Monday, January 16, 2012

JANJI ALLAH KEPADA ORANG YANG BERNIKAH

Ketika seorang Muslim baik pemuda mahupun wanita akan menikah, biasanya akan timbul perasaan yang bermacam-macam. Ada rasa gundah, resah, risau, bimbang, termasuk juga tidak sabar menunggu saat melangkah pelamin. Bahkan ketika dalam proses ta'aruf sekalipun masih ada juga perasaan keraguan.

Berikut ini sekelumit apa yang hadir dari janji Allah kepada mereka yang menyimpan perasaan negatif dalam mencari teman hidup.

  • "Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)" (An Nuur:26)

Bila ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka perbaikilah diri. Hiduplah sesuai ajaran Islam dan Sunnah NabiNya. Jadilah lelaki-lelaki yang soleh, jadilah wanita yang solehah. Semoga Allah memberikan hanya yang baik buat kita. Amin.

  • "Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (pemberianNya) lagi Maha Mengetahui" (An Nur:32)

Sebahagian para pemuda ada yang merasa bingung dan bimbang ketika menikah. Salah satu sebabnya adalah kerana belum punya pekerjaan. Dan anehnya ketika para pemuda telah mempunyai pekerjaan-pun tetap ada perasaan bimbang juga. Sebahagian mereka tetap ragu dengan kemampuan gajinya. Dalam fikiran mereka terbit suatu persoalan, "Apakah cukup untuk keluarga gaji sekian?".

Ayat tersebut merupakan jawapan buat mereka yang ragu melangkah ke jenjang pernikahan kerana alasan ekonomi. Yang perlu ditekankan kepada para pemuda dalam masalah ini adalah kesanggupan untuk memberi nafkah, dan terus bekerja mencari nafkah memenuhi keperluan keluarga. Bukan gaji yang tinggi yang selama-lamanya tidak akan berkesudahan. Allah Maha Adil, bila tanggungjawab para pemuda bertambah dengan kewajiban menafkahi isteri-isteri dan anak-anaknya, maka Allah akan memberikan rezeki yang lebih. Tidakkah kita lihat kenyataan di masyarakat, banyak mereka yang semula miskin tidak punya apa-apa ketika menikah, kemudian Allah memberinya rezeki yang berlimpah dan mencukupkan keperluannya?

  • "Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, iaitu seorang mujahid fi sabiliLlah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya" (Musnad Imam Ahmad 2:251, Sunan An Nasa'ie, At Tirmizi, Ibnu Majah hadis No.2518, dan Hakim 2:160)

Bagi sesiapa sahaja yang menikah dengan niat menjaga kesucian dirinya, maka berhak mendapatkan pertolongan dari Allah berdasarkan penegasan Rasulullah S.A.W dalam hadis ini. Dan pertolongan Allah itu pasti datang.

  • "Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir". (Ar Ruum:21)

  • "Dan Tuhanmu berfirman : Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina-dina". (Al Mu’min:60)

Ini juga janji Allah ‘Azza wa Jalla, bila kita berdoa kepada Allah nescaya akan diperkenankanNya. Termasuk di dalamnya ketika kita berdoa memohon diberikan pendamping hidup yang agamanya baik, cantik, penurut, dan seterusnya. Dalam berdoa perhatikan adab dan sebab terkabulnya doa. Di antaranya adalah ikhlas, bersungguh-sungguh, merendahkan diri, menghadap kiblat, mengangkat kedua tangan. Perhatikan juga waktu-waktu yang mustajab dalam berdoa. Di antaranya adalah berdoa pada waktu sepertiga malam yang terakhir di mana Allah turun ke langit dunia, pada waktu antara azan dan iqamah, pada waktu turun hujan. Perhatikan juga penghalang terkabulnya doa. Di antaranya adalah makan dan minum dari yang haram, juga makan, minum dan berpakaian dari usaha yang haram, melakukan apa yang diharamkan Allah dan lain-lain.

Manfaat lain dari berdoa bererti kita meyakini kewujudan Allah Taala, mengakui bahawa Allah itu tempat meminta, mengakui bahawa Allah Maha Kaya, mengakui bahawa Allah Maha Mendengar. Sebahagian orang ketika jodohnya tidak kunjung datang maka mereka pergi ke dukun dan bomoh, berharap agar jodohnya segera tiba. Sebahagian orang ada juga yang menggunakan guna-guna (ilmu pengasih). Cara-cara seperti ini jelas dilarang oleh Islam. Perhatikan hadis-hadis berikut yang merupakan peringatan keras dari Rasulullah S.A.W, "Barang siapa yang mendatangi peramal/ dukun, lalu ia menanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam" (Hadis Sahih riwayat Muslim 7/37 dan Musnad Imam Ahmad).

  • "Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat" (Al Baqarah:153)

Mintalah pertolongan kepada Allah dengan melaksanakan sifat sabar dan menunaikan solat. Tentunya agar datang pertolongan Allah, maka kita juga harus bersabar sesuai dengan Sunnah Nabi S.A.W. Juga harus solat sesuai Sunnahnya dan terbebas dari perbuatan yang haram. Firman Allah Taala lagi (maksudnya), "Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan" (Al Syarh:5-6)

Ini juga janji Allah. Mungkin terasa bagi kita jodoh yang dinanti tidak kunjung datang. Segalanya terasa sukar dan sulit. Tetapi kita harus tetap berbaik sangka kepada Allah dan yakinlah bahawa sesudah kesulitan itu ada kemudahan.

  • "Wahai orang-orang yang beriman jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Muhammad:7)

Supaya Allah Taala menolong kita, maka kita mestilah menolong agama Allah Taala. Baik dengan berinfak di jalanNya, membantu penyebaran dakwah Islam dengan penyebaran risalah-risalah dakwah agama Islam, menyiapkan generasi yang akan melanjutkan perjuangan Islam dan sebagainya.

"Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa" (Al Hajj:40)

  • "Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat" (Al Baqarah:214)

Itulah janji Allah. Dan Allah tidak akan menyalahi janjiBya. Kalaupun Allah tidak/ belum mengabulkan hajat dan doa kita, tentu ada hikmah dan kasih sayang Allah yang lebih besar buat kita. Kita harus berbaik sangka kepada Allah. Inilah keyakinan yang harus ada pada setiap Muslim. Jadi, tidak ada sebabnya untuk kita meragukan tentang janji Allah ini. - TARBAWI

Sunday, January 15, 2012

KHALID AL WALID BERDAKWAH DALAM PERANG YARMOUK

Peperangan Yarmouk adalah pertempuran sengit yang berlaku di antara Islam dan Rom Timur (Byzantine) selama 6 hari pada tahun 636 M. Pertempuran tersebut merupakan salah satu pertempuran penting dalam sejarah dunia, kerana ia menandakan penguasaan kerajaan Islam di luar Tanah Arab, dan kemasukan Islam ke Palestin, Syria dan Mesopotamia, di mana majoriti rakyatnya adalah penganut agama Kristian.

Pertempuran ini terjadi semasa pemerintahan Umar Al Khattab, khalifah Islam ke-2. Pertempuran ini juga merupakan salah satu kemenangan bagi Khalid Al Walid yang mengukuhkan lagi reputasinya sebagai salah seorang panglima yang berkebolehan. Berdasarkan hal itu, ada pendapat mengatakan Umar mengambil keputusan memecat Khalid dari jawatan panglima perang kerana khuatir ketokohannya, kehebatannya, pengalamannya yang disanjung setiap kali pertempuran didakwa orang sebagai punca segala sebab kemenangan Islam. Pemecatan yang dilakukan oleh Umar itu kemudiannya disambut penuh redha oleh Khalid Al Walid tanpa sebarang bantahan.

Begitupun sejarah tidak dapat menafikan kehebatan seorang tokoh pejuang Islam yang tersohor dengan gelaran "Saifullah" ini, terutama sekali sewaktu peperangan Yarmouk. Khalid Al Walid telah mengendalikan perang ini dengan bertahan (defensif) dan kemudian melakukan counter attack (serangan balas) secara mengejut. Selama enam hari peperangan berlangsung akhirnya Rom berjaya dikalahkan pada hari itu juga. Kejayaan ini juga antara siri-siri kejayaan Al Quds dikembalikan ke tangan umat Islam.

Antara keistimewaan lain yang turut berlaku dalam perang tersebut ialah, kerajaan Islam yang dipimpin Khalifah Umar pada waktu itu mempertaruhkan sejumlah pasukan tentera yang jauh lebih kecil iaitu seramai 30 000 orang, berbanding tentera Rom seramai 240 000 orang. Namun pasukan Islam mampu bertahan, bahkan menang melawan pasukan yang sangat besar jumlahnya. Peperangan itu membuktikan jumlah tentera yang ramai bukan elemen sebenar mengalahkan musuh. Kejayaan peperangan itu mesti dibuktikan dengan keazaman, ketaqwaan dan semangat jitu untuk mempertahankan agama Allah dan menyebarkan dakwah Islam.

Di sebalik kemenangan itu, turut tercatat bagaimana Islam begitu menghormati hak musuh. Mereka yang ditawan tidak sewenang-wenangnya dilayan seperti musuh, sebaliknya hak mereka dipelihara menurut syariat Islam. Apabila prinsip dan akhlak ini dijaga, hal itu membuatkan musuh yang menentang Islam menerima agama Allah ini dengan hati yang redha. Dalam peperangan Yarmouk, seorang panglima Rom bernama George (Jarjah dalam bahasa Arab) memeluk agama Islam setelah mendapat penjelasan dari Khalid Al Walid mengenai Islam. George yang pada awalnya mengetuai unit serangan sayap kanan tentera Rom, meluru mara di hadapan pasukan tentera Islam dan melaung-laung nama Khalid Saifullah.

Kemudian George dapat bertemu Khalid Al Walid dan bertanya :

O Khalid, tell me the truth and do not deceive me, for the free do not lie and the noble do not deceive. Is it true that Allah sent a sword from heaven to your Prophet? And that he gave it to you? And that never have you drawn it but your enemies have been defeated?

"Wahai Khalid, aku meminta kamu berbicara dengan jujur dan jangan berdusta, jangan kamu menipu dan kerana sesungguhnya orang yang budiman (orang yang beriman kepada Allah seperti kamu) itu tidak berdusta. Adakah benar bahawa Allah telah memberikan kepadamu sebilah pedang dari syurga kepada Nabi-mu? Kemudian pedang tersebut diserahkan pula kepadamu? Maka, atas sebab itu setiap kali pertempuran kamu tidak pernah tewas, bahkan kamu-lah yang menewaskan musuh (dengan pedang itu)?".

Khalid menjawab, "Tidak. Kenyataanmu itu tidak benar".

"Lalu apakah sebabnya kamu dikenali Saifullah (Pedang Allah)?", George bertanya sambil merenung perdu mata Khalid yang dalam.

Khalid kemudian menjawab, "Ketika Allah mengutus Nabi Muhammad, seluruh kaumnya kerabatnya sangat memusuhinya, termasuklah aku. Aku adalah orang yang paling membencinya. Namun, selepas Allah memberikan hidayah-Nya kepadaku, maka aku pun masuk Islam. Ketika aku masuk Islam Rasulullah S.A.W menerimaku dan memberi gelaran kepadaku `'Saifullah' (pedang Allah). Bukanlah gelaran itu ku galas untuk berperang dengan orang bukan Islam, tetapi ingin mengajak kamu menjadi saksi..."

