Sunday, April 22, 2012

Rezeki

Dia lelaki yang kemurungan di meja kedai makan memikirkan bagaimana caranya untuk memberitahu hal yang sebenarnya,dia di buang kerja oleh syarikat yang selama ini merupakan punca rezekinya dalam menyara anak-anak dan isteri yang tercinta.

Lelaki berambut kerinting itu merasakan dunia untuknya sudah berakhir, di kala memikirkan pula yuran-yuran persekolahan anak-anak kecil yang masing-masing memerlukan wang untuk belajar dan lagi memeritkan memikirkan bagaimana cara untuknya membayar sewa rumah yang sudah tertunggak 2 bulan.Hatinya seperti di hempap dengan batu berduri bila memikirkan bagaimana untuk membayar bil-bil perubatan bagi isterinya yang mengalami lumpuh.

Sambil-sambil menghirup secawan teh panas di tengahari yang panas terik menyengat kulit-kulit jantan,otaknya ligat memikirkan bagaimana untuk memberitahu isterinya yang dia diberhentikan kerja dan lelaki berambut kerinting itu juga membayangkan wajah kecewa isterinya apabila mendapat tahu suaminya tidak mampu lagi menyara keluarga.Entah bagaimana perasaannya nanti apabila berdepan situasi yang mana dia sudah tidak lagi berguna pada isteri,pada anak-anak dan pada keluarganya.

Menungannya begitu panjang tidak menghiraukan keadaan di sekeliling apa yang berlaku di kedai makan tersebut,orang ramai keluar masuk hairan melihat lelaki berambut kerinting duduk bermenungan sampai naik hairan dibuatnya.

Pada 6.30 petang ,barulah lelaki berambut kerinting itu tersedar dari lamunan yang panjang itu,bergegas dia mencapai topi keledar dan meninggalkan duit seringgit di atas meja makan untuk membayar air teh panas yang di minum. Masa yang di ambil untuk sampai ke rumah dari tempat kerja adalah 2 jam lamaya,pada pukul 8.30 malam dia sampai ke rumah.

Usai menyediakan makan minum anak-anak dan isteri.Lelaki berambut kerinting pun duduk bersimpuh di hadapan isterinya.

" Mah,abang dah diberhentikan kerja hari ini,"keluh lelaki berambut kerinting kepada isterinya tercintanya yang bernama Fatimah,panggilan manja untuk isterinya adalah Mah.

"Abang dah kecewakan Mah dan anak-anak,abang lelaki yang gagal,bapa yang kecundang,suami yang kalah,abang,,,malu kat Mah dan anak-anak,abang dah tak mampu lagi nak sara hidup kita semua,,,"keluh lelaki berambut kerinting pada isterinya,sambil menatap mata isterinya dengan renungan mata yang berkaca.

"Bang...,"dengan nada lemah isteri lelaki berambut kerinting bersuara.



Thursday, April 19, 2012

Rezeki

Dia lelaki yang kemurungan di meja kedai makan memikirkan bagaimana caranya untuk memberitahu hal yang sebenarnya,dia di buang kerja oleh syarikat yang selama ini merupakan punca rezekinya dalam menyara anak-anak dan isteri yang tercinta.

Lelaki berambut kerinting itu merasakan dunia untuknya sudah berakhir di kala memikirkan pula yuran-yuran persekolahan anak-anak kecil yang masing-masing memerlukan wang untuk belajar dan lagi memeritkan memikirkan bagaimana cara untuknya membayar sewa rumah yang sudah tertunggak 2 bulan.Hatinya seperti di hempap dengan batu berduri bila memikirkan bagaimana untuk membayar bil-bil perubatan bagi isterinya yang mengalami lumpuh.

Sambil-sambil menghirup secawan teh panas di tengahari yang panas terik menyengat kulit-kulit jantan,otaknya ligat memikirkan bagaimana untuk memberitahu isterinya yang dia diberhentikan kerja dan lelaki berambut kerinting itu juga membayangkan wajah kecewa isterinya apabila mendapat tahu suaminya tidak mampu lagi menyara keluarga.Entah bagaimana perasaannya nanti apabila berdepan situasi yang mana dia sudah tidak lagi berguna pada isteri,pada anak-anak dan pada keluarganya.

Monday, April 9, 2012

Dik,,O,,,Dik

Saya perempuan kampung yang keluarganya miskin. Saya juga perempuan yang bukan sahaja miskin harta, malah miskin ilmu agama, dan saya berjodoh dengan lelaki yang ini. Lelaki yang saya tidak mampu ceritakan dengan hanya satu baris kata-kata.

Pinangan.

Saya ingat lagi hari itu, pada ketika ibu dengan wajah yang tersenyum tidak biasa, datang kepada saya dan berbisik, “Kamu sudah dipinang orang.”

