Betapa mengharukan zahir datukku. Dia lelaki tua yang sudah hampir rukuk tubuhnya dan jalannya pula didukung tongkat berkaki empat. Namun datukku itu tetap sering melempar senyumannya ke langit sepertinya mahu berbicara sesuatu untuk melepaskan rindu di awan biru. Sesekali dia memandang ke arah saya dengan pelopak mata yang tirus dan bola mata yang galak. Tidak dapat saya baca dengan terang maksud renungannya.
Seperkara yang saya pasti, setiap kali melihat dia, saya mendapati diri saya tersudut pada suatu rasa yang deritanya tidak mahu luntur. Seperti derita itu menunggu saya di jendela yang bertabir hitam. Saya menahan nafas, cuba saya meredakan jerit hati saya yang tertahan di dada.
Datukku lah yang mencetus rasa ingin tahu saya pada bahagia. Dia berkata dengan kalimat-kalimat yang pendek, penuh tekanan dan jelas dengan sengaja dia membenamkan butir katanya itu keras ke dada saya.
Soalnya, “Apakah impian kamu?”
Saya tidak segera memberikan jawapan. Saya diam lalu memasang raut wajah seperti orang bijaksana, berfikir dengan dahi yang sengaja dikerut-kerut.
“Mahu menjadi orang yang membahagiakan orang lain, walaupun hanya sebesar debu berterbangan di udara” jawab saya dengan senyum yang melebar.
Datukku itu menarik nafas, berhenti sesaat memegang nafasnya, sebelum kemudian dia melepaskan nafas yang dipegang. Wajah saya di tenung sedalam-dalam lautan pasifik dan saya yakin, hatinya diam-diam sedang berbisik sesuatu berkenaan saya.
“Bagaimana? Membahagiakan memang kata yang indah, namun bagaimana kamu mahu membahagiakan mereka?” soal datukku dengan alis yang turun naik.
Sekali lagi saya diam dan terus memasang mimik wajah yang meniru mimik wajah orang bijaksana. Diam dan mengerut-ngerutkan dahi.
“Membahagiakan mereka dengan membuat apa yang mereka suka,” jawab saya pantas.
“Saya setuju, namun terkadang kita tidak tahu apa yang mereka suka. Sesekali kita salah dalam mengertikan apa yang mereka suka, dan sebenarnya ia adalah sesuatu yang mereka benci. Jadi kamu mahu tahu, cara membahagiakan dengan percuma tetapi sangat sukar?” soal datukku dengan mata yang galak sambil mengelap kepala yang botak.
Saya cepat-cepat mengangguk.
“Kamu memaafkan mereka. Bukan sahaja atas salah mereka tetapi juga atas salah kita.” Datukku tersenyum.
“Maksudnya?” Saya terus terspontan bertanya.
“Adakalanya manusia berbuat sesuatu yang tidak salah, namun kerana hati kita yang gelap, mula membayang-bayangkan sikap mereka itu adalah sikap yang salah. Mungkin sahaja kita meluat, mungkin sahaja kita iri hati, mungkin sahaja kita cemburu, ataupun sebab yang sederhana, mereka tidak sama sealiran dan sama dengan kita. Apa sahaja. Lalu bahagiakan mereka dengan memaafkan mereka walaupun jelas ia adalah salah kita. Salah kita kerana pada waktu itu kita, tanpa kita sedar punyai niat seperti pisau hitam yang sedia menghiris. Maafkan mereka, dan pada saat kamu memaafkan itu, kamu tanpa sedar akan melemparkan senyuman daripada hati, dan pada saat itulah mereka sangat bahagia,” jelas datukku dengan bersahaja tetapi bermakna.
Saya menari-narikan bicaranya itu dalam kepala saya. Ternyata apa yang ditasbihkan oleh lelaki tua itu adalah sesuatu yang murah dan percuma, namun ia sangat sukar. Sesukar lelaki Melayu mendaki Everest. Namun kata-kata itu tetap mengikat ingatan saya, sampai ke ubun-ubun. Hingga ke hari ini, pada setiap saat yang saya teringat, saya akan berazam untuk membahagiakan manusia lain dengan kata maaf. Ya, pada setiap waktu yang saya teringat. Jadi pada saat yang saya terlupa, bahagiakan saya walaupun sebesar debu, dengan memaafkan saya. Saya mohon. :)
No comments:
Post a Comment