"Apa yang kamu panggil kepadaku tadi...", tanya George.

"Untuk kamu menjadi SAKSI...", Khalid menyambung jawapannya, "...Bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah utusan-Nya. Kami juga ingin mengajak kamu supaya mempercayai bahawa segala apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad itu adalah benar (memahami dan mendekati ajaran Islam)".

"Kalau aku tidak mahu menerimanya?", George bertanya lagi.

"Kamu diharuskan membayar jizyah, dan selama kamu membayar jizyah - nyawamu, hartamu dan segala milikmu berada di dalam pengawasan umat Islam. Selama kamu membayar jizyah, kami tidak akan membiarkan sesiapapun menumpahkan darahmu dan merosakkan harta bendamu, bahkan kamilah yang akan menuntut bela dan mempertahankan kamu dari segala ancaman", jelas Khalid.

"Bagaimana jika aku tetap tidak mahu membayarnya?", George cuba mencungkil jawapan yang lebih mendalam dari mulut panglima Islam itu.

"Apa jua perkara yang menimpamu, kami tidak akan menggalas apa-apa tanggungjawab ke atas hal itu", kata Khalid.

"Bagaimanakah kedudukan seseorang jika ada yang memeluk Islam pada hari ini? Adakah ke-Islaman orang itu sia-sia kerana tiada ganjaran pahala yang diterima olehnya di sisi Allah", George merenung Khalid dengan mengharap jawapan yang mencerahkan persoalannya.

Khalid menjawab, "Di hadapan Allah, kita sama semuanya, baik dia orang yang kuat, orang yang lemah, yang terdahulu atau yang terkemudian masuk Islam. Orang yang datang kemudian lebih tinggi kedudukannya daripada orang yang terdahulu memeluk Islam, kerana kami yang terlebih dulu masuk Islam, yakni menerima Islam ketika Rasulullah masih hidup dan kami dapat menyaksikan turunnya wahyu kepada Baginda S.A.W. Sedangkan orang yang masuk Islam kemudian, tidak menyaksikan apa-apa yang kami saksikan. Oleh itu, sesiapa sahaja yang memeluk Islam yang datang terakhir, maka dia akan lebih mulia kedudukannya, malah lebih besar pahalanya kerana dia memeluk Islam tanpa menyaksikan bukti yang lebih meyakinkannya terlebih dulu".

Kemudian George berkata, "Jika begitu, mulai saat ini aku bertaubat untuk tidak lagi memusuhi Islam dan aku menyatakan diri masuk ke dalam agama Islam, wahai Khalid tolonglah ajarkan aku mengenai Islam".

Dengan wajah gembira Khalid mengajak George masuk ke dalam khemah dan mengajarnya melafazkan 'syahadatain', kemudian Khalid mengajar George berwudhu' dan mengerjakan solat dua rakaat bersamanya. Apabila tentera Rom mendapati George tidak keluar-keluar dari khemah tersebut, mereka terus mengadakan serangan besar-besaran terhadap pertahanan umat Islam.

Selepas selesai mengerjakan solat, Khalid, George bersama tentera-tentera Muslimin meneruskan peperangan sehingga dalam pertempuran tersebut, George yang menyertai barisan kaum Muslimin terbunuh dan syahid di medan peperangan. Mulanya kafir, kemudiannya Mukmin dan diakhir hayatnya syahid.

Siapakah Orang Yang Paling Dikagumi Keimanannya?

Pada suatu hari ketika Rasulullah S.A.W bersama-sama Sahabatnya, lalu Baginda bertanya kepada mereka, "Siapakah yang paling menakjubkan imannya?"

"Para Malaikat", jawab Sahabat.

"Bagaimana tidak keimanan Para Malaikat dikagumi, mereka sentiasa hampir dengan Allah", jelas Rasulullah mempersoalkan kebenaran jawapan Para Sahabatnya.

Para Sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka menjawab lagi, "Sudah tentu para Nabi".

"Bagaimana Para Nabi tidak dikagumi imannya, bukankah wahyu diturunkan kepada mereka?", Baginda mempersoalkan jawapan Sahabat.

"Mungkin kami", celah seorang Sahabat.

"Masakan tidak, sedangkan kamu berada bersamaku", pintas Rasulullah S.A.W menyangkal hujah Sahabatnya lagi.

"Jika begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui", jawab seorang Sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka, mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membenarkan Al Quran dan beriman (melaksanakan) semua isi kandungannya. Merekalah orang yang paling menakjubkan imannya", jelas Rasulullah S.A.W. [ Riwayat Al Bazzar ]

Friday, January 13, 2012

STIGMA UMMAH MUASSIR INI

Tidak terusikkah kalbu serta tidak terbuakkah amarah kala melihat penderitaan kaum Muslimin di dunia yang ditindas dan dizalimi saban hari? Pada tanggal 21 Ogos genaplah 41 tahun sejarah hitam Masjid al-Aqsa yang dibakar oleh seorang kafir laknatullah bernama Michael Dennis Rohan. Pelampau Yahudi rakyat Australia yang disokong kuat oleh Kristian Zionis ini kemudiannya ditangkap. Namun, apa yang begitu dikesalkan, pelampau ini dibebaskan begitu sahaja dengan alasan dia tidak siuman. Musuh Allah ini dengan bangganya mengatakan bahawasanya dia telah melaksanakan perintah Tuhan dalam kitab Thalmud. Apa yang lebih menggeramkan, pihak Zionis pada waktu itu telah menutup saluran paip ke Masjid Al Aqsa serta menghalang bomba dan warga Arab masuk ke kawasan masjid pada hari berkenaan. Sudah terang lagi bersuluh pihak Zionis sama sekali menyokong perbuatan terkutuk ini dan mempunyai agenda jahat untuk memusnahkan kiblat pertama umat Islam ini!

Implikasi daripada perbuatan itu, sebahagian besar Masjid Al Aqsa rosak dan menjadi arang. Satu pertiga iaitu seluas 1500 meter persegi daripada 4400 meter persegi kawasan masjid musnah dibakar. Mihrab Zakaria, Masjid Umar Al Khattab serta sebahagian besar serambi masjid juga hangus dijilat api. Kala itu, seluruh dunia dari Maghribi hingga ke Indonesia bangun memprotes tindakan terkutuk tersebut. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) membuat sidang tergempar dan mengeluarkan Resolusi 271 mengutuk Israel dan menyeru menghentikan usaha untuk mengubah status Baitul Muqaddis. Namun, kutukan dan protes hanya sekilas sahaja ibarat angin kencang yang berlalu kemudian reda kembali. Tiada tindakan apatah lagi hukuman yang dikenakan, bahkan Zionis saban hari kian mengganas membunuh kanak-kanak dan orang-orang tua yang tidak bersalah serta memperkosa gadis dan wanita dengan rakusnya. Umat Islam tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya mengutuk, mengutuk dan mengutuk. Di manakah Persidangan Negara-negara Islam Sedunia (OIC), Liga Arab dan seluruh negara Islam?!

Zionis dari hari ke hari berusaha untuk meyahudikan Masjid Al Aqsa. Modus operandi mereka adalah dengan menghalang umat Islam menziarahi masjid dan memakmurkannya, menghalang usaha baikpulih masjid yang rosak, mengadakan upacara-upacara Yahudi di dalam kawasan masjid, menggali terowong besar dan panjang di bawah masjid, mengubah identiti Islam dan Arab kepada Yahudi serta membina Sinagog Hover bersebelahan Al-Aqsa. Semua ini mereka lakukan dengan mudah tanpa tentangan hebat kaum Muslimin seluruh dunia. Umat Islam sudah lemah. Tidak mampu berbuat apa-apa. Mereka hanya sibuk mengejar wang dan pangkat sehari-hari. Leka dengan permainan-permainan komputer, filem-filem dan muzik lagho yang dicipta oleh pihak Yahudi sendiri dan terus membantu mengukuhkan ekonomi mereka dengan produk-produk Yahudi yang terdapat dalam setiap rumah orang-orang Islam.

Sungguh telah berjaya rancangan Theodore Herzl, pengasas Zionisme pada tahun 1896 yang tercatat dalam bukunya (The Jewish State) yang menganjurkan pembentukan negara Yahudi di Palestin dengan cara rampasan dan penghalauan rakyat tempatan dari tanah air mereka sendiri.

As long as in the heart within

A jewish soul still yearns

And towards the end of the East

An eye still watches toward Zion

Our hope is not yet lost

The hope of two thousand years

To be a free nation in our own land

The land of Zion and Jerusalem

Begitulah rangkai kata lagu kebangsaan negara Yahudi yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris bertajuk Ha Tikva (the Hope). Sentimen rampasan kuasa terhadap tanah tumpah darah rakyat Palestin sudah kian subur dalam jiwa setiap Yahudi. Mereka pada asalnya adalah rakyat yang tiada tanah air sendiri. Hidup bertebaran di serata dunia dan mengemis di negara orang.

Namun, bagaimana dengan status Yahudi yang ditindas dahulu kini berhasil merampas negara Islam yang mana terletaknya masjid ketiga tersuci serta bumi Israk dan Mi'raj ini? Persempadanan negara-negara di seluruh dunia, dasar Liberalisme, Sekularisme, Pecah dan Perintah serta semangat kebangsaan (nasionalisme) yang kian dipopularkan menjadi faktor perpecahan dan kelemahan umat Islam itu sendiri di samping semakin jauhnya mereka daripada panduan hidup yang sebenar; al-Quran dan as-Sunnah.

Budaya hiburan melampau (hedonisme), sikap mementingkan periuk nasi sendiri tanpa mengambil kira kesusahan manusia yang lain, serta tebalnya sikap materialisme dalam sanubari segenap kaum Muslimin menjadi asbab puak-puak Yahudi dan Kafir laknatullah kian berkuasa dan sewenang-wenangnya berlaku zalim di atas muka bumi. Kaum Muslimin dewasa ini diibaratkan oleh Nabi S.A.W hanya sekadar buih-buih di lautan. Jumlahnya banyak tetapi apabila dihempas segulung ombak, akan musnah dan hilang begitu sahaja.

Nah, sahabat-sahabat, mari merencana perubahan diri agar dasar-dasar Islami itu terpahat utuh dalam diri kita. Kalaulah kita runsing memikirkan cara untuk mencari nafkah keperluan harian, sepatutnya kita lebih runsing memikirkan masalah-masalah yang melanda umat Islam kini. Kes pembuangan bayi yang semakin meningkat, zina dan seks bebas yang semakin berleluasa serta pesta-pesta maksiat di sana sini merupakan masalah yang sepatutnya difikirkan jalan penyelasaiannya bersama. Di manakah penghayatan terhadap hadis Rasulullah S.A.W yang sudah lali dilantunkan di bibir kita?

"Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang hal kaum Muslimin, maka dia tidak tergolong dalam kalangan mereka"

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu"- Al Baqarah:120.

Oleh: Abdul Nafi' Taqiuddin Mohd Roslan

Thursday, January 12, 2012

AL ISTI'JAL MENDORONG PENYAKIT AL FUTUR

Seorang da'ie, hendaklah sentiasa mengawal dirinya dari bersikap Al Isti'jal, atau dalam erti kata yang lain melakukan persediaan gerakan Islam ini perlu seperti lebah mentadbir sarangnya, di mana lebah terus berfungsi dan bergerak cergas tanpa sebarang pengabaian walaupun seketika sama ada siang atau malam. Mereka sama sekali tidak mengabaikan setiap peluang yang diperolehi. Apabila hasil diperolehi ia diterima dengan penuh ketenangan dan keselesaan. Jangan sama sekali bertindak gopoh ke atas sesuatu yang belum tiba masanya.


