Sunday, December 2, 2012

Seorang Lelaki Tua dan Sebuah Laut



Irfan berdiri tercegat sambil memeluk tubuh.Matanya yang masih terkatup dibungkus kantuk semalam diam menatap ombak.Pagi masa suram-suram.Ombak yang gusar oleh pasang menghempaskan deburan yang kasar ke dada pantai.Riak-riak buihnya menggerumut di pantai..berlalu..dan meninggalkan sisa-sisa yang terbawa dari laut terdampar di dada pantai dan isinya.Angin laut yang beralun bersama ombak kudus menyapa pantai dan isinya,pohon-pohon ru,pasir,samun,belukar,bukit dan chalet-chalet yang dipagar dalam suatu kawasan luas ini.

Angin,benarkah ini hembusanmu?begitu segar dan nyaman sekali.Irfan menunduk,melihat pasir,melihat pantai,melihat laut.Jauh...laut kelihatan semakin bermanik-manik dikilau matahari yang perlahan-lahan bangkit dari garis horizontal menuju garis vertikalnya.Mandala yang sunyi,senyap,terasing dan terpinggir.Kedamaian dan kerutinan mandala ini ialah kesemulajadian yang tidak terusik oleh kelorah manusiawi.

Menghirup udara segar dan kenyamanan rasa di sini bagai mewujudkan dirinya dalam satu dunia asing yang misteri.Terasa keluasan laut itu telah perlahan-lahan membuka fikirannya.Sesuatu yang begitu lama terbenam dalam dirinya terasa bangun perlahan-lahan,segar dan gagah,mengalirkan suatu daya hidup merewak ke serata diri.Di sini jauh dari bising dan rimas kota.Tiada hambatan dan tiada yang perlu dikejarkan.Kesibukan dan beban kerja,kelicikan dan kekorupan,kepalsuan dan lakonan,keangkuhan dan penindasan.Semuanya itu tidak kelihatan di sini.Mungkin hanyut dalam debur ombak yang tidak pernah lelah itu.Mandala asing yang bermisteri ini terus membekam sejuta rahsianya yang tidak terungkap di dalam butiran-butiran pasir,rengus ombaknya dan desir anginnya.Mandiri dalam kesendiriannya.Membina keutuhan rahsianya dalam simbol-simbol yang tercitra,jelas dan kabur.

Di hujung sana,di tanjung yang berbukit dan berbelukar itu,dalam samar-samar kabus dia melihat satu objek manusia di pesisir pantainya.Tentu lelaki tua itu.Lelaki tua yang dilihatnya setiap pagi di pesisir pantai itu sejak tiba di sini.Tiada yang aneh dan ganjil atau apa-apa yang menarik pada lelaki tua itu.Lelaki tua  yang cuma suatu kewujudan yang tidak dipedulikan dan terpinggir di hujung dunia.Tetapi hari ini entah mengapa,terasuk oleh kebodohan apa,dia terasa begitu ingin mendekati lelaki tua itu.Mungkin luang-luang masa yang banyak ini mula menjadikannya seorang yang dungu.Ah,peduli apa dia!Kebebasan di sini tidak harus disekat oleh tanggapan-tanggapan dahulu.Ini bukan hidup dahulu.Ini mandala baru.Mandala yang tidak punya protokol,kasta dan ego.Di sini bebas daripada keterikatan itu.Semua di sini sama,bersatu dan saling membantu menghidup dan memakmurkan.Begitu harmoni.

Jejak-jejaknya di pasir semakin jauh meninggalkan kawasan chalet penginapannya menuju ke tanjung yang menganjur menentang laut.Puput angin lemah dan langsam.barangkali masih dingin dan malas lalu menjadikan suasana pagi ini cukup tenang.Laut,semakin hampir semakin terasa keluasannya.Semakin terkagum dengan kejadiannya.Benarkah laut sebegini luas masih tidak cukup meninta seluruh ilmu pengetahuan?