Saya ingat lagi perasaan itu, perasaan seperti buah jambu muda yang tiba-tiba jatuh lalu masuk ke dalam telaga yang gelap, dan terapung-apung di atas air yang tawar. Ya, begitulah perasaannya. Pada satu sisi, berasa ngeri jatuh ke dalam telaga yang gelap, namun pada satu sisi yang lain berasa nyaman kerana diri terapung-apung pada lembut air yang dingin.

Saya tidak kenal lelaki itu, tidak tahu nama dan tidak tahu rupanya bagaimana. Tetapi kata ibu, “Selepas ibu dan ayah, lelaki itu adalah orang yang mampu menjaga kamu dengan sangat baik.”

Itulah pesan ibu yang saya bawa pada hari pertama melihat wajah lelaki itu, selepas akad nikah. Dan saya ingat lagi perasaan itu, saya seperti buah jambu yang diangkat dari telaga lalu diletakkan di atas dulang emas. Sempat jugalah menitik air mata.

Saya ingat juga, pada kali pertama berdua-duan, saya cuma tunduk dan pada ketika lelaki itu mengangkat dagu saya, wajah saya merah, dan dia berkata, “Malu?” Saya cuma diam dan terus tunduk.

Dia tersenyum dan pada ketika itulah, untuk pertama kalinya saya mendengar kata-kata yang akan saya dengar dan ingat sampai bila-bila, “Dik, lama-lama nanti biasalah.”

Lalu tahulah saya, lelaki itu cuma seorang buruh yang kerjanya membina bangunan di bandar. Dan pada pertama kali saya melangkah masuk ke rumah sewanya yang sempit di flet tingkat 20, dia berkata, “Maaf, dik. Rumah kita sempit. Lama-lama nanti biasalah.”

Saya menjawab, “Rumah sempit tidak mengapa asalkan tetap ada abang, tetapi cuma satu yang saya takut,” kata saya lalu memandang ke arah tingkap.

“Apa, dik?” Dia menghampiri.

Saya memegang erat lengannya lalu berkata, “Saya takut tinggi.”

Dia tersenyum dan merapat lalu berkata, “Dik, lama-lama nanti biasalah.”

Anak.

Saya ingat juga, pada kali pertama dia dengan wajah yang tersenyum lebar berkata, “Mari saya tunjukkan kamu sesuatu.”

Tidak sempat saya berkata apa-apa terus tangan saya ditarik dan dengan megah dia menunjukkan saya sesuatu yang sangat dia banggakan.

“Motosikal untuk kita,” katanya lalu sekali lagi menuntun tangan saya, dan saya tidak tahu bagaimana, saya sudah membonceng di belakangnya sambil memeluknya erat-erat.

“Saya takut,” kata saya pada ketika motosikal itu melaju.

“Dik, lama-lama nanti biasalah.”

Pada ketika saya mengalami muntah-muntah teruk kerana mengandungkan anak yang pertama, dia tidak pernah merungut membasuh muntah saya yang terkadang terlepas di atas tilam, di lantai, dan terkadang di depan pintu.

Waktu itu, dengan hati yang sangat bersalah saya berkata, “Abang, maafkan saya. Maaf buat abang susah-susah begini.”

“Dik, tidak ada apa yang susah. Lama-lama nanti biasalah.” Dan kata-katanya itu membuatkan saya semakin cinta kepada lelaki itu.

Pada ketika anak pertama lahir, pada ketika terpaksa berjaga malam, dia turut ikut bersama berjaga bagi memujuk si anak yang hanya tahu menangis. Dan dengan lembut, pada ketika jam sudah menunjukkan tiga pagi dia berkata, “Dik, lama-lama nanti biasalah.”

Tudung.

Saya tidak tahu, bagaimana pada hari itu dia datang membawa sebungkus plastik hitam dan memberikan kepada saya, dan pada ketika saya membukanya, ada lima helai tudung berlainan warna di dalamnya. Dia dengan tersenyum berkata, “Malangnya nasib kamu, dik, bersuamikan orang jahil seperti abang. Ternyata selama ini abang gagal mendidik kamu menjadi perempuan yang sepatutnya kamu jadi. Mujurlah kata ustaz, tidak ada yang terlambat selagi kita masih bernyawa.”

Lalu sebagai isteri yang sayangkan suami, sejak itu saya tidak lagi mendedahkan rambut, cuma pada ketika hari panas dan saya mengadu dia berkata, “Dik, lama-lama nanti biasalah. Di dunia ini apa sahaja yang lama-lama, kita akan biasa. Berbeza di akhirat, lama-lama di syurga membuatkan kita tidak pernah puas, dan berlama-lama di neraka membuatkan kita semakin sakit. Jadi, di dunia ini, lama-lama nanti biasalah.”