Sememangnya usaha memartabatkan Islam sering kali dicemari dengan pelbagai anasir asing yang pada hakikatnya di luar kerangka ajaran Islam itu sendiri. Kita biasa mendengar suara-suara bersemangat dan penuh emosi mencanangkan agar Islam kembali didaulatkan dengan apa cara sekalipun. Semangat berkobar-kobar untuk melihat Islam kembali tertegak dalam masa singkat lantas mendorong tingkah dan perilaku gopoh dan terburu-buru yang akhirnya mengundang fitnah dan kebinasaan.

Seperti yang disebut oleh Dr. Sayid Mohamad Nuh, isti’jal merupakan salah satu penyakit yang banyak diderita oleh para da’i, sehingga seringkali hal ini meskipun diiringi dengan niat yang ikhlas dan semangat yang tinggi. Gerakan Islam masa kini adalah tidak terkecuali dari menentukan kedudukan strategi menempuhi fenomena isti'jal ini. Marilah kita renungi kata-kata berikut yang penuh dengan cahaya di sepanjang jalan.

"Sesungguhnya medan untuk bercakap berlainan dari medan merancang, dan medan berkerja berbeza dengan medan bercakap, dan medan berjihad pula berbeza dengan medan beramal. Medan berjihad yang betul berbeza dengan medan berjihad yang salah. Agak mudah bagi kebanyakan orang untuk berteori dengan perancangan itu dan ini. Tetapi bukan semua teori yang berada di kepala mampu diukir ungkapannya melalui lisan. Dan sesungguhnya ramai yang mampu bercakap, tetapi agak sedikit dari kalangan mereka yang konsisten diperingkat amal dan tindakan. Dan ramai pula dari bilangan yang sedikit tadi mampu berkerja, tetapi sedikit pula dari kalangan mereka yang mampu menanggung bebanan jihad yang begitu berat, dan kerja-kerja yang begitu mencabar. Mereka inilah mujahid yang sebenar dan mereka terdiri dari bilangan yang kecil dari puak Ansar. Sungguhpun demikian, kadangkalanya mereka tersalah jalan, dan tidak menepati sasaran kiranya mereka tidak diberi pertolongan dari Allah. Dalam kisah Thalut akan menjelaskan lagi apa yang kami katakan".

"Maka bersedialah diri kamu dan dedahkannya dengan tarbiah yang betul dan ujian yang halus. Maka ujilah diri kamu dengan berkerja. Bekerja keras memang tidak menyeronokkan bahkan membebankan. Oleh yang demikian, hendaklah dihapuskan perasaan dan keinginan berehat serta cara hidup selesa. Kamu jangan sama sekali mensia-siakan setiap saat yang dimiliki tanpa berkerja. Maka pada ketika itu kamu akan mendapat pertolongan dan sokongan juga kemenangan dari Allah".

Sikap isti‘jal ditolak oleh agama, apatah lagi jika ia wujud dalam gerakan Islam ia mestilah ditangani sebaiknya. Rasulullah S.A.W pernah diminta oleh Khabbab bin Al Arat agar memohon kemenangan kepada Allah yang segera kepada Islam. Katanya,"Mengapa engkau Ya RasulAllah tidak mendoakan kita? Mengapa engkau tidak meminta kemenangan untuk kita?"

Lantaran itu, Nabi dengan muka merah terus duduk untuk menenangkan perasaan marah lalu bersabda,"Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu telah disisir dengan sikat besi sehingga menggelupas daging dari tulang dan dibelah dua badannya dengan gergaji, tetapi hal itu tidak memalingkan mereka dari agamanya. Demi Allah, Dia akan memberikan kemenangan kepada agama ini, sehingga orang yang berjalan dari Sana‘a ke Hadaral Maut tidak takut melainkan Allah, dan juga pengembala tidak bimbang dengan jagaan kambing-kambingnya terhadap ancaman serigala, tetapi kamu minta disegerakan!" (Riwayat Bukhari).

Pertolongan Allah itu pasti dan dekat, tetapi ia mempunyai masa dan tempoh waktu tertentu yang hanya diketahui Allah. Sebab itulah Rasulullah sentiasa berpesan kepada sahabat-sahabatnya supaya bersabar dan mendidik mereka supaya memahami fitrah perjuangan yang tidak diberikan kemenangan secara percuma dan sebelum tiba masanya. Ini diperkuatkan dengan firman Allah Taala,"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan dan ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam dugaan) sehingga berkata Rasul dan orang-orang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat". (Al-Baqarah: 214)

Al Isti'jal mempunyai rupa bentuk dan wajah yang bermacam-macam di antaranya:
1]. Mereka yang dilibatkan dengan jamaah dakwah sebelum sampai ke tahap wajar dan sebelum dikenal pasti tentang keilmuan, kemampuan dan persediaan mereka.
2]. Memertabatkan setengah-setengah pendakwah ke tahap yang tinggi sebelum mereka matang dan stabil keperibadiannya.
3]. Melakukan tindak tanduk liar walaupun kecil yang tidak berfedah dan merosakkan dakwah.

Sifat tergesa-gesa ini adalah sebahagian dari watak manusia, seperti yang dinyatakan Allah Taala :

“Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa” (Al Isra':11).

“Manusia telah dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa” (Al Anbiya':37)

Oleh karena itu, isti’jal itu adalah suatu tabiat yang pasti ada pada seorang manusia. Begitupun, ada kalanya sifat ini dibolehkan apabila persiapannya telah matang dan telah menguasai medan serta mempertimbangkan masak-masak akibat-akibat yang akan terjadi, sebagaimana kisah nabi Musa A.S.

"Mengapa kamu datang lebih cepat daripada kaum-mu wahai Musa. Berkata Musa; Itulah mereka sedang menyusuli aku dan aku bersegera kepada-Mu ya Rabb-ku supaya Engkau redha (padaku)" - (Toha:83-84)

Sebaliknya, jika ia hanya bermodalkan emosional, semangat dan dorongan jiwa yang tidak berteraskan hati yang ikhlas mengharap redha Allah, maka di sinilah isti’jal merupakan sebuah ‘penyakit’.

Memerhatikan tahapan masa merupakan sunnatullah atau proses tabi'ie yang Allah wujudkan sebagai salah satu cara untuk menguji tahap keimanan dan ketakwaan manusia. Sebab itulah sesuatu perkara tidak akan disegerakan sebelum cukup tempoh waktu yang telah ditentukan baginya. Sememangnya tanaman apabila dituai sebelum masak dan buah dipetik sebelum tiba waktunya, tidak akan menghasilkan manfaat yang diharapkan malah kadangkala mendatangkan mudarat dan tidak bermanfaat.

Begitu juga dengan cita-cita untuk mendaulatkan Islam tidak akan tercapai dengan hanya bermodalkan semangat semata-mata. Ia juga bukan sekadar melayani gelodak emosi tanpa memperhitungkan natijah dan akibatnya. Sebaliknya penggarapan terhadap usaha pemartabatan Islam atau amal Islami harus dilakukan secara dewasa, matang dan penuh perhitungan.

Apa yang perlu diingati bahawa Al Isti'jal, tidak sepatutnya dibawa masuk sama sekali ke dalam manhaj gerakan Islam semasa. Petikan As Syahid Imam Hassan Al Banna ini seterusnya merupakan sebahagian dari manhaj gerakan Islam memperakui kenyataan di atas. Beliau memberikan peringatan khusus kepada golongan yang diistilahkan sebagai ‘al mutahammisun al muta‘jiluw (orang-orang yang terlalu bersemangat dan gopoh), di mana beliau tidak akan bersama dengan mereka yang mahu memetik buah sebelum benar-benar masak, aau menuai sebelum masuk musimnya;

"Wahai saudara-saudara kaum Muslim yang begitu bersemangat dan begitu tergesa-gesa. Dengarlah dari saya ucapan yang terulung dari mimbar muktamar kamu ini di mana jalan yang kamu terokai ini telah digariskan plan tindakannya serta agenda-agenda yang ditetapkan sempadannya. Saya sama sekali tidak akan melanggari sempadan ini, di mana saya begitu yakin bahawa ia merupakan jalan yang begitu selamat untuk sampai ke matlamat yang dituju".

Sememangnya jalan yang sedang dilalui ini agak jauh, tetapi disana tidak ada pilihan lain. Sesungguhnya ketrampilan seorang lelaki itu ialah melalui kesabaran, kesungguhan dan amal yang berterusan. Sesiapa sahaja dari kalangan kamu yang ingin memetik buah sebelum ia masak atau memetik bunga sebelumnya ianya mekar, maka saya sama Sekali tidak akan bersama dengannya. Orang yang bersikap demikian adalah lebih baik untuknya meninggalkan gerakan dakwah ini dengan menyertai gerakan dakwah yang lain. Bagi siapa yang terus bersabar bersama saya sehinggalah bertunas biji yang disemai dan tumbuh pokok yang ditanam, juga masak buah yang sedang memutik hingga sesuai untuk dituai, maka ganjarannya terpulanglah kepada Allah. Kita sama sekali tidak akan kehilangan ganjaran sebagai orang-orang yang berbuat baik. sama ada kita menang dan memperolehi kedaulatan atau kita syahid dan memperolehi kebahagian.

Saudaraku kaum Muslimin, kawallah dorongan perasaan dengan pertimbangan akal. Pastikan segala perancangan menepati hakikat dan realiti, dan hendaklah kamu mencari kebenaran di dalam khayalan (teori) yang melangit dan janganlah pula kamu terlalu cenderung kepada apa yang kamu ingini sehingga kamu mengabaikan (keputusan) yang lain tergantung-gantung. Kamu jangan sekali-kali bertembung dengan tabiat alam kerana ia tetap akan menang (melakukan perintah Allah secara istimrar).

Saudara kaum Muslimin, sesungguhnya kamu berusaha di jalan Allah dan mencari pahala serta inginkan keredhan-Nya. Kesemuanya itu adalah terjamin ke atas kamu selagi mana kamu ikhlas di dalam perlakuan dan tindakan. Allah sama sekali tidak membebankan tentang natijah atau hasil yang kamu capai. Tetapi apa yang dibebankan ialah kebenaran arah yang dituju (amal yang kita lakukan) dengan persiapan yang baik dan kemas. Selepas kita memenuhi semua tuntutan diatas, maka tindakan yang kita lakukan mungkin silap atau mungkin benar. Kiranya kita tersilap maka kita akan diberi ganjaran pahala sebagai amilin yang berjuang. Seandainya kita benar maka kita akan memperolehi ganjaran pahala yang berganda sebagai amilin yang berjaya dan menepati fungsinya".

