Untuk hati.
Dia seperti tidak berada di tempat dia berada. Dia duduk takzim di atas kerusi roda tua tetapi dia seperti tidak berada di situ kerana senyumannya sentiasa menjunjung ke langit. Dia lelaki yang saya megah-megahkan kerana sabarnya. Lelaki yang sudah renta hidupnya dengan musibah, namun sabarnya itu seperti sudah terpasak kukuh di ubun-ubun. Daripada lelaki itulah, saya menerima tiga soalan untuk hati.
Lelaki baik.
Tidak saya tahu daripada mana sabar lelaki itu datang melungsur. Saya cuma tahu dia asalnya lelaki yang baik, yang punyai segala apa yang hanya mampu dimimpikan oleh ramai penduduk Malaysia. Rumah yang besar, anak yang pandai, isteri yang cantik, kerja yang bagus, dan segala macam perkara yang tidak ada sisi celanya.
Sehinggalah pada suatu malam yang gelap dia kehilangan semuanya. Rumah indahnya hangus bersama seisinya. Harta dan keluarga. Malah dia juga sempat pengsan dan apabila sedar, dia sudah mati separuh tubuhnya diserang strok. Sekelip mata semuanya tampil mengerikan, segala harapan habis tidak bersisa.
Namun dia tetap sahaja tersenyum bahagia seperti rasa sedih dan kecewa tidak sempat bersandar dalam hatinya.
Pernah saya bertanya kepada dia, bagaimana dia boleh melakukan kesabaran yang tinggi dalam hidupnya. Adakah dia melakukan kebohongan pada senyumannya hanya bagi menutup galau-galau dalam hati?
Dia seperti biasa tersenyum baik dan berkata, “Allah sayangkan saya.”
Saya diam dan hati saya mula bertanyakan soalan yang serong-serong. Allah sayangkan dia? Namun, soalan-soalan itu tidak juga bocor dan sempat saya memarahi hati saya dengan soalan serong itu. Lelaki itu pula seperti dapat membaca riak pada wajah saya lalu memasang mimik wajah yang tergesa-gesa mahu berkata sesuatu.
“Saya tidak menganggap ini sebagai kafarah, bukan juga suatu bala,” kata lelaki itu tersenyum di kerusi rodanya.
Saya mengerut dahi dan mata saya menyambar seluruh wajahnya yang tersenyum dan berkata, “Sekiranya bukan kafarah dan bukan juga bala, itu adalah apa?”
Lelaki di kerusi roda itu memberikan senyuman yang menundukkan lalu dengan jelas berkata, “Kafarah itu adalah ujian untuk orang baik yang terbuat dosa, dan ia menjadi penghapus dosanya. Bala pula adalah ujian untuk orang jahat yang berbuat jahat sebelum menerima azabnya di akhirat dan saya bukan daripada kedua-duanya.”
Saya terus diam. Fikiran saya masih terus memikirkan apa maksud lelaki yang berkerusi roda itu.
“Saya menerima ibtila', musibah yang menimpa ke atas orang yang baik, sedangkan selama ini dia melakukan kebaikan. Ia sebagai tanda Allah sayang dan mahu menguji iman penerimanya,” jelas lelaki itu tersenyum baik.
Saya masih lagi diam. Diam kerana dua perkara. Pertama, kerana cuba memahami maksud ibtila' dan kedua, cuba memahami mengapa lelaki itu begitu yakin mengatakan dirinya menerima ibtila. Cuba saya menahan diri daripada bertanya, tetapi satu soalan itu bocor juga daripada lidah saya.
“Mengapa begitu yakin itu ibtila'?” soal saya yang akhirnya membuat saya kesal kerana sepertinya saya gagal menjaga hati lelaki yang berkerusi roda.
Lelaki berkerusi roda itu sekali tersenyum lalu berkata lembut, “Selama ini saya sudah mendidik diri dan seluruh keluarga supaya semampu mungkin menjaga agama Allah dengan sebaik-baiknya. Agama yang menjamin kebahagiaan seluruh manusia. Lalu adakah saya mahu bersangka buruk kepada Allah dengan mengatakan Allah tidak sayang kepada saya selepas saya menjaga agamaNya dengan sebaik-baik jagaan?”
Tiga soalan.
Saya diam. Kata-kata lelaki itu benar, dan saya menyoal hati saya, mengapa pula saya yang harus berburuk sangka kepada lelaki yang sudah menjaga agama Allah? Seketika saya menyoal pula diri saya, bagaimana pula selama ini saya menjaga agama Allah? Tanpa sedar, tiga soalan terus menghambur ke dalam hati.
Adakah pada satu saat nanti saya mampu berkata dengan yakin yang saya menerima ibtila'? Ataupun saya dengan yakin berkata saya menerima kafarah? Ataupun mungkin saya dengan yakin berkata yang saya sudah menerima bala?
No comments:
Post a Comment