijadikan ukuran salah atau betul, beriman
atau kafirnya seseorang.
Semua bentuk pendakwaan atau tuduhan
pada asasnya mestilah disaksikan, yakni dibuktikan melalui penyaksian,
melihat, mendengar atau merasa. Ini sesuai dengan asas undang-undang
bahawa beban pembuktian itu berada di atas bahu yang mendakwa atau yang
membuat tuduhan dengan saksi-saksi dan penyaksian serta bukti yang sah
sebelum ia berpindah kepada pihak yang dituduh.
Dalam satu hadis yang turut dijadikan kaedah feqah dalam hal pembuktian, berbunyi, "(Beban
pembuktian dengan) penyaksian (dan lain-lainnya) adalah di atas mereka
yang mendakwa (yakni orang yang membuat tuduhan). (Hanya selepas ia
dibuktikan maka dikehendaki memberikan) penjelasan (dan bukti-bukti
sebagai jawapan) adalah di atas mereka yang mengingkarinya (sama ada
yang tertuduh atau selainnya)".
Dalam kes-kes berkaitan
zina dan liwat yang menjadi isu semasa pada hari ini, perlulah diingat
bahawa undang-undang Islam jelas menekankan bahawa beban pembuktian
adalah di atas mereka yang membuat tuduhan dan dakwaan mengenainya yakni
mereka mesti mendatangkan empat (4) orang saksi. Sekiranya mereka gagal
mendatangkan dengan bilangan saksi tersebut, maka wajiblah mereka
dikenakan hukuman qazaf sesuai dengan ketetapan Islam dalam
undang-undang hudud.
Dalam hal ini tertuduh tidak perlu menjawab
apatah lagi membuktikan apa-apa sehinggalah empat orang saksi
dikemukakan oleh yang membuat dakwaan atau tuduhan. Adalah menjadi
prinsip bahawa Islam mengiktiraf bahawa yang tertuduh adalah suci dan
bersih daripada sebarang dakwaan dan tuduhan melainkan setelah dakwaan
dan tuduhan berjaya dibuktikan tanpa ada keraguan yang munasabah. Bahkan
ini juga adalah prinsip undang-undang lazim (common law) yang sedia terpakai di negara kita.
Tiada
satu peruntukan baik dalam Islam mahupun undang-undang lazim yang
memberikan satu dalil mahupun isyarat membolehkan orang yang tertuduh
dianiayai atau dizalimi dengan sebarang bentuk prasangka atau layanan
buruk hanya dengan sebab dia diam atau enggan memberikan kerjasama
menjawab sebarang pertuduhan dan dakwaan sebelum penuduh atau pendakwa
membuktikan kesnya terlebih dahulu. Bahkan mereka yang menyebarkan
pertuduhan dan dakwaan sebegitu yakni tanpa ia dibuktikan, boleh
dikenakan tindakan undang-undang baik tindakan secara tangkapan polis,
injunksi mahupun tindakan defamasi sesuai dengan ketetapan undang-undang
lazim.
Mendengar & Melaksanakan Apa Yang Baik Itu Lebih Utama
Pada
umumnya, orang yang banyak berbicara (berkata-kata) adalah orang yang
lemah keperibadiannya. Ciri orang intelek menurut Islam yang disebutkan
al Quran adalah orang yang mendengarkan perkataan orang lain, "allaziina yastami’unal qaul..." dan mengikuti yang baik dari perkataan itu, "fa yattabi'una ahsanah...".
Pada
umumnya juga, orang pandai yang suka mendengarkan orang lain akan
disukai. Sebahagian manusia lebih gemar untuk perkataannya didengar,
diambil peduli daripada dia mendengar bicara orang lain. Ada orang yang
mempunyai kebiasaan berbicara dahulu, baru berfikir. Kerana itu, diam
menunjukkan kekuatan keperibadian seseorang. Kemampuan mendengarkan
adalah kekuatan keperibadian yang luar biasa besarnya.
Jika ingin
berbicara, sebaiknya kita harus benar-benar yakin bahawa apa yang akan
disampaikan adalah sesuatu yang sudah difikirkan. Kurangilah
perkataan-perkataan yang muncul secara refleks. Biasakanlah diam atau
merenung, maka kita akan menjadi produktif dalam hidup. Diam bukan dalam
erti kita sama sekali tidak berbicara, melainkan diam dalam erti hanya
berbicara jika ada keperluan untuk itu. Ada mekanisme lain juga yang
telah ditunjukkan di dalam al Quran :
"Dan
apabila sewaktu pembahagian (hak) itu hadir beberapa kerabat, anak-anak
yatim dan orang miskin, maka berilah mereka dari harta itu (sekadarnya)
dan ucapkanlah perkataan yang baik" - Surah an Nisa':8
"Dan hendaklah takut (kepada
Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh)
orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula
meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah)
mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan)
anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan
hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran)" - Surah an Nisa':9
"Mereka
itu adalah orang-orang yang (sesungguhnya) Allah mengetahui apa yang
ada di dalam hatinya. Kerana itu berpalinglah dari mereka, dan berilah
mereka nasihat, dan katakanlah kepada mereka perkataan yang membekas pada jiwanya" - Surah an Nisa':63
"Dan Tuhanmu telah
perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya
semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika
salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada
umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata
kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan
janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada
mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)" - Surah Isra':23
"Dan jika engkau terpaksa
berpaling tidak melayani mereka, kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu
yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan hati" - Surah Isra':28
"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai" - Surah Luqman:19
Al Quran menunjukkan kepada kita tentang pilihan dalam berbicara, qaulan ma'rufan, qaulan kariman, qaulan maysuran, qaulan sadidan dan qaulan balighan,
yakni pembicaraan yang disertakan perkataan yang baik. Dan mekanisme
mana lagi yang lebih baik dibandingkan dengan anjuran yang difirmankan
olehNya?