Tuesday, July 19, 2011

Ilmu Baru Oksidentalisme

Menurut Kamus Dwibahasa Oxford Fajar (2006), “Occident” bermaksud dunia Barat manakala “Occidental” pula membawa maksud bersifat Barat, orang Barat dan Kebaratan. Oksidentalisme merupakan satu kegiatan penyelidikan yang dijalankan ke atas tamadun Barat yang memandang dari pelbagai aspek yang besar antaranya ialah budaya, falsafah, pemikiran, politik, ekonomi dan sebagainya. Tamadun Barat mula berkembang dengan pesat selepas zaman Kegelapan sehinggalah sekarang. Ramai intelektual-intektual yang tersohor dengan pelbagai teori-teori yang lahir dari Barat yang mewakili pelbagai bidang yang besar sehinggakan idea dan pemikiran mereka dijadikan asas dalam kehidupan kita seharian. Ini merupakan salah satu kelebihan bagi dunia Barat yang mempunyai intelektual-intelektual yang cukup hebat yang terdiri daripada pelbagai bidang. Bagi intelektual-intelektual Islam, kajian Oksidentalisme ini merupakan satu kajian yang baru dalam perbincangan dunia Islam semasa yang mana ia tidak diberi tumpuan yang lebih terperinci. Hanya segelintir sahaja intelektual Islam yang membincangkan Oksidentalisme, namun ia tidak diberi penjelasan yang lebih detail dan lengkap.


Menurut Shaharom TM Sulaiman, kajian Oksidentalisme bermula apabila para ahli falsafah Jepun mengadakan pertemuan di Kyoto pada tahun 1942. Di dalam pertemuan tersebut, para ahli falsafah Jepun menyatakan bahawa Jepun memainkan peranan yang cukup penting dalam arena antarabangsa kerana Jepun sudah menjadi kuasa yang besar selepas pihak Jepun berjaya menyerang pengkalan Amerika Syarikat di Pearl Harbour. Peranan yang perlu dimainkan oleh pihak Jepun adalah membuktikan tamadun Jepun juga adalah sebuah tamadun yang hebat dan mampu menandingi tamadun Barat dari pelbagai aspek antaranya ekonomi, sosial, politik, pemikiran, teknologi, pendidikan dan sebagainya. Kajian Oksidentalisme merupakan respon kepada kajian Orientalisme. Oleh itu, apabila membincangkan kajian Oksidentalisme tidak dapat tidak, kita perlu merujuk kepada kajian Orientalisme (Shaharom, Minda, 2003:54-55).

Kajian Oksidentalisme merupakan kajian yang bukan tertumpu kepada tamadun Barat semata-mata berdasarkan aspek sejarah, falsafah, budaya, pemikiran dan sebagainya tetapi kajian ini juga mengkaji acuan-acuan Barat yang diterapkan oleh Barat kepada negara-negara lain. Antara cara yang digunakan oleh Barat ialah dengan membawa dan menyebarkan pelbagai aliran dan kefahaman ke dalam tamadun-tamadun besar di dunia, seperti doktrin sekularisme[1] dan liberalisme[2]. Apabila berkembangnya doktrin-doktrin tersebut, secara tidak langsung mereka berjaya mempengaruhi masyarakat Islam dengan menjadikan doktrin-doktrin tersebut sebagai satu prinsip dalam rutin kehidupan masyarakat Islam.

Melihat kepada perkembangan ilmu di Barat, di dapati intelektual-intelektual Barat telah lama membincangkan kajian Oksidentalisme. Walau bagaimanapun, perbincangan tentang Oksidentalisme dalam Pemikiran Islam Semasa dilihat masih baru. Salah seorang intelektual Islam yang serius membincangkan Oksidentalisme ialah Hassan Hanafi yang menghasilkan sebuah buku yang bertajuk “Oksidentalisme: Sikap Kita Terhadap Tradisi Barat”.

Oksidentalisme menurut Hassan Hanafi ialah suatu bentuk pengkajian hakikat perkembangan Barat yang merupakan satu kemestian untuk menghentikan “Eurocentrism”[3] yang telah menguasai dunia dan untuk menebus sisi negatif dalam kajian Orientalisme. Menurut beliau lagi, kajian Oksidentalisme ini perlu dijadikan satu ilmu yang perlu dimiliki oleh semua negara yang sedar tentang cabaran Barat yang semakin hebat, terutama kepada negara-negara yang sering dijadikan Barat sebagai boneka yang boleh digunakan untuk kepentingan mereka. Kajian ini diharap akan memberikan pendedahan kepada negara-negara yang sedar terhadap cabaran tersebut dengan mengetahui kisah Barat dari segi kekuatan dan kelemahan Barat. Dalam konteks masyarakat Islam, orang Islam tidak semestinya menerima paradigma ilmu pengetahuan moden Barat yang hanya tertumpu kepada materialisme[4], sebaliknya mereka harus menggali kekuatan ketamadunan ilmu yang dibina oleh Islam itu sendiri.

Di dalam konteks Pemikiran Islam Semasa, kajian Oksidentalisme ini telah membuka ruang kepada intelektual-intelektual Islam melihat ketamadunan Barat mengikut perpektif Islam sebagaimana Hassan Hanafi yang melahirkan sebuah karya yang bertajuk “Muqāddimah fī cilm al-Istighrāb” dan diterjemahkan sebagai “Oksidentalisme: Sikap Kita Terhadap Tradisi Barat” (2000). Sudah kita maklumi bahawa, perkembangan tamadun Barat sebagai suatu tamadun yang berkembang pesat dan maju tetapi di dalam kepesatan yang mereka kecapi, mereka menolak nilai-nilai keagamaan di dalam diri mereka dan menanam nilai-nilai material sehingga mereka tidak mampu menilai baik dan buruk sesuatu perkara.

Kajian Oksidentalisme ini perlu diberi penekanan bukan untuk mengagungkan ketamadunan Barat sebagai sebuah empayar yang disegani tetapi sebagai perisai kepada negara-negara yang sedar akan cabaran-cabaran Barat. Justeru itu, kajian Oksidentalisme ini harus diperluaskan dan ia amat penting kepada tamadun Islam sebagai langkah pertama untuk mengkaji dan memahami dengan lebih terperinci dari pelbagai sudut mengenai tamadun Barat.

http://mahir-al-hujjah.blogspot.com/2010/01/oksidentalisme-suatu-kajian-khusus.html

No comments:

Post a Comment