Tuesday, June 21, 2011

surat untuk perempuan-perempuan yang pernah aku cintai


Pertamanya, saya mendoakan yang terbaik untuk hidup kamu. Lalu apakah lagi perkara terbaik dalam hidup selain mendapat rahmat dan berkat Allah? Itulah yang saya doakan untuk kamu.

Mungkin sahaja hati kamu mahu menyelidiki niat saya menghantar surat ini, dan biarlah saya berterus-terang. Saya mahu memohon maaf sebanyak-banyaknya atas semua salah saya. Lalu saya mahu memberitahu juga antara sebab saya dahulu meninggalkan kamu, semoga dengan itu kamu mudah memberi maaf.

Dahulu, saya ini manusia yang sia-sia hidupnya, kerana saya mencampurkan air yang jernih dengan minyak yang hitam. Benar, saya belajar agama dan saya tahu halal haram, namun dalam masa yang sama, tindakan saya seperti bukan orang yang tahu halal dan haram. Semuanya bercampur dan celakanya, saya bahagia dengan hal itu.

Semuanya bermula dengan cinta. Walaupun sahaja saya tahu tidak ada dalil dan nas dalam Quran mengatakan bercintalah sebelum nikah, namun tetap juga saya lakukan, dan malah saya lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Pasti sahaja, tanpa dalil dan nas yang menyokong, lalu di mana kesuciannya cinta sebelum bernikah?

Itulah lemahnya saya sebagai lelaki. Maafkan saya kerana mengheret kamu sekali dalam hal-hal yang sebegitu. Bukan salah kamu, kerana saya jugalah yang memujuk, dan saya jugalah yang merayu sehingga kamu setuju. Sepatutnya sahaja saya lanjutkan hal itu kepada nikah agar cinta itu menjadi suci, namun tidak saya lanjutkan kerana saya melihat sesuatu dalam diri kamu yang membuatkan saya ingat kepada pesan Imam Ghazali. Yang sebenarnya lebih kepada manfaat diri sendiri. Sekiranya sahajalah waktu itu saya punya semangat mahu menyebarkan manfaat kepada kamu, pasti tidak perlu saya tuliskan surat ini.

Tidak mahu saya menyebutkan perkara itu, namun biarlah saya sebutkan sahaja pesan Imam Ghazali dan semoga dengan pesan-pesan itu, kamu dapat melihat apa yang saya lihat dahulu.

Berpesanlah Imam Ghazali, “Jangan engkau kahwini perempuan yang enam, jangan yang Ananah, yang Mananah, dan yang Hananah, dan jangan engkau kahwini yang Hadaqah, yang Baraqah dan yang Syadaqah.”

Perempuan Ananah, perempuan yang banyak mengeluh dan mengadu. Juga pada setiap saat dia memperalatkan sakit atau buat-buat sakit.

Perempuan Mananah, perempuan yang suka membangkit-bangkit terhadap suami. Perempuan ini sering menyatakan, “Aku membuat itu keranamu.”

Perempuan Hananah, perempuan yang menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain (atau bekas teman lelakinya), yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya daripada suami yang lain.

Perempuan Hadaqah, perempuan melemparkan pandangannya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.

Perempuan Baraqah, perempuan yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya, atau apabila dia marah ketika makan, dia tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagianya.

Perempuan Syadaqah, perempuan yang banyak cakap tidak menentu lagi bising.

Itulah yang saya lihat dalam diri kamu, dan tinggal untuk kamu sahaja menyemaknya kembali.

Namun sekali lagi saya memohon jutaan maaf atas semua perkara yang telah lalu. Semuanya salah saya, lelaki yang jahat, lelaki yang entah apa lagi gelaran yang kamu boleh beri. Tahu agama tetapi, tidak menggunakannya. Pada saat saya menggunakan hukum agama pula, saya menggunakannya hanya untuk kepentingan diri sendiri. Jahatnya saya, dan maafkanlah saya. Saya memohon sesungguhnya daripada kamu.

Mahu sahaja sebenarnya saya, pergi kembali kepada kamu dan memberikan cinta ataupun setidaknya kata sahabat, namun saya tidak mampu. Hayat saya sudah tidak lama, dan mungkin sahaja pada saat kamu membaca surat ini, saya sudah tidak ada lagi di dunia ini. Jadi, mohon maafkan saya.

Yang benar,
Lelaki yang pernah mencintaimu.

No comments:

Post a Comment