Semakin lama semakin hampir Irfan dengan tanjung itu.Ketika langkahnya sampai di sebuah banir ru dengan sedikit lelah,dia mengambil keputusan berhenti di situ,melabuhkan duduknya.Tenang dia beristirehat.Di sini rupa tanjung jelas dan nyata.Juga lelaki tua itu.Lelaki itu berjalan di gigi air,menunduk mengutip sesuatu,terkadangnya mencangkung agak lama mengorek-ngorek sesuatu di dalam pasir basah yang sedikit berlumpur itu,memasukkan hasil usahanya yang entah apa itu ke dalam kantung yang tersangkut di bahu,berjalan lagi dan kadang-kadangnya berdiri lama memerhati tunak ke laut lepas.

Kelakuan dan perwatakan lelaki tua itu ini semakin lama semakin menarik perhatian Irfan.Terasa benar ingin mendekati lelaki tua itu.Sekurang-kurangnya bertanya khabar,mungkin sepatah perkataan melahirkan sesuatu yang bermakna,setidaknya sekelumit kebajikan.Bukankah perjalanan beribu batu itu bermula dengan langkah yang satu.Itu kata-kata Lao Tze.Entah bagaimana pula dia teringat kata-kata falsafah itu.Mungkin suasana di sini mula menjadikannya seorang perenung.Ya,mandala ini menjadikan fikirannya segar dan luas terbuka berbeza daripada di kota yang menjadikan fikirannya penuh komplikasi dan terhimpit oleh hukum dunia kebendaan.Benar-benar keterasingan di sini melahirkan sesuatu yang baru kepada dirinya.Benar-benar.

Selamat pagi....."ketika langkahnya semakin hampir di sisi lelaki tua itu,suaranya terlepas mesra.

Lelaki tua itu berpaling.Matanya melemparkan pandangan sedikit aneh.Mungkin kaget oleh teguran yang tiba-tiba itu.Bibirnya kemudian menyungging senyum dan membalas ucapan irfan dengan perlahan dan mesra.

"Pak cik cari apa?Maafkan saya bertanya."Irfan bertanya selembut mungkin.

Lelaki tua itu tersenyum dan menyatakan bahawa dia mencari ulat laut bagi membuat umpan pancing.Sambil itu dia juga mengutip anak-anak ketam dan kapar-kapar yang terkadangnya masih memberi guna yang banyak.Kotoran,tidak semestinya keburukan semata.

Irfan mengangguk mengiakan kata-kata lelaki tua itu.Mereka sama-sama berdiri menghadap laut lepas.Membiar angin menampar-nampar tubuh mereka dan membiar laut menjilat-jilat kaki mereka.

"Saya menginap di chalet sana.Berehat menghabiskan cuti tahunan."Irfan menjelaskan kepada lelaki tua itu.

Lelaki tua itu mengangguk sambil bertanyakan perkerjaan Irfan.

"Saya berkerja sebagai pegawai tinggi di sebuah organisasi separa kerajaan."Jawapan itu bukan suatu jawapan yang tulus dan jujur.

Lelaki tua itu terangguk-angguk lagi.Mereka berbual-bual memesrakan perkenalan.Tidak lama kemudian Irfan meminta diri untuk kembali ke chaletnya,sambil berjanji bertemu lagi jika ada kelapangan.Lelaki tua itu menyambut salam Irfan dengan mesra dan berharap begitu juga.Mereka pun berpisah menuju rutin masing-masing,menuju dunia masing-masing.Irfan dengan chalet dan percutiannya.Lelaki tua dengan laut dan kapar-kaparnya.

Besoknya Irfan berjalan lagi ke tanjung itu.Melihat anak-anak ketam yang timbul dari pasir berlari menyerong dan tenggelam tiba-tiba di dalam pasir.Timbul lagi,hilang lagi dan lelaki tua itu muncul.Entah dari mana tidak disedari langsung oleh Irfan.Mungkin dari belukar sana,kerana kelihatan seperti suatu lorong dari belukar menghala ke pantai atau juga dari arah darat itu.Irfan tidak pasti.

"selamat pagi pak cik.Banyak dapat ikan semalam?"Irfan memulakan perbualan.

Lelaki tua itu mengangkat keningnya,tersenyum dan menyatakan cukuplah untuk makannya seorang.Kemudian di bertanya tentang keselesaan Irfan di tempat ini.