Pada ketika itu juga, lelaki itu mula rajin solatnya. Sekiranya selama ini, dia cuma solat Jumaat, dan kini dia tidak lagi meninggalkan solat fardunya. Saya dengan penuh lembut dipujuk ikut sama bersolat dengan dia, dan pada ketika ada waktunya saya terlihat malas-malas, dia berkata, “Dik, lama-lama nanti biasalah.”

Sejak hari itu, selain waktu uzur saya, saya tidak sesekali meninggalkan solat saya. Cuma tetap ada satu pertanyaan dari dahulu yang saya simpan, mengapa ayah menerima pinangan seorang buruh? Dan pada malam itu, soalan saya terjawab.

Buruh.

Seperti malam-malam lainnya, selepas kami berdua pulang dari kelas mengaji, kami akan duduk di ruang tamu sambil berbicara dan pada ketika itulah saya bertanya soalan itu.

“Bagaimana abang, meyakinkan ayah saya bagi menerima pinangan abang?” soal saya sambil teringat masa lalu.

“Abang tidak tahu, tetapi menurut ayah kamu, semua lelaki yang baik-baik di kampung sudah mempunyai isteri. Dan sebagai keluarga yang miskin dan rendah taraf kerana tidak berpendidikan tinggi dalam ilmu dunia mahupun agama, agak sukar anak gadisnya dipinang lelaki yang baik-baik. Jadi ayah kamu mencari lelaki yang berpotensi menjadi lelaki yang baik. Kebetulan pada ketika itu juga abang menyuarakan hasrat hati kepada ibu mahu beristeri. Lalu ibu pun mencari dan ketemulah dengan kamu.”

“Berpotensi menjadi lelaki baik? Bagaimana ayah tahu abang berpotensi?” tanya saya sambil tersenyum tidak percaya.

“Kata ayah kamu, dia menerima abang kerana dia melihat abang sangat menghormati orang alim. Tidak kira imam, guru agama, bilal, dan sesiapa sahaja. Pesan ayah kamu, 'Kita ini orang jahil. Bagus sikap kamu menghormati orang alim, tetapi jangan berhenti di situ. Bercampur-campurlah dengan orang alim dan belajar daripada mereka. Lama-lama nanti biasalah kita dengan cara mereka. Lama-lama nanti, kita pun jadilah seperti mereka'.”

Malam itu tahulah saya, daripada mana lelaki yang saya sayangi itu memperoleh ilham bagi kata-kata, “Dik, lama-lama nanti biasalah.”

Sudahnya, saya tersenyum malu-malu.

Cinta.

Namun, tidak ada perkara yang terkecuali dalam dunia ini sekiranya ia melibatkan pedih hati. Malah pada kata-kata, “Dik, lama-lama nanti biasalah.” Juga membuatkan saya sentiasa pilu dan menangis dalam diam.

Takdir Tuhan, pada ketika anak-anak sudah besar, bernikah dan kami mempunyai cucu. Pada ketika kami sudah berpindah taraf daripada golongan miskin menjadi kelas menengah, pada ketika uban sudah memenuhi kepala, dan pada ketika bahagia sudah hampir sempurna, pada ketika itulah Tuhan memberi ingat, tidak ada yang kekal di dunia ini, baik derita mahupun bahagia.

Lelaki itu, suami yang sangat saya sayangi, atas sebab kecelakaan dia terbaring di katil hospital. Menangislah saya dengan sedu-sedan dan pada ketika itulah dia berkata, “Semua orang akan mati, dik.”

Saya tidak mampu berkata apa-apa selain terus membiarkan air mata yang berbicara.

“Janganlah menangis lama-lama. Ingat Allah masih ada. Abang pun sedih memikirkan kamu akan sendiri nanti, tetapi apa daya abang, dik. Pada ketika kamu sendiri nanti, ingatlah, dik, lama-lama nanti kamu biasalah.”

Itulah pesan terakhir dan pertama yang saya rasakan tidak benar, “Dik, lama-lama nanti kamu biasalah.” Walaupun sudah hampir sepuluh tahun, saya masih tidak biasa. Malah, saya tidak akan pernah biasa biarpun untuk seribu tahu. Ternyata, kata-kata itu juga tetap ada pengecualian.

Siang malamlah saya berdoa, semoga di syurga nanti, lelaki yang saya sayangi itu berkata kepada saya dengan kata-kata yang sama, “Dik, lama-lama nanti kamu biasalah.”

Thursday, April 5, 2012

Bengkel Besi dan Lelaki

Dia bertanya, “Ada berapa tempat dalam hidup kamu, yang kamu tersenyum dengan senyuman yang benar-benar daripada hati?”