Kata Imam Hassan Al Banna lagi,"Kamu hendaklah berkerja. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama kamu. Allah sama sekali tidak akan mengabaikan amalan kamu. Kejayaan hanya akan dicapai oleh mereka yang berkerja. Dan Allah sama sekali tidak akan mensia-siakan iman kamu. Sesungguhnya Allah begitu amat pengasih dan penyayang kepada sekalian manusia". - Editor Tarbawi

WABAK SEPANJANG JALAN - AL GHURUR

Ramai orang beriman, apabila lemah imannya diserang pula dengan penyakit rasa hebat diri sehingga dia melupakan campur tangan Allah dalam melindung dirinya daripada kesilapan. Lalu, mula meremehkan orang lain dan semakin gelap matanya melihat hatinya sendiri, dia tidak nampak sebarang noktah hitam pun dalam hatinya. Maka itulah penyakit Al Ghurur, penyakit yang juga bakal menimpa para amilin. Oleh yang demikian para amilin adalah berkewajipan berusaha dengan bersunguh-sungguh membebaskan diri dari penyakit ini.
Pengertian Al Ghurur

Dari sudut bahasa Al Ghurur mempunyai makna yang berbagai, di antara maknanya yang penting ialah:
i) Al Khida' (penipuan) sama ada penipuan ini dilakukan ke atas diri sendiri atau pun ke atas diri orang lain. Firman Allah Taala bermaksud :

"Dan tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan kepada mereka melainkan tipuan belaka". (Al Isra':64)

ii) Perlakuan yang boleh membawa kepada Al Ghurur atau terjerumus ke dalamnya. Mengikut Imam Al Jawhari, "Al Ghurur ialah seseorang yang tertipu dengan kebendaan dunia". Hal ini seperti yang difirmankan Allah, bermaksud :

"Wahai manusia sesungguhnya janji Allah adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup dunia, dan janganlah syaitan yang menjadi sebesar penipu berpeluang menyebabkan terpedaya dengan kemurahan Allah". (Al Fatir:5)

Pengertian Al Ghurur Dari Sudut Istilah

Makna Al Ghurur dari segi istilah para dai'e dan amilin ialah kekaguman seseorang amilin dengan diri sendiri sehingga mendorongnya ke tahap menghina dan memperkecil-kecilkan setiap apa yang diusahakan oleh orang lain yang menyerupai apa yang ia sedang lakukan. Sungguhpun demikian, sikapnya itu tidaklah sampai ke tahap memperlekehkan peribadi saingannya atau merendah-rendahkan peribadi mereka.

Sudah tidak syak lagi sesiapa sahaja yang terlibat dengan sikap ini dia sebenarnya telah tertipu. Ekoran dari pentakrifan yang dinyatakan di atas dapatlah difahami tentang hubungkait di antara makna Al Ghurur dari segi bahasa dan maknanya dari segi istilah.

Sebab-Sebab Berlakunya Al Ghurur

Oleh kerana Al Ghurur merupakan tahap yang paling tinggi Al I'jab bil Nafsi, maka sudah semestinya sebab-sebab yang mendorong seseorang itu bersikap demikian samalah atau lebih sedikit dengan sebab-sebab yang mendorong kepada perlakuan Al I'jab bil Nafsi.

Di Antara Sebab-Sebabnya:-

1) Lalai untuk mengkaji dan muhasabah diri sendiri

Kadangkala sebab yang menjadikan seseorang itu ditimpa Al Ghurur adalah berpunca dari keabaiannya untuk mengkaji dan melakukan muhasabah ke atas diri sendiri. Terdapat sebahagian dari para amilin yang diuji dengan penyakit ini. Oleh kerana kelalaiannya untuk mengkaji dan memuhasabahkan diri, maka penyakit tadi telah menguasai dirinya. Pada masa itu, ia akan terus mengambil pendirian untuk memperlekeh dan memperkecilkan usaha orang lain yang menyerupai dengan usaha yang dilakukannya. Dengan mengambil sikap yang sedemikian ia sudah dikira maghrur atau tertipu dengan dirinya sendiri.

Kemungkinan di sinilah rahsianya kenapa Islam sentiasa memperingati agar setiap diri hendaklah sentiasa dikaji dan dimuhasabah sepanjang masa. Firman Allah bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah kamu kepada Allah dan setiap diri hendaklah melihat apa yang ia sediakan untuk hari esok (akhirat) dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnva Allah begitu arif dengan apa yang kamu lakukan". (Al Hasyr:18)

2) Lalai atau enggan menerima bimbingan orang lain

Perkara ini berlaku disebabkan sebahagian dari para amilin yang dihinggapi penyakit Al I'jab bil Nafsi adalah mereka yang lemah jiwanva. dan singkat pula pandangannya, sehinggakan ia tidak berupaya untuk membersihkan penyakit buruk ini dari dirinya. Untuk itu ia perlu mempelajari dari orang lain dan memerlukan mereka agar sentiasa berada bersama-sama dengannya dan ia hendaklah bergantung kepada bimbingan mereka.

Penyakit al Ghurur yang menimpa seseorang itu kadangkalanya tidak disedari oleh orang lain. Oleh kerana itu, tidak mungkin bagi mereka untuk memainkan peranan dan menunaikan tugas terhadap rakannya yang malang itu. Dengan keadaan yang demikian penyakit Al Ghurur tadi akan terus menguasai dirinya Dengan berlalunya masa orang tadi akan bertukar sikapnya kepada perlakuan Al Ghurur.

Kemungkinan di sinilah rahsianya tentang penegasan dan galakan Islam agar sentiasa beramal dengan konsep nasihat menasihati sehingga agama menjadikan nasihat sebagai bingkai ajarannya. Nabi S.A.W bersabda, bermaksud :

"Agama itu nasihat. Kami berkata untuk siapa? Baginda bersabda untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk pimpinan Muslim dan untuk orang awam di kalangan mereka".

Kemungkinan di sini juga rahsianya seruan Islam kepada solidariti dan bekerjasama di kalangan orang-orang Islam. Firman Allah bermaksud :

"Dan tolong menolonglah kamu untuk kebaikan dan ketakwaan". (Al Maidah:2)

Sabda Nabi SAW bermaksud :

"Seseorang Mukmin itu adalah cermin bagi seseorang Mukmin. Dan seseorang Mukmin itu adalah saudara bagi seseorang Mukmin di mana ia menjaga saudaranya dari kehilangan dan melindungi saudaranya dari belakang".

3) Tasydid atau keterlaluan dalam agama

Kadangkalanya sebab yang membawa kepada Al Ghurur adalah kerana begitu tasydid atau keterlaluan dalam menghayati ajaran agama. Terdapat sebahagian para amilin yang melibatkan diri di jalan Allah begitu tasydid dan keterlaluan. Selepas beberapa ketika ia mula menyedari bahawa para amilin lain di sekelilingnya memilih jalan sederhana dalam penglibatan mereka di jalan Allah. Oleh kerana kejahilannya atau kegagalannya memahami tabiat atau nature agama ini maka ia mula beranggapan mereka tadi tidak begitu serius atau menggalas tugas di jalan Allah.

Anggapan ini terus memutik di dalam dirinya sehinggalah sampai ke tahap memperlekeh dan mengecil-ngecilkan usaha vang dilakukan oleh rakan-rakannya dibandingkan dengan apa yang ia lakukan. Sifat yang demikian adalah dikira sebagai Al Ghurur.

Dan di sinilah sebahagian dari rahsia kenapa Islam mendesak kepada kesederhanaan bahkan melarang dari keterlaluan di dalam agama. Nabi SAW pernah berkata kepada sekumpulan Para Sahabat yang bercadang untuk menumpukan pengabdian diri kepada Allah semata-mata dan meninggalkan penghidupan dunia dengan sabdanya, bermaksud :

"Kamukah yang berkata demikian dan demikian? Demi Allah aku yang paling takut dan paling bertakwa kepadanya. Tetapi bagi aku sendiri aku berpuasa dan aku berbuka. dan aku bersembahyang dan aku tidur, dan aku juga mengahwini perempuan, maka sesiapa yang tidak mengikuti jalan aku dia bukanlah dari kalangan aku".

Dalam hadis yang lain pula baginda SAW bersabda, bermaksud :

"Binasalah golongan yang melampau". (Katanya itu diulangi sebanyak tiga kali), yang dimaksudkan dengan al mutanatti'un ialah mereka yang melebihi had atau keterlaluan dalam perkataan dan perbuatannya. Nabi SAW seterusnya memberi amaran agar tidak keterlaluan di dalam menunaikan amanaha agama di mana Baginda bersabda, bermaksud :

"Hendaklah kamu mengelakkan diri dari keterlaluan di dalam agama sesungguhnya kaum-kaum yang sebelum kamu telah binasa adalah kerana keterlaluan mereka di dalam agama".

Dalam satu hadis yang lain pula Baginda bersabda, bermaksud :

"Sesungguhnya agama itu mudah sesiapa yang tasydid atau melampau di dalam agama maka ia akan dikalahkan oleh sifat tasydid dan pelampaunya itu, maka hendaklah kamu perbetulkan. Hampirkan dan gembirakan tentang pahala (yang akan diperolehi kerana amal yang berterusan)".

4) Keterlaluan melakukan pengkajian ilmu agama

Terutamanya perbincangan mengenai masalah-masalah yang pelik dan ganjil dalam masa yang sama mengabaikan tugas utama. Kadangkala sebab yang membawa kepada Al Ghurur adalah berpunca dari keghairahan mendalami dan memperincikan sesuatu ilmu terutamanya yang melibatkan perbincangan ke atas masalah atau persoalan yang pelik-pelik pada hal tugas yang perlu dilakukan telah diabaikan.

Dalam masa ia menumpukan kajiannya ke atas masalah-masalah tadi, ia mendapati rakan-rakan para amilin tidak begitu memberi perhatian kepada perkara yang ditumpukannya, atau kalau sekalipun mereka memberi perhatian, mereka tidaklah begitu sangat untuk mendalaminya. Sebenarnya sikap kurang perhatian rakan-rakan tadi terhadap perkara tersebut adalah berpunca dari dua sebab.

Pertama: Ia bukan merupakan persoalan pokok yang boleh memudaratkan kalau tidak didalami.
Kedua: Perkara tersebut tidak mungkin diamal atau dilaksanakan.

Dengan yang demikian akan terlintaslah di kepalanya bahawa rakan-rakannya tidak mampu atau berkebolehan untuk menguasai masalah-masalah ilmu seperti yang ia kuasai, atau kalau pun ada yang dapat menguasai dan mendalaminya. Keupayaan mereka tidaklah setara mana jika dibandingkan keupayaan yang ada padanya tentang masalah-masalah yang pelik-pelik dari ganjil tadi.

Pandangan dan sikap yang sedemikian akan terus bermain dan mencengkam pemikirannya. Akhirnya ia akan mengambil sikap merendah dan memperkecilkan kebolehan orang lain jika dibandingkan dengan apa yang ada padanya. Sikap yang sedemikian dinamakan penyakit Al Ghurur.

Kemungkinan di sinilah rahsia kenapa Islam menuntut supaya sentiasa berusaha mencari ilmu yang bermanfaat dan dimanfaatkan. Di antara doa' Nabi SAW di dalam perkara ini ialah, bermaksud :

"Ya Allah, sesungguhnya aku pohon perlindungan dengan Engkau dari ilmu yang tidak bermanfaat dari hati yang tidak khusyu' dari nafsu yang tidak kenyang dan dari doa yang tidak diperkenankan".