"Laut dan mandala ini cukup menenteramkan saya.Namun ketenteraman ini menimbulkan misteri yang bukan kepalang kepada saya.Saya kurang pasti apa yang melekap di kepala saya tetapi...."Kata-kata Irfan terhenti.Irfan merenung lelaki tua itu."Apakah pak cik punya jawapan?"

Lelaki tua itu mendongak memandang Irfan kemudian mengalih pandang ke laut lepas.Kemudian dia berkata: Laut sentiasa menaburkan rahsia-rahsianya yang tidak terungkap.Perasaan kita terhadap laut mencerminkan satu pertalian azali tentang bibit-bibit asal usul.Air mewujudkan kehidupan yang punya nyawa,punya roh,punya jasad.Kita sememangnya mempunyai pertalian yang rapat dengan air.

Irfan terpaku,terpendap ke dalam kehairanan.

Ketika jejari angin datang mengusap-usap pantai,lelaki tua itu berkata lagi,apabila dipandang dari darat,laut kelihatan dekat dan biasa,tetapi adalah sesuatu yang menakutkan apabila berada di tengahnya dan melihat sekelilingnya yang tiada apa-apa selain daripada air yang keluasannya merentang dari ufuk ke ufuk.Bebas daripada dominasi maujud dan hanya tertakluk kepada kekuasaan yang melampaui batasan baik dan jahat,batasan masa dan ruang,batasan nasib dan takdir.Kesunyian di sini seperti kesunyian di rahim ibu.Dampratan ombak-ombak di pantai adalah dampratan nasib kita terarca di tangan kita sendiri.Ketidaktentuan ombak itulah kehidupan.

Irfan diam terpukau.Merenung lelaki tua itu merenung laut.Dua kewujudan berbeza lahir daripada prinsip yang satu."Pak cik mungkin mempunyai banyak pengalaman tentang laut."kata -kata Irfan mati di situ.

Lelaki tua itu tersenyum tetapi tiba-tiba senyum itu mati dan wajahnya bertukar serius.Serius sekali.Laut itu ialah kehidupan dan kematian,kebaikan dan kejahatan.Matahari di sini membakar tanpa hadangan.Ketika badai dan taufan menggempur hingga awan-awan tergulung dan kegelapan di laut hingga tidak dapat melihat tangan sendiri,kuasa apakah yang akan menyelamatkan?Ketika laut tenang dan aman,sewaktu permastautin-permastautibya mengungkapkan keceriaan camar putih yang melayap,lompatan paus yang menerjah muka laut,penyu besar menjengulkan kepalanya dari wajah laut,kuasa apakah yang mengatur keharmonian ini?Sesuatu yang dekat dengan kita rasakan jauh dan sesuatu yang jauh kita rasakan dekat.Itulah kuasa yang menggerakkan ombak dan seluruh kewujudan lautan ini.Kekuasaan dan kemisterian laut adalah rahsia-rahsia penciptaan dan kewujudan.Langit dan bumi terjadi daripada air.Pernahkah didengar kata-kata ini?Dengarlah.Kewujudan yang dikatakan bermula daripada air atau apa yang bersifat air dan ia di namakan al-ma'.Daripada al-ma' ini dialirkan kewujudan dan kemaujudan.Membentuk alam semesta dan mempunyai sifat semesta.Al-ma' ini bersifat terbatas dan boleh tercacat cela dan sifat ini diwariskan kepada setiap kewujudan alam semesta.Lantaran itu pertalian kita didapati begitu rapat dengan laut.Bahkan komposisi garam dalam darah yang mengalir dalam tubuh kita adalah sama dengan komposisi garam dalam air laut.Dan keluasan laut di sini membawa kita dekat dengan asal usul.Dekat dan rapat.