Untuk soalan itu, saya sering termangu-mangu sendiri. Tidak banyak tempat yang saya benar-benar tersenyum daripada hati, tetapi setidak-tidaknya saya masih tersenyum, dan pada ketika itu, saya ditanyakan lagi satu soalan oleh lelaki tua itu, soalan yang membuatkan termangu saya menjadi menungan yang panjang.

Lelaki dan bengkel besi

Saya adalah lelaki yang hidupnya kasar, sangat kasar sehingga pernah saya diberitahu, lembut embun pagi pun enggan singgah pada tubuh saya. Tidak tahu saya, mengapa kata-kata begitu dilemparkan kepada saya, tetapi untuk setiap kata-kata yang datang kepada saya, saya yakin ia bukan kata-kata untuk mengambil hati.

Saya bekerja sebagai pembuat parang, dan katakan parang jenis apa yang kamu mahukan, saya pasti sediakan. Parang panjang, parang bengkok, parang pendek, ataupun parang-parang yang kamu lihat daripada filem Lord of The Ring. Katakan sahaja, saya pasti usahakan.

Untuk kerja itulah saban hari saya bermain dengan panas api, merah besi dan tajamnya denting tukul. Semua itu menjadikan otot saya padat, bersegi-segi dan urat-urat seperti tali yang berselirat pada tubuh saya.

Itulah dunia, apa sahaja yang mampu diterangi matahari, pasti mampu juga dilindungi bayang. Dan pekerjaan itu menjadikan saya, lelaki yang pendiam. Sangat pendiam dan saya hanya berbicara dengan denting-denting besi.

Pada ketika itu hanya denting besi yang mampu menyelongkar rasa bahagia dalam hati saya. Semakin kuat dentingnya semakin saya berasa bahagia. Dan seperti manusia biasa yang lain, saya juga punya kisah di sebalik bahagia yang saya peroleh daripada dengting besi itu. Kisah yang saya tidak pernah ceritakan kepada sesiapa, tetapi tetap diketahui oleh seorang lelaki tua.

Lelaki tua yang lebih hormatnya adalah adik kepada arwah ayah saya.

Bapa saudara.
Hari itu, pada ketika saya sedang peluh sudah membasahi wajah, hanya kerana bagi menempa parang Barrow, lelaki tua itu datang dengan wajah yang tenang. Dengan kopiah lusuh yang hanya hilang pada ketika mandi dan tidur, dengan baju Melayu cekak belanga ungu yang sudah tidak berbutang dan seluar hitam yang sudah nampak kelabu, dia duduk di pangkin, memerhati dengan pandangan orang yang penuh pengalaman hidup.

Dia tidak saya sambut, tidak saya pedulikan kerana saya sangat tahu, setiap kali dia datang, dia hanya datang dengan niat mengubah hati saya. Bukan sekali dua tetapi berkali-kali, namun kali ini, wajahnya sudah seperti nampak pada penghujung sabar, dan saya tahu, saya hanya perlu bersabar sedikit sahaja lagi bagi memastikan, lelaki tua itu tidak akan datang untuk selama-lamanya ke tempat penuh api ini.

“Sampai bila kamu mahu membuat parang?” Itu soalan pertamanya kepada saya.

Parang yang sudah terlihat bentuknya, saya kembali cucuh ke timbunan arang batu yang merah. Panas api itu sama dengan panas soalan daripada lelaki tua itu. Dan panas itu membuat saya hanya diam berdiri.

“Kamu ada ijazah, dan kamu ada pengalaman kerja yang bagus, mengapa kerja yang begini juga yang kamu kejarkan?” Lelaki tua itu terus bertanya dan saya terus diam memerhatikan bilah parang yang kembali merah.

“Sekiranya bengkel besi itu milik kamu, pak cik faham yang kamu mahu berniaga. Tetapi bengkel ini bukan kamu yang punya. Kamu hanya pekerja kepada Ah Chai, dan paling utama pak cik tahu, kamu tidak ada perancangan apa-apa pada kerja kamu ini. Sangat sia-sia ijazah dan pengalaman kerja kamu.”

Saya tahu, diam adalah pertahanan terbaik saya. Saya tahu, dengan diam saya ini, lelaki tua itu akan berlalu, dan bagi mempercepatkannya pergi, bilah parang yang merah itu saya ketuk dengan sekuat hati, biar dentingnya menyerang gegendang telinga lelaki tua itu.

Ting! Ting! Ting! Sekuat hati, itu yang saya niatkan. Ting! Ting! Ting!

