“Kalau aku dapat pencuri motor aku, aku akan kerat empat!” Begitu luahan marah seorang kenalan sewaktu kami belajar di Arau.
”Begitu geram, marah?”
”Yalah, dengan motorsikal itulah aku pergi kelas.”
“Sampai nak kerat empat?”
“Confirm! Kalau dapat aku tak lepas,” akuinya terus terang.
Melihat dia marah-marah begitu saya “tersenyum” dalam hati. Betapa tidak, saya memang mengenalinya sejak semester pertama lagi. Masih segar dalam ingatan saya perbualan kami setahun yang lalu. Ketika itu beliau begitu sinis dengan hukum hudud.
“Bagi aku ayat Quran tentang Hudud perlu tafsiran semula. Realiti dunia berubah.”
Saya terdiam, berfikir bagaimana siswa jurusan kejuruteraan itu begitu “arif” dalam ilmu tafsir.
“Mengapa begitu. Syariat itu sesuatu yang evergreen, sesuai untuk setiap zaman dan masa,” balas kawan saya yang berambut kental.
“Kejam sangat. Curi sahaja, potong tangan. Habis macam mana pencuri itu nak meneruskan kehidupan?”
Begitulah besarnya simpati beliau kepada pencuri.
Walaupun kawan saya yang berambut kental telah cuba jelaskan bahawa sebagai hamba Allah kita perlu patuh dengan segala yang diperintahkan-Nya, namun dia tetap berkeras. Ketika kawan saya yang berambut kental bermati-matian menyedarkan bahawa ilmu manusia yang terbatas tidak mampu menjangkau ilmu Allah yang Maha Luas, dia membalasnya dengan berkata:
“Tuhan juga memberi kita akal, kita gunakanlah akal untuk menghasilkan kreativiti dan inovasi bagi menyesuaikan hukum-Nya mengikut peredaran keadaan dan masa.”
Saya masih ingat juga bagaimana reaksinya ketika kawan saya yang berambut kental menegaskan bahawa kitalah yang harus tunduk dengan menyesuaikan keadaan dan masa menurut hukum Allah, bukannya hukum Allah yang diubah mengikut keadaan dan masa. Dia begitu marah. Ketika muzakarah itu hampir menjadi mujadalah dan ada riak-riak yang kami hendak berbalah, maka kawan saya berambut kental menukar tajuk perbualan. Saya yang memerhati gelagat mereka,dalam hati terdetik, mudah-mudahan saatnya tiba juga untuk dia memahami hakikat sebenarnya.
Ya, detik itulah yang tiba. Saya memelihat kawan yang berambut kental tidak melepaskan peluang untuk memberi penjelasan walaupun kekusutan itu telah berusia satu tahun.
“Kau berubah,” kata kawan saya berambut kental itu tiba-tiba.
“Berubah apanya?”
“Kau dah menyokong hudud sekarang,” tusuk kawan saya yang berambut kental tanpa berselindung lagi.Saat itu saya hanya mampu mengucapkan kalimah sabar sahaja kepada kawan yang kecurian motorsikal itu dan bersedia bila-bila masa jika pertolongan diperlukan untuk membuat laporan polis atau mencari motorsikal disekitar kolej kediaman kot-kot terjumpa motorsikal tersebut.
Dia terdiam. Mungkin fikiran dan ingatannya mula terusik oleh imbasan “muzakarah” kami tentang hudud satu tahun yang lalu. Dia masih diam.
“Tak simpati dengan pencuri motorsikal kau?”kata kawan saya yang berambut kental.
“Bukan tak simpati tapi…”
“Tapi geram? Marah? Kau terasa dizalimi, dikhianati bukan?”balas kawan saya yang berambut kental tersebut.
Sebenarnya bukan sahaja kami simpati bahkan empati dengan kecurian motorsikalnya.
“Hudud tak sampailah kerat empat. Hanya setakat kerat sebelah pergelangan tangan. Itu pun dengan syarat yang begitu ketat, teliti dan rapi. Bukan untuk menyeksa tetapi sekadar mendidik pencuri dan menegakkan keadilan buat masyarakat.”kata kawan saya berambut kental. Bila terkena batang hidung sendiri, barulah ramai manusia yang sedar betapa relevannya hukum Allah.
Melihat dia diam,kawan saya yang berambut kental menambah lagi:
“Jangan apabila hak Allah dicabar kita diam. Tetapi apabila hak kita sendiri tercabar, barulah kita marah. Jangan hanya apabila kita atau keluarga kita jadi mangsa curi, rompak, ragut, zina dan rogol… barulah kita jadi menyokong hukum Allah!”
No comments:
Post a Comment