Bahkan Allah telah menegaskan tentang ilmu diiringi dengan amal, kalau tidak ia menuju kepada kebinasaan, Allah berfirman yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman kenapakah kamu kata apa yang kamu tidak lakukan. Besarlah kemurkaan di sisi Allah bahawa kamu berkata tentang apa yang kamu tidak lakukan". (As Saf:2-3)

Firman Allah bermaksud :

"Adakah kamu menyuruh manusia untuk melakukan kebajikan dan kamu melupai diri kamu sendiri pada hal kamu membaca al kitab. Apakah tidak kamu berfikir". (Al Baqarah:44)

Nabi bersabda, bermaksud :

"Akan diheret seorang lelaki pada hari kiamat lalu dilontarkannya ke dalam api neraka, isi perutnya terburai keluar dan dijilat api neraka, dia terus berlegar di dalam neraka seperti berlegarnya keldai di tempat kisaran, lalu penghuni neraka berkumpul melihatnya dan bertanya, "wahai saudara apakah kesalahan engkau? bukankah dulu engkau menyuruh kami melakukan yang makruf dan melarang kami dari melakukan kemungkaran." Ia menjawab: "Aku dulunya menyuruh kamu melakukan makruf tetapi aku sendiri tidak melakukannya, dan aku melarang kamu dari melakukan kemungkaran tetapi aku sendiri rang melakukannya".

5) Menumpukan kepada ketaatan dengan membiarkan kemungkaran dan kejahatan berluasa

Kadangkala sebab yang membawa kepada Al Ghurur ialah berpunca dari penumpuan kepada ketaatan dengan membiarkan atau melupai segala bentuk maksiat dan kejahatan yang wujud. Apa yang perlu diingat, bahawa kita semua adalah manusia. dan keadaan manusia pula (kecuali para Anbia') ada yang betul dan ada yang salah.

Apabila hakikat ini dilupai, maka dalam banyak keadaan para amilin akan memberi tumpuan kepada ketaatan dan perkara-perkara yang betul sahaja. Dalam masa yang sama mereka melupai untuk mengatasi kemaksiatan dan kesalahan yang wujud. Sikap yang demikian menjadikan mereka bersifat al Ijab bil Nafsi di samping mereka akan merendah-rendahkan rakan-rakan lain yang terlibat dan berusaha untuk mengatasi kemaksiatan tadi. Sikap yang demikianlah dinamakan Al Ghurur.

Allah S.W.T. di dalam firmannya telah menarik perhatian tentang perkara ini di mana Allah memuji sebahagian dari golongan yang beriman yang menunaikan ketaatan dan dalam masa yang sama takut dan bimbang kalau-kalau apa yang mereka lakukan akan terhalang untuk diterima oleh Allah.

Firman Allah bermaksud :

"Sesungguhnya orang yang sentiasa bimbang disebabkan takut kepada Tuhan mereka, dan orang yang beriman kepada ayat-ayat Tuhan mereka dan orang-orang yang tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhan mereka dan orang-orang yang memberi akan apa yang mereka berikan sedangkan hati mereka gerun gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka, merekalah orang yang mengerjakan kebaikan dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya". (Al Mukminun:57-61)

Berkaitan dengan ayat ini Saidatina Aishah RA berkata, sebagaimana maksudnya :

Aku berkata: "Ya Rasullullah S.A.W dan orang yang memberi akan apa yang mereka berikan sedangkan hati mereka gerun gementar pada hal ia mencuri, berzina dan meminum arak adakah ia takut kepada Allah?" Baginda menjawab: "Tida wahai anak perempuan al-Siddiq, tetapi sebenarnya orang yang bersembahyang, berpuasa, bersedekah (berzakat) itulah orang yang takut kepada Allah. "

Nabi S.A.W juga menarik perhatian di mana Baginda menyeru agar setiap perbuatan yang telah sempurna dilakukan hendaklah diserahkan kepada kurniaan dan rahmat Allah, dan jangan sekali kali bergantung kepada perbuatan yang dilakukan itu. kiranya ini tidak diamalkan maka ianya dikira sebagai al Ghurur. Maka lantaran itulah Nabi SAW bersabda, bermaksud :

"Tidak mungkin sesuatu amal atau perbuatan dapat menyelamatkan salah seorang dari kamu. Mereka berkata: "Sekalipun kamu wahai Rasul S.A.W? Baginda menjawab: "Ya sekalipun aku. Cuma aku ini dilindungi Allah dengan rahmatNya. Maka hendaklah kamu perbetulkan, hampirkan (dengan Allah) dan (beribdatlah kamu) di pagi, petang dan sebahagian dari malam. Dan teruskanlah beriltizam secara sederhana nescaya kamu akan mendapat keredhaan Allah".

Dalam konteks ini Abdullah bin Mas'ud dalam penghuraiannya berhubung dengan kesan mengingati dosa dan lupa tentang dosa yang merupakan perangai manusia mengatakan, bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu apabila ia melihat dosanya ia merasai seolah-olah ia sedang duduk di bawah bukit dan merasai takut kalau-kalau bukit itu menimpanya. Manakala orang yang jahat pula melihat dosanya tidak lebih dari seekor lalat yang terbang melintasi hidungnya". (Kemudian dia - Ibn Mas'ud - berkata beginilah dengan mengibas tangannya).

6) Condong kepada dunia

Kadangkala sebab yang membawa kepada Al Ghurur ialah berpunca dari sikap terlalu condong kepada dunia. Terdapat setengah para amilin menyedari yang ianya diuji dengan penyakit al I'jab bil Nafsi, tetapi oleh kerana kecenderungannya kepada dunia begitu kuat di samping ia sudah tenggelam di dalamnya atau kemungkinan juga dirinya dikuasai oleh rasa malas, maka ia sudah tidak mampu lagi untuk mengumpul segala hasrat dan daya bagi mengubati dirinya tadi.

Bahkan ia cuba mengambil sikap berlenggah-lenggah dan tidak melakukan taubat dengan segera. Dengan berlalunya masa sikap Al I'jab bil Nafsi mula bertukar menjadi penyakit yang serius dan kronik. Yang demikian itulah dinamakan al Ghurur.

Sebab-sebab yang boleh membawa kepada Al I'jab bil Nafsi telah diperingati oleh al Quran melalui kecamannya tentang dunia dan amaran mengenainya apabila manusia mengambil sikap menjadikan dunia sebagai sasaran dan matlamat hidup.

Firman Allah bermaksud :

"Ketahuilah sesungguhnya (yang dikatakan) penghidupan dunia itu tidak lain melainkan permainan dan hiburan (yang melalaikan), serta hiasan, juga bermegah-megah di antara kamu, serta berlumba-lumba membanyakkan harta dan anak pinak, samalah seperti hujan (menumbuhkan tanaman menghijai subur) yang menjadikan orang kafir (penanam) suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu berubah segera (ke suatu masa tertentu) selepas itu engkau melihatnya berupa kuning, akhirnya ia menjadi hancur berkecai". (Al Hadid:21)

Firman-Nya lagi bermaksud :

"Dan kemukakan kepada mereka misal perbandingan kehidupan dunia ini samalah seperti air yang kami turunkan dari langit lalu bercampur-baurlah tanaman di bumi antara satu dengan lain disebabkan air tadi, kemudian ia menjadi kering hancur ditiup angin. Dan Allah amat berkuasa atas tiap sesuatu". (Al Kahfi:45)

Firman-Nya lagi bermaksud :

"Sesungguhnya orang yang tidak menaruh harapan akan berjumpa kami (pada hari akhirat) dan mereka yang telah berpuas hati dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasaan) kami. Orang yang demikian keadaannya (di dunia) tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah Neraka hasil dari apa yang mereka lakukan (keengkaran dan kederhakaan)". (Yunus:7-8)

Manakala Nabi SAW bersabda, bermaksud :

"Binasalah hamba dinar dan hamba dirham juga hamba selimut (tidur). la berpuas hati apabila diberi dan marah apabila tidak diberi. Binasalah dan kecundanglah, dan apabila ia berada dalam kesulitan ia tidak mengambil kisah. Berbahagialah bagi hamba yang memegang kengkang kudanya berperang pada jalan Allah, dengan keadaan rambutnya yang kusut dan kakinya yang penuh debu. Apabila ia ditugaskan mengawal maka ia akan berkawal dan apabila ia ditempatkan di barisan belakang ia terus berada di barisan belakang. Dan apabila ia meminta keizinan, keizinan tidak diberi. Dan apabila ia memohon syafaat (memohon untuk kebaikan) kebaikan tidak akan diberi".

Dalam menghargai kumpulan ini terdapat ketikanva di mana Rasullullah S.A.W sebelum meninggalkan dari sesuatu majlis baginda akan membaca doa berikut untuk mereka.

Doa Baginda SAW berbunyi :

"Ya Tuhan kami anugerahlah kepada kami perasaan takut kepada Engkau yang menjadikannya sebagai penghalang di antara kami dan kemaksiatan terhadap Engkau. Dan anugerahlah kepada kami ketaatan kepada Engkau yang dengannya membolehkan kami sampai ke syurga Engkau. Dan anugerahlah kepada kami keyakinan yang tidak mengundah-gulanakan kami apabila ditimpa keburukan dunia dan anugerahkanlah kepada kami kenikmatan melalui pendengaran, penglihatan dan kekuatan kami selagi mana engkau memberi kehidupan kepada kami dan jadikannya sebagai waris dari kami (saksi apa yang kami lakukan). Dan jadikanlah tuntutan pembelaan kami ke atas mereka yang menzalimi kami dan berilah kemenangan kepada kami ke atas mereka yang memusuhi kami. Dan janganlah bencana kami menjejas ke atas agama kami. Dan janganlah jadikan dunia sebagai perkara yang besar dan utama dalam pemikiran kami dan janganlah jadikannya sebagai matlamat pengetahuan kami. Dan janganlah kami dikuasai oleh mereka yang tidak punya belas kasihan ke atas kami".

Golongan salaf terdahulu begitu sedar tentang punca yang boleh mengheret mereka kepada dunia, dan betapa selesanva seseorang itu dengan keduniaan, Oleh itu, mereka sentiasa cuba mengelak diri dari terperangkap dengan dunia. mereka hanya mengambil faedah dunia sekadar bekalan untuk akhirat. Dan inilah yang sentiasa mereka perkatakan. Saidina Ali r.a pernah berkata :

"Pengembaraan dunia mengorak ke belakang, pengembaraan akhirat melonjak ke depan. Dunia dan akhirat mempunyai anak-anak. Jadikanlah diri kamu sebagai anak akhirat dan janganlah jadikan diri kamu sebagai anak dunia. Sesungguhnya hari ini amalan tanpa hisab, tetapi esok (akhirat) hisab tanpa amalan".

Manakala Hasan RA berkata :

"Berlumbalah kamu dengan orang yang berlumba tentang agama kamu, dan janganlah kamu berlumba dengan orang yang berlumba tentang dunia kamu, maka lontarlah dunia itu ke atas tengkoknya".

Realiti dan kepekaan demikian turut digambarkan oleh penyair seperti berikut :

"Sesungguhnya bagi Allah hamba yang bijak dan berhemah.
Dunia mereka lepaskan kerana bimbangkan fitnah.
Mereka melihat pada dunia dan apabila mengenali la ternyata bukan tempat mereka untuk hidup di dalamnya.
Mereka jadikan dunia sebagai lautan seluas-luasnya dan menjadikan amal soleh sebagai kapal mengharunginya".

7) Melihat sudut-sudut tertentu perlakuan golongan contoh dan tidak melihat sudut Iain yang sepatutnya

Punca berlakunva Al Ghurur. kadangkala berdasarkan pemerhatian tentang apa yang dilakukan oleh golongan contoh pada sudut-sudut tertentu tanpa melihat perlakuan yang dilakukan oleh mereka secara keseluruhan.