Dan sekuat hati juga, lelaki tua itu menarik bilah parang yang merah daripada tangan saya, dan terus dicucuhkannya kepada timbunan arang batu yang menyala di hadapan saya.

“Saya tahu mengapa kamu kerja di sini. Kamu bekerja di sini kerana kamu mahu menebus dosa kamu kepada arwah ayah kamu, dengan menyambung pekerjaannya sebagai tukang besi. Tetapi kamu lupa, ayah kamu menyekolahkan kamu, bukan kerana mahu kamu menyambung pekerjaannya ini, tetapi mahu kamu bekerja yang lebih baik! Dan ini bukan caranya kamu menebus salah kamu kerana kamu tidak pernah bersalah, tetapi kamu cuma tidak dapat menerima ujian hidup.” Lelaki tua itu mula bersyarah, dan saya masih tidak menyangka lelaki tua itu masih kuat dan mampu merentap bilah parang daripada tangan saya.

“Mengapa kamu diam?” Lelaki tua itu mula keras suaranya.

“Soal hati, sampai bila pun pak cik tidak akan tahu,” jawab saya untuk pertama kalinya.

“Berapa kali pak cik mahu katakan, kamu tidak pernah bersalah ke atas kematian ayah kamu. Kamu tidak pernah bersalah sedikit pun. Tetapi sekiranya kamu berasa begitu, apa yang kamu buat ini tidak akan menyembuhkan luka hati kamu. Biar seribu bilah parang pun kamu siapkan, luka hati kamu tidak akan sembuh, dan tidak akan pernah sembuh!” bidas lelaki tua itu.

Atas kerana hormat, biarpun hati saya sudah diserang rasa tidak senang pada kata-kata dan perlakuan lelaki tua itu, saya tetap mencuba tenang dan diam.

“Kamu mahu memberontak kepada Tuhan?” soalnya, dan soalan itu membuatkan saya berpaling buat pertama kali kepada dia.

“Kata Imam Ghazali, “Cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah 'memberontak' kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Dan kamu ini sudah melakukan lebih daripada kebiasaan hidup. Kamu berhenti kerja, kamu berhenti tersenyum, muram, diam, dan malah sudah jarang betul saya melihat kamu solat.”

“Saya yang diuji, bukan pak cik. Sekiranya pak cik berada di tempat saya, tidak mungkin pak cik akan berkata begitu,” bidas saya geram dengan suara yang ditahan-tahan agar terdengar masih hormat kepada dia..

“Itu memang benar, tetapi apa yang berlaku ke atas diri kita itu adalah perkara kecil, perkara yang lebih besar adalah apa yang terjadi kepada hati kita? Jadi kematian ayah kamu itu bukan soalnya kerana setiap manusia akan mati, tetapi apa yang terjadi kepada hati kamu. Apa yang terjadi? Apa yang jelas, kamu seperti tidak redha dan hati kamu seperti gagal dalam ujian Tuhan. Jangan sesekali hati kamu gagal pada ujian. Kamu mungkin boleh berkali-kali gagal di luar. Gagal pada pelajaran, gagal pada cinta, gagal pada usaha, gagal pada pekerjaan, tetapi jangan... jangan sesekali gagal pada hati. Kerana pada ketika kamu gagal pada hati, kamu akan hanyut pada kesempitan hidup, dan hanyut pada kegagalan,” terang lelaki tua itu.

“Gagal saya, tidak akan membawa pak cik iku sama gagal,” hujah saya.

“Kamu adalah anak abang saya, dan kamu sudah saya anggap sebagai anak saya sendiri. Jadi, adakah seorang 'ayah' sanggup melihat anaknya 'gagal'? Tidak, saya tidak sesekali sanggup melihat kamu gagal kerana walaupun saya cuma bapa saudara yang miskin, yang belajar tidak tinggi, tetapi sayang saya kepada kamu, tidak kurang daripada sayangnya ayah kamu kepada kamu!”

Entah bagaimana, seketika kata-kata lelaki tua itu seperti air yang disimbah pada hati saya. Seketika, hati saya seperti lumpur keras yang terkena air, dan mula melembut. Saya diam tetapi diam saya kali ini berbeza, diam yang saya tidak tahu entah apa perasaannya.

“Ada berapa tempat dalam hidup kamu, yang kamu tersenyum dengan senyuman yang benar-benar daripada hati?” soal dia lagi.

“Senyum itu tidak perlu dikira. Sekiranya dikira juga, kita hanya akan berjumpa dengan lebih banyak tangisan,” balas saya lalu tersenyum sinis.

“Kamu hanya akan berjumpa tangisan, apabila kamu tidak berjumpa dengan senyuman pada tempat itu. Sekiranya kamu berjaya senyum pada tempat itu, saya yakin kamu tidak akan lagi begini,” jelas dia.