Mengertilah tentang laut,tentang ombaknya,suatu mesej bagi bahaya yang paling besar,ketidakseimbangan,pergolakan,kegelisahan,kekacauan dan keributan.Tentang pantainya yang sering menerima dan pasrah pada kegelojohan ombak.Kehidupan adalah laut dan segalanya berkait dengannya.Tetapi kita tidak semestinya menjadi pantai yang terlalu pasrah dan menerima.Pernah di dengar kata-kata ini,jika takdir membuatmu merana,pohon kepada Tuhan agar Dia mengurniakan mu Takdir yang lain!Tidak terlarang bagimu untuk meminta takdir yang lain,kerana takdir yang berada di perbendaharaan Tuhan tidak terbilang banyaknya.Itu kata-kata pujangga Irfan!Terlalu malang untuk hidup sepanjang hayat seperti  pantai.Laut sentiasa memerlukan pelayar-pelayar yang gagah dan tegar untuk meregat keluasan dan ketidaktentuannya.Tetapi sedar laut tidak pernah memberikan apa-apa jaminan!Itulah laut dan itulah kehidupan.

Lelaki tua dan Irfan,masing-masing diam di depan laut.Ombak menggumpal buih dan riaknya bergiliran.Kilau matahari yang terbias di rabung ombak bersinar bagai kelemayar.Sepi bertangkup.

Dua hari lamanya selepas itu,Irfan tidak bertemu dengan lelaki itu.Hujan yang turun berturutan mengurung Irfan di dalam chaletnya.Hari ketiga,cuaca baik.Irfan bergegas ke tanjung untuk bertemu dengan lelaki tua itu,tetapi tiada seorang pun di sana.Sehari suntuk irfan di situ.Besok begitu juga,dan lusa pun begitu juga.Lelaki tua itu tidak muncul-muncul lagi.Dia cuba bertanya kepada kakitngan chalet itu dan orang tempatan yang di temuinya.Tidak seorang pun yang tahu tentang lelaki tua itu.Bahkan mereka tidak tahu pun tentang kewujudannya di tanjung itu.

Siapakah lelaki tua itu penghuni laut?Atau kapar-kapar yang tersingkir daripada kehidupan?Atau makhluk laut yang datang membawa satu alamat?Irfan pernah mendengar sebuah kisah purba ahli-ahli pelayaran Arab tentang orang kerdil yang keluar dari laut,memanjat kapal,bermalam di situ dan kemudian pergi tanpa berkata atau berbuat apa-apa.Bagi pelayar zaman itu,ia bererti akan berlaku tiupan angin laut yang paling buruk iaitu Khub,awan putih yang terkenal yang apabila bertembung dengan ombak akan menyebabkan ombak itu meluap dan meraung bagaikan taufan.Lubang dalam laut yang dikenali sebagai "durdur" menarik kapal ke dalam jurangnya dan gunung bermagnet di dalam laut menarik bot-bot ke arahnya dan menghancurkannya hingga berkecai.Apakah lelaki tua itu juga adalah makhluk laut seperti orang kerdil yang membawa petanda buruk itu? (atau baik?).Laut semakin dalam kemisteriannya.

Hari-hari terakhir Irfan di mandala ini diisi dengan menyusur pantai dan tercatuk di banir ru,menyeru angin,ombak,karang ,pantai dan siput-siput.Laut semakin akrab dan mesra.Perasaan itu juga sedang tumbuh di dada Irfan,halus dan prihatin di dalam roh di tubuhnya.

Beberapa lama dia di sini telah menyedarkannya tentang sesuatu.Sesuatu yang selama ini tenggelam di dalam arus dan ideologi sains moden yang membendung pemikirannya di bangku sekolah hingga menjadi ahli ilmiah yang unggul.Ideologinya yang memisahkan agama dengan kehidupan,memisahkan proses daripada prinsip dan memisahkan roh dari tubuh.Pemisahan yang membawa diri semakin renggang dengan wujud hakiki.Kini dia sedar bahawa kedua-dua ini tidak boleh di pisahkan dan tidak mungkin dipisahkan.Dan kehadiran lelaki tua itu telah menyedarkannya tentang hakikat ini.Walau mungkin lelaki tua itu senandikanya.

Ketika matahari merah mencantumkan langit dan laut seperti seulas bibir,Irfan berlalu meninggalkan laut dan lelaki tua yang tidak pernah wujud itu.



No comments:

Post a Comment