Terdapat sebahagian golongan contoh di mana dalam keadaan tertentu mengenepi atau meninggalkan sesuatu perbuatan yang sepatutnya mereka lakukan umpamanya mereka terus beramal dengan asas al Rukhsah pada kebanyakan waktu dan sedikit sahaja mereka menggunakan al Azimah di dalam amalan mereka. Pada setensah-setengah masa Perbuatan yang dilakukan itu mungkin diperhati oleh pengikut mereka.

Oleh kerana kurangnya kefahaman ilmu fiqh. di samping pentarbiahan yang agak kurang sempurna. Para pengikut tadi akan merasai bahawa amalan yang dilakukan oleh golongan contoh berada di berapa tahap yang rendah dari diri mereka.

Perasaan dan sangkaan sedemikian akan terus bermain dipemikiran mereka sehinggalah ia bertukar (wali'yazubiLlah) kepada perasaan al ijab bil Nafsi yang kemudiannya diekori pula dengan perasaan al Ghurur.

Maka kemungkinan di sinilah rahsianya kenapa Islam sentiasa mengarahkan agar kita sentiasa mengelakkan diri dari sasaran tohmah. apabila kita menerangkan kebenaran yang berkaitan dengan amalan atau perbuatan-perbuatan yang harus, di mana ianya memungkinkan kepada timbulnya rasa buruk sangka.

[Huraian]

Al Azimah; Menunaikan fardhu mengikut hukum asal seperti yang ditetapkan oleh syara' seperti sembahyang zohor empat rakaat dan berpuasa Ramadhan semasa dalam pengembaraan.

Rukhsah; Menunaikan fardhu tidak mengikut penetapan hukum asal syara' sembahyang zohor dua rakaat (qasar) dan tidak berpuasa semasa pengembaraan.

Dalam satu hadis Baginda berbunyi :

Yazid bin Al-Aswad telah bersembahyang dengan Nabi SAW pada masa itu beliau adalah seorang remaja. Apabila selesai sembahyang ia mendapati ada dua orang yang tidak turut sembahyang sedang duduk di penjuru masjid. Lantas baginda memanggil kedua-duanya. Kedua-dua mereka datang kepada baginda dalam keadaan menggeletar urat sendi mereka. Rasulullah bersabda: "Apakah yang menghalang kamu berdua dari turut sembahyang bersama-sama kami". Kedua-duanya menjawab: "Kami telah pun menunaikan sembahyang semasa dalam perjalanan". Rasulullah bersabda: "Kamu jangan buat begitu, apabila salah seorang dari kamu telah menunaikan sembahyang semasa dalam perjalanannya kemudian dia mendapati Imam (Imam, sembahyang) dan dia (iman) belum sembahyang lagi maka hendaklah ia bersembahyang bersama Imam, kerana yang demikian itu adalah sunat".

Ibnu Daqiq al 'Aid berkata yang bermaksud :

"Berjaga-jaga dari semua perkara yang boleh membawa kepada tohmahan merupakan kepastian ke atas ulama dan orang-orang yang diikuti. Maka adalah tidak harus bagi mereka melakukan sesuatu perbuatan yang semestinya boleh menimbulkan sangkaan tidak baik ke atas diri mereka. Sekalipun mereka ada alasan dalam melakukannya. Perbuatan ini merupakan sebab yang boleh menghakiskan keyakinan orang ramai mengambil faedah dari ilmu mereka. Mereka berkata: "Sesungguhnya para hakim hendaklah menyatakan alasan hukum yang dikenakan ke atas tertuduh sekiranya alasan tadi tidak diketahui oleh tertuduh." Tindakan ini merupakan sebahagian dari tajuk penafian tohmah dalam perkara kezaliman, dalam memberi penghukuman".

8) Keterlaluan setengah amilin dalam menyembunyi amalan yang mereka lakukan

Kadangkalanya sebab yang membawa kepada Al Ghurur ialah berpunca dari sikap keterlaluan dalam menyembunyikan amalan-amalan baik yang dilakukan. Terdapat sebahagian para amilin yang begitu bercermat dan berjaga-jaga dalam usaha mereka merealisasikan ke atas sesuatu amalan. Sehinggakan mereka begitu keterlaluan menyembunyikan semua amalan baik yang mereka lakukannya, kalau ada pun, mereka begitu sedikit menzahirkan apa yang mereka lakukan.

Perbuatan mereka tadi memungkinkan golongan yang tidak matang dan kurang pula pentarbiahannya memerhati dan menilai tentang kebaikan sedikit yang dizahirkan itu. Pada masa itu golongan yang kurang pentarbiahannya akan merasai dan menganggap bahawa apa yang dilakukan oleh golongan tadi begitu kecil jika dibandingkan dengan apa mereka lakukan. Perasaan sedemikian akan terus menghantui dan berkembang subur di dalam pemikiran mereka. Sehinggalah akhirnva mereka terjebak ke dalam penyakit al I'jab bil Nafsi dan kemudiannya diekori pula dengan penyakit Al Ghurur.

Dan kemungkinan di sinilah kenapa Islam menggesa agar mendedahkan amal-amal soleh kepada orang ramai. Selain dari menggalakkan mereka melakukannya, ia juga sebagai isyarat tentang kemungkinan berlakunya anggapan negatif di samping sebagai pertunjuk kepada jalan penyelesaian. Allah berfirman bermaksud :

"Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu, maka yang demikian adalah baik. Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu dan kamu memberikannya kepada orang-orang fakir miskin itu adalah lebih baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu". (Al Baqarah:271)

Nabi SAW bersabda :

"Sembahyang jamaah melebihi sembahyang berseorangan sebanyak dua puluh tujuh darjat".

Sabda Baginda lagi bermaksud :

"Sesiapa yang melakukan kebaikan di dalam Islam maka ia memperolehi ganjarannya, juga ganjaran orang yang melakukannya selepas itu tanpa kurang sedikit pun dari pahala yang mereka perolehi".

9) Diskriminasi sebahagian golongan contoh ke atas para pengikut

Kadangkala sebab yang membawa kepada Al Ghurur adalah berpunca dari tindakan golongan contoh mengamalkan diskriminasi dalam berintraksi dengan para pengikut.

Kadangkala golongan contoh gagal membuat perkiraan tentang pendekatan yang sesuai dalam berintraksi dengan para pengikut atau anak buahnya. Kita boleh lihat kadangkalanya mereka begitu rapat dengan sebahagian para pengikut dan membuka hati dengan seluas-luasnya kepada mereka bahkan mereka sanggup memejamkan mata tentang kesilapan yang dilakukan oleh anak buahnya itu. Pada hal, dalam masa yang sama mereka tidak memberi muka langsung kepada sebahagian lagi para pengikut dan tangan juga tidak dibuka kepada mereka.

Para golongan contoh juga akan membuka mata mereka seluas-luasnya di atas apa saja kesilapan kecil yang dilakukan oleh golongan ini. Sikap demikian sudah pasti memberi kesan negatif di mana kemungkinan golongan yang diberi muka adalah mereka yang belum sempurna pentarbiahannya, dan tidak punya kematangan peribadi. Mereka akan merasai bahawa layanan istimewa yang diberi kepadanya jika dibandingkan dengan orang lain adalah tidak lain dan tidak bukan kerana kebolehan dan keupayaan yang mereka miliki dan ianya pula tidak ada pada orang lain.

Anggapan yang sedemikian akan terus bermain dipemikiran mereka sehinggalah ianya menjadi al I'jab bil Nafsi dan diekori kemudiannva dengan sifat al Ghurur.

Menyedari perkara ini Nabi S.A.W telah menutup pintu ke arah itu di mana baginda telah memberi layanan yang sama kepada semua para sahabat dalam mengadakan hubungan dengan mereka. Diantara tindakan Nabi SAW seperti yang digambarkan oleh sahabat ialah :

Bahawa Baginda memberi hak yang sepatutnya kepada setiap mereka yang menjadi tetamu dan tetamu tidak merasai bahawa orang lain lebih mulia daripadanya. Terdapat juga ketika tertentu di mana Nabi SAW terpaksa melakukan diskriminasi dalam melayani mereka. Orang-orang yang bersama dengannya tidak memahami rahsia di sebalik perbuatan Baginda itu, dan Nabi SAW telah menerangkan secara jelas kenapa Baginda berbuat demikian.

Saad Ibn Waqqas menceritakan :

Rasullullah SAW telah memberi pemberian kepada satu kumpulan, pada masa itu aku berada di situ. Nabi SAW tidak memberi kepada seorang lelaki yang datang bersama mereka, pada hal aku begitu tertarik dengan lelaki tadi. Aku berkata wahai Rasullullah SAW kenapa engkau tidak beri kepada orang itu. Demi Allah aku melihatnya seorang yang beriman, Nabi SAW berkata: Atau dia hanya seorang Muslim. Maka aku terdiam sejenak. Kemudian aku masih yakin tentang lelaki tadi dan aku ulangi lagi pertanyaanku. Aku berkata kenapa engkau tidak memberi kepada orang itu. Demi Allah aku melihatnya seorang yang Mukmin. Maka Nabi SAW berkata: Atau dia hanya seorang Muslim. Kemudian aku masih yakin tentang lelaki itu, maka aku ulangi lagi soalanku dan Nabi SAW juga memberi jawapan yang sama. Maka barulah Baginda bersabda : Wahai Saad aku memberi (sesuatu) kepada seorang lelaki. Dan yang lainnya aku lebih sayang dari lelaki tadi aku takut Allah akan menyembamkannya ke dalam neraka. - TARBAWI

GOLONGAN BAHAGIA DAN HINA DALAM MENUNTUT ILMU

Nasihat Muaz bin Jabal berhubung fadhilat mengajar ilmu, katanya, "Ilmu adalah teman seiring ketika keseorangan. Orang memiliki ilmu laksana mempunyai guru sebagai pembimbing dan teman, meskipun berseorangan. Dengan ilmu membolehkan manusia mengEsakan dan mentaati Allah dengan penuh kepatuhan dan kefahaman. Ilmu juga penunjuk arah dalam menegakkan agama Allah Taala, ia jadi penghibur ketika menderita dan kesusahan".

Nasihatnya lagi, "Allah Taala mengangkat orang tertentu (daripada kalangan berilmu) menjadi pemimpin, orang ramai boleh menuruti jejaknya".

Berdasarkan nasihat Muaz itu menunjukkan seorang pemimpin mestilah mereka yang berilmu, khususnya ilmu mentauhid Allah Taala. Nasihat Muaz seterusnya, "Seorang manusia (berlimu) akan sampai ke peringkat orang yang baik-baik dan ke darjat yang tinggi".

Nasihatnya lagi, "Dengan memiliki ilmu menjadi sebab seseorang itu rela bertaraf hamba di sisi Allah Taala". Dengan bertaraf hamba, lahirlah ketaatan yang mutlak kepada Allah Taala. Tidak salah mengaku sebagai rakyat kepada sesuatu negara, tetapi ia mesti didahului dengan ikrar penghambaan kepada Allah Taala. Untuk menjadikan diri sebagai hamba, mereka wajib mengenali siapa Allah Taala dan siapa dirinya. Untuk itu mereka mesti mengaji daripada orang alim yang mursyid.