Kata-katanya itu membuatkan saya tertarik untuk lebih tahu, namun saya memilih diam kerana hanya itu perkara terbaik yang mampu saya buat. Pada ketika itu juga, lelaki tua itu mengambil bilah parang yang sudah merah dan menukulnya dengan sekuat-kuat hati. Terbit asap dan percik api, dan ia membuatkan saya semakin tertanya-tanya.

“Rasulullah pernah bersabda, “Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!” Seperti besi yang kamu tempa ini. Adakah besi yang kamu tempa ini sudah sedia bersih? Pasti ia adalah besi hitam, kotor dan penuh karat. Adakah membasuhnya dengan air akan menjadikan besi itu bersih? Tidak mungkin dan hanya dengan api yang mampu membuatkannya bersih, suci dan lembut bagi ditempa menjadi sesuatu yang berguna.”

“Apa kena-mengena dengan saya?” soal saya pantas kerana sudah terlalu jauh dia membawa saya.

“Allah 'mendidik' kita secara langsung dengan ujian-ujianNya. Ujian Allah itu bolehlah dikatakan seperti relau yang berisi api itu, dan besi itu adalah diri kita. Besi yang dibersihkan dan dilembutkan oleh api. Itulah ujian Allah bagi mendidik hati kita supaya tahu maknanya syukur, sabar, redha, merendah diri, ikhlas, dan semua perkara-perkara baik. Itulah diri kamu, kamu sekarang sedang berada di dalam relau, tetapi kamu hanya melihat panasnya api, mengapa tidak melihat apa yang akan kamu peroleh sekiranya kamu sudah siap 'ditempa'? Itulah hikmah, tetapi kamu tetap tidak 'siap' kerana kamu enggan melihat hikmahnya.”

Saya pantas berkata, “Bagaimana saya mahu melihat diri saya siap ditempa?”

“Dengan tersenyum kepada ujian-ujian Allah. Senyum bukan kerana putus asa, tetapi senyum kerana reda dengan ujian-ujian Allah. Kamu senyum kerana kamu berbaik sangka kepada Allah, dan kamu senyum kerana kamu tahu ujian-ujian Allah hadir kerana kasih sayang-Nya melebih murka-Nya, dan kamu sedar kamu masih ada peluang bagi kembali ke jalan yang benar, jalan yang diredai Allah.”

Saya terdiam dan dia menyambung lagi,

“Itulah tempat, yang apabila kamu mampu tersenyum di situ, kamu akan senang untuk tersenyum di mana-manapun. Kamu tidak akan temukan diri kamu menangis selain tangisan kerana taubat kepada Allah. Walaupun saya tahu, saya tidak mungkin menggantikan ayah kamu dalam hati kamu, saya boleh pastikan, saya juga seperti ayah kamu, mendoakan kamu pada setiap kesempatan. Jadi, saya mohon untuk kali kamu dengarlah kata saya. Kata seorang lelaki tua yang miskin dan bodoh ini.”

Dan seperti biasa lelaki tua itu pergi, tetapi kali ini, perasaan saya sudah tidak seperti biasa kerana ada sesuatu yang tersisa pada hati saya, sesuatu yang saya hanya mampu luahkan menjadi tangisan yang panjang.

KEZALIMAN BASHAR AL ASSAD PASTI AKAN TUMBANG

Tiada makhluk Allah yang tidak akan mati, sama ada ia manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Hebat macamana sekalipun manusia atau binatang, apabila sudah ajalnya ia tetap akan mati. Walaupun suatu ketika dahulu pernah diberi gelaran 'orang besi', 'haiwan paling berbisa', 'paling berbahaya', 'paling kuat di dunia' dan bermacam-macam gelaran lain, mati tetap akan menemuinya walau di mana dia berada, hatta di angkasa sekalipun. Tetapi makhluk bemama manusia sering lupa, semasa hidup di dunia apabila tidak menghubungkan diri dengan ilmu-ilmu agama serta akhlak yang mulia, pasti dia tidak akan merasakan bahawa terdapat satu kuasa yang lebih besar dari segala-galanya yang ada antara langit dan bumi, itulah kuasa Allah Taala, Tuhan semesta alam.

Sebagai Muslim yang sering menghubungkan dirinya dengan agama, kita sedar bahawa Allah Taala mencipta kita adalah untuk menguji kita siapakah di antara kita yang lebih baik amalannya di sisi-Nya. Dia tidak mencipta kita dengan sia-sia, ini ditegaskan Allah melalui firman-Nya dalam ayat 115 surah al-Mukminun :

"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (daripada tiadakepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada kami?"

Ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita, bahawa terdapat dua dimensi Allah memberitahu kepada kita, di mana pertamanya kita tidak dicipta dengan sia-sia dan kedua kita akan dikembalikan kepada-Nya pada suatu hari nanti yang dikenali dengan 'Hari Kiamat' atau 'Hari Akhirat' yang merupakan destinasi persinggahan terakhir bagi setiap makhluk ciptaan-Nya.

Persoalannya di sini, apakah persiapan atau bekalan yang telah kita persiapkan untuk menghadapi hari tersebut, yang telah digambarkan dalam al-Quran dengan pelbagai versi seksaan dan azab yang menunggu mangsanya yang datang kepadanya pada hari yang dijanjikan itu. Jika kita merupakan jenis manusia yang tunduk kepada intipati al-Quran dan hadis Nabi Muhammad S.A.W, insya- Allah kita akan selamat dan diselamatkan dengan syafaat Baginda S.A.W, tetapi sebaliknya jika kita adalah jenis manusia yang jahat, suka melawan Allah dan menyanggah ajaran Rasulullah, maka kita akan disisihkan daripada mendapat syafaat Baginda. Na'uzubiLlahi min zaalik

Al-Quran telah mendedahkan beberapa siri kejahatan manusia yang akhirnya mereka kecundang menyembah bumi dengan tidak membawa sebarang bekalan yang boleh membantu mereka terselamat daripada azab Allah Taala. Al-Quran telah mendedahkan individu-individu terbabit seperti Namrud, Firaun, Qarun, Haman, Abu Lahab, kaum Nabi Ibrahim, kaum Nabi Musa, kaum Nabi Lut dan sebagainya. Tetapi, apakah sebenarnya pengajaran yang Allah mahukan pemberitaannya disampaikan kepada kita sebagai umat Nabi Muhammad, iaitu umat Nabi terakhir yang tidak ada lagi Nabi selepas Baginda. la tidak lain ialah untuk menyedarkan supaya kita tidak berlengah dan bertangguh untuk membuat persiapaan bagi menghadapi hari yang penuh dengan muhasabah dan perhitungan.

Kesemua peringatan itu telah disampaikan oleh Baginda Rasulullah S.A.W melalui 'Nuzul al-Quran' sebagai mukjizat yang tidak ada taranya sampai hari kiamat, supaya tidak ada mana-mana manusia di kalangan umatnya yang mendakwa bahawa dia sama sekali tidak mengetahui terdapat peringatan itu dalam al-Quran. Kalaupun berlaku demikian, ia bukan salah al-Quran atau salah Nabi Muhammad, malah manusia perlu menyalahkan diri sendiri, kerana dia bukan hanya menetap di dunia ini pada satu waktu yang singkat, tetapi dia telah berada di dunia ini menjangkau lebih setengah abad atau lebih dari itu.

Adakah tidak kita menggunakan akal fikiran walau satu hari tentang keadaan mati, atau destinasi yang menanti di akhirat? Satu hari yang berjumlah 365 hari kiraan kalendar Masihi dan 355 hari kiraan kalendar Hijri dan dikalikan dengan 50 tahun hidup di dunia berjumlah 17,751 hari. Satu hari sahaja berfikir untuk memfokuskan nasib di akhirat. Kalau itupun tidak boleh dilakukan, ia menunjukkan bahawa hati manusia itu telah ditutup dengan tutupan Allah Taala.

Inilah yang telah berlangsung dalam sejarah kehidupan manusia di abad moden, kita sama-sama telah menyaksikan individu yang bernama Islam telah membunuh, memenjara, menyeksa saudaranya sendiri daripada kalangan umat Islam, bagaimana kesudahan golongan penyeksa di dunia, akhirnya mereka mati juga menghadapi Allah, sebelum datangnya kiamat, mereka terlebih dahulu diseksa oleh Allah dalam kubur masing-masing. Itulah yang telah berlaku kepada Jamal Abdul Nasir dan Anwar Saddat (mantan Presiden Mesir), Saddam Hussein (Iraq), Muammar Gaddafi (Libya), Habib Bourqiba dan Zein al-Abidin (Tunisia), Chadli Benjadid dan Abdelaziz Bouteflika (Algeria), Hafez al-Assad (Syria) dan anaknya yang masih hidup iaitu Basyar al-Assad.

Setelah kejatuhan Hosni Mubarak di Mesir, Zein al-Abidin di Tunisia, Muammar Gaddafi di Libya dan, Ali Abdullah Saleh di Yaman, boleh dikatakan kesemua negara terbabit jatuh di tangan rakyat masing-masing. Namun, apa yang berlaku di Syria amat berbeza dengan negara-negara yang telah disebutkan, tidak pernah pilihan raya diadakan kerana negara Syria dianggap sebagai warisan keturuan al-Assad, walaupun ia bukan negara monarki, namun secara automatik beralih daripada Hafez kepada anaknya Basyar.