Seorang yang berilmu berkewajiban mengajar orang lain pula, agar orang itu mengerti dirinya sebagai hamba Allah Taala. Jika kuli sanggup patuh dengan arahan majikannya, maka sebagai hamba Allah Taala semestinya lebih bersedia melaksanakan segala suruhanNya, tanpa mengira waktu siang atau malam dengan wang ringgit emas permata serta jiwa dan nyawa.

Nabi Muhammad S.A.W itu bukan saja sebagai Rasulullah, tetapi Allah Taala menyebut sebagai 'hamba Allah', seperti yang ditegaskan melalui firmanNya yang bermaksud, "Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan 'hambaNya' pada suatu malam dari Masjid Al Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Baitulmaqdis)". (Al Isra':1)

Dalam ayat ini Allah Taala telah memperjalankan hambaNya, tidak pula menggunakan perkataaan NabiNya atau RasulNya, sedangkan bagi manusia sebagai umatnya lebih selesa menggunakan perkataan Nabi atau RasulNya berbanding dengan hambaNya. Sesungguhnya Allah Taala mengasihi seseorang atas kadar sifat kehambaannya. Semakin seseorang memperlihatkan kesetiaannya kepada Allah, semakin terserlah sifat ubudiyahnya. Nabi Muhammad S.A.W adalah kemuncak hamba Tuhan di muka dunia.

Justeru, sifat kehambaan itu menyebabkan Allah Taala menyebut memperjalankan 'hambaNya' di suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Sebutan hamba itu lebih tepat di sisi Tuhan Yang Esa. Sebab itu, nama-nama yang paling baik untuk manusia ialah yang dimulai dengan 'Abdu' (hamba) seperti Abdullah, Abdul Rahman, Abdul Rahim dan sebagainya. Kajian menunjukkan bahawa nama yang dimulai dengan Abdu hanya ada pada orang Islam, tidak wujud di kalangan penganut agama lain.

Kesan daripada ilmu yang dipelajari, masyarakat Islam sangat berbangga dengan taraf hamba Allah Taala. Justeru, AsmauLlah Al Husna yang 99 itu boleh dirangkaikan dengan 'Abdu' untuk dijadikan nama bagi anak anak keluarga mereka. Dengan sebab ilmu manusia sanggup menjadi hamba Allah Taala (Wabihi Yu'bad). Jika semakin tinggi seseorang itu mengaji tetapi tidak bersedia menjadi hamba Tuhan bahkan menjadi hamba pihak lain seperti hamba harta kekayaan, hamba nafsu dan sebagainya, maka yang demikian itu bukan ilmu yang dikehendaki Allah Taala.

Sekadar meninggalkan yang haram tidak dinamakan warak, kerana ia hanya suatu kewajipan sebagai seorang Muslim dan Mukmin. Jika orang alim yang bersikap demikian ia digelar sebagai 'ulama us Su' (ulama yang rosak).

Nasihat Muaz bin Jabal lagi, "Dengan ilmu itu manusia sanggup meng-Esakan Allah Taala (Wabihi Yuwahhadu)". Yang dimaksudkan dengan tuhan ialah sesuatu yang disayangi hingga dipuja dan ditaati oleh manusia. Mereka sanggup membuang masa untuk berbalah dan berselisih pendapat mengenainya. Persoalan itu mengikut istilah ialah 'Ma'bud' (perhambaan) sama ada dengan sedar atau sebaliknya mereka telah menjadikannya sebagai tuhan. Dengan pengertian itu maka banyak perkara yang dijadikan tuhan oleh para pemujanya, tetapi semuanya ditolak oleh Islam kecuali hanya Allah Taala sahaja Tuhan Yang Maha Esa yang dapat memberi hidayah dan menyelamatkan manusia di akhirat.

Nasihat Muaz seterusnya, "Dengan ilmu itu manusia menjadi warak". Maksud warak ialah sanggup meninggalkan perkara yang Tuhan tidak setuju walaupun ia hanya makruh, padahal melakukan yang makruh tidaklah berdosa. Sekadar meninggalkan yang haram tidak dinamakan warak, kerana ia hanya suatu kewajipan sebagai seorang Muslim dan mukmin, sebagaimana mereka wajib melaksanakan perintah Allah Taala yang lain.

Nasihat Muaz seterusnya, "Dengan ilmu juga manusia berusaha menghubung silaturahim". Kejayaan besar Nabi S.A.W ialah menjalin silaturrahim di kalangan umat yang sedang berkerisis berdasarkan ajaran Al Quran. Apabila sesama umat Islam berjabat salam, serentak itu lidah mereka mengucap selawat atas Nabi s.a.w. Sebagai mengenang jasa Nabi S.A.W telah menjalinkan silaturahim antara puak Arab yang berpecah.

Nasihatnya lagi, "Ilmu ibarat imam dan amalan adalah makmumnya". Yakni ilmu dan amal tidak boleh dipisah, jika ilmu tidak diamal, maka ilmu menjadi sia-sia.

Tazkirah akhir Muaz, "Diilhamkan ilmu agama untuk insan yang bertuah (sa'adah), dihalangNya ilmu kepada golongan yang celaka (asqiya')".

Oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

ISLAM & KRISTIAN : SEJARAH & HAKIKAT PERTEMBUNGAN

Sejarah Islam dan Kristian berlaku merentas sejarah yang amat panjang. Malah bibit-bibit pertentangan di antara keduanya berlaku sejak sebelum lahir utusan akhir zaman iaitu Rasulullah S.A.W yang membawa Islam sebagai kebenaran mutlak dan membatalkan syariat sebelum ini. Pertembungan klasik ini amatlah

unik kerana ia berlaku sebelum lahirnya sesuatu yang di anggap musuhnya. Ini kerana, Nabi Isa A.S sendiri membawa kefahaman tauhid yang sama seperti ajaran yang terkandung di dalam Islam, bukannya ajaran Kristian!

Kristian adalah ajaran agama yang telah mengalami krisis identitinya dan dirubah mengikut nafsu Tamadun Barat. Manakala usaha Kristianisasi adalah salah satu usaha yang di belakangnya sebenarnya mempunyai agenda yang lebih besar. Perkara ini mungkin tidak difahami dengan baik jika kita malas mengkaji dan membelakangkan kepentingan sejarah.

Nabi Isa A.S diutuskan Allah Taala adalah untuk memperbetulkan penyelewengan yang berlaku di dalam agama Yahudi sebelum itu. Nabi Isa A.S juga ditugaskan untuk memberitahu kepada kaumnya bahawa di akhir zaman nanti akan lahir suatu 'Kebenaran Mutlak' iaitu Islam dan kedatangan Nabi terakhir iaitu Nabi Muhamad S.A.W. Namun begitu oleh kerana dorongan hawa nafsu, mereka terdorong menjadi ta’asub sehingga mendewakan Nabi Isa A.S, sedangkan mereka sudah diberitahu tentang perkhabaran yang baik tentang kedatangan Nabi Muhamad S.A.W. Kaum Bani Israel pula yang dirasuk kesombongan dan keangkuhan, mereka sanggup mengubah dasar asal ajaran Nabi Isa A.S menjadi ajaran dogma yang kemudiannya digelar sebagai 'Kristian'.

Hakikat betapa arifnya ahli-ahli kitab terhadap ciri-ciri Rasulullah S.A.W telah dijelaskan di dalam Al Quran.

"Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri Al Kitab (Taurat dan Injil), mereka (sebenarnya) mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anaknya sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian di antara mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui" (Al Baqarah:146).

Sebelum Islam, sifat-sifat agama yang wujud di dunia tidak mempunyai ciri dakwah. Agama Yahudi adalah untuk kaumnya sendiri, Agama Farsi kuno juga hanya untuk kaum Farsi. Agama Buddha dan Hindu tidak pernah keluar daripada benua Asia ketika itu, kecuali agama Kristian yang meletakkan dasar-dasar penyebaran agama mereka demi memenuhi keserakahan nafsu. Sedangkan sifat ‘dakwah’ di dalam Islam adalah untuk menyebarkan rahmat ke seluruh alam, bukan penguasaan dan penindasan.

Allah berfirman:

" Tidaklah Kami mengutus engkau kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam" (Al Anbiya:107)

Kristian Menakluki Eropah

Kristian memasuki Eropah sejak awal Masihi lagi iaitu ketika era Greco-Roman. Oleh kerana gagalnya Kristian dalam isu akidah yang penuh kesangsian. Akhirnya Kristian telah dicampur-adukkan dengan budaya dan kepercayaan kuno Yunani ,Rom, Mesir dan kaum gasar. Perkara ini terjadi kerana kaum Eropah itu telah mewarisi budaya yang dipupuk daripada bangsa-bangsa Yunani Kuno dan campuran Kebudayaan Rom. Sekali lagi Kristian telah berubah daripada asalnya. Kini Kristian telah dipengaruhi tamadun Barat yang begitu dominan.

Sifat asasi tamadun Barat :-

  1. Asas kebudayaan Barat adalah hasil warisan yang dipupuk daripada Kebudayaan Yunani Kuno dan tercampur dengan Kebudayaan Rom serta unsur-unsur Iain-lain hasil daripada cita rasa dan gerak daya bangsa Eropah sendiri seperti suku bangsa Jerman, Inggeris dan Perancis.
  2. Kebudayaan Yunani Kuno meletakkan dasar-dasar falsafah dan kenegaraan serta pendidikan juga kesenian. Kebudayaan Romawi Kuno pula telah merumuskan dasar-dasar dan hukum ketatanegaraan.
  3. Kebudayaan Barat bukanlah berasaskan agama tetapi ada-lah berasaskan dasar falsafah.

Meskipun ajaran Kristian berusaha menitik-beratkan masalah keyakinan kepada tuhan, akhirat dan akidah asasi, namun cinta melulu mereka kepada kekuasaan dan kemegahan memaksa ajaran itu melayani hasrat perkembangannya di Eropah. Sejak zaman Konstantin sehingga ke zaman terbitnya Islam,ketua-ketua gereja Kristian sentiasa meniru-niru cara hidup serta adat-istiadat keagungan raja-raja dan sistem feudalnya.

Hakikat menujukan bahawa Kristian terlarut dalam kebudayaan Barat apabila ajaran yang berasal daripada Asia Barat ini memasuki Eropah. Ini adalah kerana asasnya tidak kukuh, ditukar ganti, ditiru dan penuh dogma. Kesangsian pada ajaran ini menyebabkan jati dirinya begitu rapuh dan mudah terlarut dengan kebudayaan Barat yang akhirnya budaya Baratlah yang telah mempengaruhi dan mengubah sifat dan susuk ajaran ini.

Tamadun Barat Menentang Gereja

Keadaan sangat berbeza dengan Islam apabila masuk ke benua Eropah. Islam hadir dengan disiplin ilmu yang tinggi. Kefahaman akidah yang tidak tersangsi. Akhirnya Islam telah mencerahkan dunia Eropah dengan dunia ilmu dan penemuan sains teknologi. Islam di Andalusia (sekarang Sepanyol) begitu kukuh dan menjadi sumber ilmu bagi dunia yang akhirnya melahirkan dunia moden seperti hari ini.

Islam masuk ke Eropah dengan jati diri yang kukuh. Islam tidak terlarut dengan tamadun Barat ketika itu. Malah Islam menjadi kuasa agung dunia berasaskan ilmu. Ini berbeza dengan ajaran Kristian.