Apa yang memilukan kita, rakyat Syria sama sekali tidak boleh bercakap mengenai kepincangan pemerintah mereka, para ulama diawasi malah ada yang ditangkap, disumbat dalam penjara serta dikenakan pelbagai seksaan untuk merencatkan fizikal mereka agar tidak boleh berfungsi untuk menyampaikan Islam kepada rakyat.

Pada Mei 2011, Basyar telah mengarahkan polis untuk menangkap sejumlah 28 murid sekolah yang dikenal pasti menconteng dinding awam yang tertera perkataan 'Rakyat mahu jatuhkan sistem pemerintahan Basyar', kesemua murid itu dimasukkan dalam penjara dan disoal-siasat siapakah ayah-ayah mereka. Tidak ada seorang pun daripada mereka yang mahu menjawab, ada di kalangan mereka dicabut kuku-kuku sebagai ugutan, ada yang mati kerana kekurangan darah, berita penangkapan dan kematian mereka dilaporkan dalam siaran berita televisyen. Laporan berita itu mendapat respons para ayah kepada murid-murid yang ditangkap, mereka meminta rejim Basyar supaya membebaskan anak-anak mereka tanpa syarat, tetapi pasukan polis dan tentera yang datang lengkap dengan senjata cuba membunuh mereka.

Kemudian polis mengemukakan tawaran untuk pembebasan dengan syarat anak-anak yang ditangkap ditukar ganti dengan anak-anak gadis mereka. Rakyat semakin marah dan hilang kawalan, lantaran itu polis terpaksa menembak mereka dan bermulalah episod pertembungan antara rakyat dan pasukan aparat reji Basyar di Syria. Kawasan penempatan rakyat yang majoritinya Ahlus Sunnah wal Jama'ah dibedil teruk sampai hari ini tanpa belas kasihan. Ini kerana Basyar yang menganut agama baharu 'Ba'ath' (sosialis) yang lebih mengutamakan material berbanding nasib umat Islam sendiri. Slogan Sunnah VS Syiah, Syiah VS Sunnah diapi-apikan, dan ia menjadi bonus buat Zionis Israel dan Amerika.

Oleh kerana kekejaman melampau Basyar itu, para ulama memberi respons dan menegaskan bahawa Basyar harus dibunuh, ia merupakan satu tugas fardhu 'ain atas setiap Muslim/ Muslimah. Malah pembunuhnya akan dibalas dengan syurga Allah pada hari akhirat kelak. Perkara ini telah dijelaskan oleh Setiausaha Agung Ikatan Ahlus Sunnah, Dr.Sofwat Hijazi memberikan fatwa supaya Basyar Al-Asad boleh dibunuh.

"Sesiapa yang berpeluang membunuh Basyar tetapi tidak membunuhnya maka dia berdosa".

Dr.Sofwat Hijazi yang juga Ketua Pemegang Amanah Revolusi Mesir itu turut berkata, "Sesiapa yang dapat membunuh Basyar maka dia akan memperolehi balasan syurga," katanya dalam pertemuan Khamis lalu anjuran Kesatuan Doktor-Doktor Perubatan dan Ikatan Ahlus Sunnah di bawah tajuk "Peranan Ummah dan Ulama Islam Dalam Membantu Syria dan Palestin".

Kata beliau lagi, "Jika wajah saya tidak dikenali nescaya saya akan pergi membunuhnya (Basyar) dan sesiapa yang mampu membunuhnya maka bunuhlah dia dan aku bertanggungjawab terhadap darahnya."

Sementara itu, seorang lagi ulama terkenal dari Mesir Dr.Jamal Abdus Sattar yang merupakan penyelaras bagi Kesatuan Pendakwah Mesir berpendapat bahawa, "Jenayah Basyar yang membunuh puluhan ribu rakyatnya tanpa membezakan antara lelaki atau orang tua atau kanak-kanak seperti yang dilakukan oleh Yahudi terhadap umat Islam di Palestin".

Jelas Abdul Sattar lagi, "Tidak perlu menghormati orang yang zalim walaupun dia mendakwa dirinya masih Islam".

Begitu juga pendangan mantan Mufti Mesir, Dr.Nasr Farid Washil yang menegaskan bahawa, "Bashar al-Assad adalah pembunuh dan harus dibunuh", katanya kepada akhbar milik Parti Kebebasan dan Keadilan (Hurriyyah wal'Adalah) yang merupakan sayap politik Ikhwanul Muslimin, pandangannya juga turut dipersetujui oleh Syeikh al-Azhar, Dr Ahmad at-Taiyib.