Oleh kerana ajaran-ajaran akidahnya agama Kristian itu sendiri lemah dan kabur serta penuh dengan kesangsian, maka unsur-unsur keyakinan dan akidah mengenai hal-hal rohaniyyah agama menjadi semakin lemah merosot. Apatah lagi apabila ilmu pengetahuan sains dan Iain-lain unsur akliah yang dibawa masuk oleh Islam mula meraja lelai jiwa dan fikiran Barat. Akhirnya budaya Barat sendiri menggunakan hujah-hujah ilmu pengetahuan bagi menafikan ajaran-ajaran karut Kristian.

Barat akhirnya melalui pengalaman yang memeritkan dengan ajaran Kristian. Gereja mula menguasai dan mengawal segala aspek kehidupan masyarakat barat. Ketika itulah Eropah melalui zaman gelap. Contoh mudah yang diketahui manusia seluruh dunia ialah bagaimana seseorang dihukum bunuh oleh gereja Katholik hanya kerana berjaya membuktikan kebenaran. Galileo Galilei (1564-1642). Orang yang pertama mencipta teleskop dan berjaya membuktikan teori bahawa bumi mengelilingi matahari. Institusi gereja telah menghukumkan beliau mati kerana bukti saintifik ini adalah berbeza dengan pegangan Gereja ketika itu.

Penguasa Gereja Katolik pada saat itu tidak suka dengan pandangan kosmologi heliocentric (berpusat pada matahari) yang diperkenalkan Copernicus. Gereja lebih percaya pada pandangan yang diwariskan oleh ahli falsafah besar Yunani iaitu Aristotels yang melihat bumi sebagai pusat semesta (geocentric).

Cengkaman gereja yang mendokong tekanan terhadap dogma ajaran mereka mencetuskan protes dalam ajaran Kristian. Menjelang abad ke-16, gerakan reformasi ajaran Kristian di pelopori oleh Martin Luther dan Huldrych Zwingli. Akhirnya sekularisasi pun terjadi. Dalam sejarah Kristian Eropah, kata secular dan liberal dimaknai sebagai pembebasan masyarakat dari cengkaman kekuasaan gereja yang sangat kuat dan hegemoni pada zaman pertengahan. Proses berikutnya bukan sahaja dalam bidang sosial-politik, tetapi juga menyangkut metodologi pemahaman keagamaan liberal dalam dunia Kristian. Ini semua menunjukkan pengalaman buruk Tamadun Barat dengan Kristian.

Islam juga pernah melalui ancaman-ancaman bahaya yang datang dari aliran liberalism, sekularisme, atheism dan sebagainya. Tetapi kebenaran Islam adalah nyata, sekalipun diserang bertali-arus selama ratusan tahun, Islam tidak pernah tunduk dengan aliran-aliran yang menyesatkan itu.

Ajaran Kristian Kini

Ajaran Kristian masa kini bukanlah lagi hasil daripada wahyu Allah. Oleh yang demikian tidak wajar juga kita meletakkan kelas ajaran Kristian adalah agama samawi. Ajaran mereka semuanya telah diubahsuai mengikut hawa nafsu mereka. Oleh yang demikian musuh sebenar umat Islam bukanlah Kristian itu sendiri. Kerana di belakang tabir Kristianisasi itu adalah tangan-tangan mereka yang mahu manusia meninggalkan agama.

Hujah-hujah di atas adalah hujah yang akan dibenarkan oleh penganut Kristian sendiri. Sebagai contoh asas konsep Trinity atau Tritunggal itu sendiri. Konsep ini hanya disahkan sebagai akidah rasmi selepas tiga abad kelahiran Nabi Isa A.S di dalam persidangan Nicea (325CE). Apatah lagi jika mahu membincangkan tentang Santa Claus dan Pokok Krismas. Tidak ada satupun yang berasal daripada ajaran Kristian.

Cabaran kita masa kini adalah budaya Barat yang melampau, meskipun Kristian adalah agama yang dianuti barat. Tetapi sebenarnya Kristian itu sendiri sudah tercerna di dalamnya unsur-unsur budaya Barat yang kukuh. Simbiosis seperti ini telah mengkaburkan kita antara ancaman budaya Barat dan Kristinisasi. Mengapa budaya Barat adalah ancaman yang lebih besar? Tidak lain tidak bukan ialah kerana kesannya adalah lebih menyeluruh, bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga penganut Kristian bakal menerima nasib yang sangat malang.

Budaya Barat Curiga Dengan Agama

Barat sentiasa berasa curiga dengan agama sehingga ada ahli falsafah mereka telah mengisytiharkan, "Tuhan Telah Mati". Pengistiharan Friedrick Nietsche menambahkan kekeliruan dan membuktikan kekalutan serta kepincangan sistem akidah budaya Barat. Oleh yang demikian, terdengar suara-suara sumbang yang diperkatakan ke dalam dunia Islam. Seandainya Muslim mahu maju seperti kami, perhatikan dan awasi agamamu.

Namun malangnya ada juga umat Islam yang terpesona dengan kata-kata itu. Malah yakin dengan dunia pasca moden yang lebih bebas dan liberal. Sedang umat Islam tidak sedar bahawa mereka mula ditenggelami dengan budaya Barat. Bukanlah bebas sebenarnya melainkan terikut dan terperangkap dalam budaya Barat yang dimetaforakan sebagai lambang kemajuan. Akhirnya agenda memisahkan agama daripada kehidupan menjadi semakin berjaya.

Pengalaman beragama yang dilalui budaya Barat bukanlah sama buruknya dengan pengalaman umat Islam. Sejarah membuktikan dengan Islam menjulang tinggi keunggulan budaya Ilmu yang tidak dinikmati budaya Barat satu masa dahulu di bawah cengkaman gereja. Islam hadir membebaskan manusia dalam erti hamba yang bertuhankan Allah Yang Maha Esa. Islam mengangkat tinggi keupayaan akal manusia di dalam membuktikan kebenaran. Malahan Islam menolak dan menjelaskan dogma dan kekaburan. Sehebat manapun Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Ibnu Khawarizmi dan sebagainya, mereka sama sekali tidak pernah lupa untuk menulis kalimah pujian kepada Allah Taala di dalam setiap muqaddimah buku-buku kajian mereka.

Sebab itulah masalah budaya Barat dahulu adalah tidak relevan dengan Islam. Sebagai contoh, reformasi beragama; Isu ini tidak relevan. Reformasi beragama akhirnya menatijahkan Islam yang Liberal dan Pluralisma Beragama. Inilah yang dilakukan oleh puak reformis ajaran Kristian dahulu. Ini kerana teks Asli rujukan umat Islam tidak pernah berubah sejah 1400 tahun dahulu. Malah Al-Quran sebagai mukjizat Agung Rasullah S.A.W di jamin keasliannya oleh Allah Taala sehingga hari kiamat.

" Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya" (Al Hijr:9)

Bukti Mukjizat Al Quran ialah kandungannya yang sentiasa relevan dengan suasana semasa. Oleh yang demikian Al Quran langsung tidak terjejas dengan usaha sesetengah pihak yang mahu Al Quran ditafsir semula melalui secara Hermenutika.

Ilmu Memperkukuhkan Akidah

Umat Islam wajar memperkukuhkan kembali ilmu mengenai Islam. Yang paling penting ialah umat Islam perlu kenal dan faham pandangan hidup Islam. Pada masa yang sama kita wajar mengenali dengan sebenarnya musuh-musuh dan saingan kita. Apabila kita bersikap benar (mengawasi) terhadap musuh kita, dengan Izin Allah keimanan kita akan meningkat dan akan melihat bahawa tidak benarnya agama-agama lain, dan betapa longgarnya asas-asas agama yang lain. Bukan kesalahan moral untuk kita menidakkan kebenaran agama lain yang sebenarnya memiliki kerapuhan yang sangat ketara.

Kita wajar menghormati anutan agama lain. Namun bukanlah sehingga kita menggadai maruah dan meletakkan muka kita di bawah tapak kaki penganut agama lain. Kita wajar hormat. Hormat bukan bererti kita melonggarkan segala ikatan agama Islam. Jika kita memimpin, usah menimbulkan kekeliruan umat Islam. Kita harus insaf bahawa musuh Islam sentiasa mencari jalan bagaimana mahu memisahkan umat Islam daripada agama Islam. Berjaya memurtadkan umat Islam adalah satu bonus bagi mereka. Membuatkan umat Islam keliru sehingga menganut fahaman Liberal dan Plural sudah mencukupi untuk mereka.

Tetapi sasaran mereka sebenarnya ialah sekurang-kurangnya umat Islam itu Islam pada namanya, tetapi fasiq pada aspek pemikirannya dan nifaq pada amalannya. Dari kefahaman ini baharulah nanti kita sedar, siapakah musuh paling utama perlu kita tangani, bukannya bersikap semberono dan membuta tuli.

BERJUANGLAH MENEGAKKAN AGAMA ALLAH - Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Allah Taala berfirman di dalam Al Quran (bermaksud), "Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan..." (Al Baqarah:195). Makna bagi ayat "...mencampakkan diri ke dalam kebinasaan" di sini ialah kamu tidak menjalankan tugas jihad. Tetapi ada manusia menyalahgunakan ayat ini. Mereka berkata, tidak ada gunanya kita berjuang untuk Islam, nanti kita akan dipenjarakan, ditukar tempat kerja atau dibuang kerja dan sebagainya sedangkan Allah Taala mengatakan, "...Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan". Inilah cara bagaimana cakap-cakap yang berdalilkan ayat dengan cara yang salah kerana ayat ini mempunyai hubungan dengan menegakkan agama Allah Taala, bahkan orang yang tidak berani menegakkan agama Allah itulah orang yang mencampakkan diri mereka ke dalam kebinasaan.

Diriwayatkan ketika orang-orang Islam berperang dalam rangka menawan kota Constantinople (Istanbul, Turki), tiba-tiba orang Islam berdepan dengan tentera Rom yang terlalu ramai. Ada antara orang Islam itu seorang pahlawan yang terlalu berani, menawarkan untuk masuk ke dalam pasukan tentera Rom yang ramai bersendirian walaupun akibatnya yang bakal diterima pasti dia dibunuh. Lalu orang ramai mengatakan, "Kenapa sanggup membinasakan diri? Tidakkah Allah mengatakan dalam Al Quran; "...Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan"?

Kebetulan di dalam peperangan tersebut ada seorang Sahabat Nabi yang umurnya telah menjangkau 80 tahun, namanya Abu Ayub Al Ansari R.A iaitu sahabat yang diberi kelebihan ketika Rasulullah S.A.W berhijrah, unta Baginda S.A.W telah berhenti di laman rumah Abu Ayub sebagai isyarat Baginda memilih rumahnya untuk bermalam di situ sebelum Baginda memiliki rumah sendiri di kota Madinah. Abu Ayub telah tua ketika bersama tentera Islam dalam peperangan menentang Rom.

Apabila Abu Ayub Al Ansari mendengar seseorang membaca ayat tersebut, dia naik radang sambil berkata, "Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah mentakwilkan ayat ini dengan takwil yang begitu rupa (pentakwilan yang menyeleweng). Sesungguhnya ayat ini diturunkan kepada kami golongan Ansar ketika kami telah mendapat ganjaran daripada Allah Taala, iaitu ketika Allah memenangkan agamaNya dan ramai orang yang menolong agamaNya. Maka berkatalah segelintir kami kepada segelintir yang lain. Kami berbisik sesama kami, dengan harapan hal itu tidak diketahui oleh Baginda Rasulullah S.A.W bahawasanya harta manusia sudah banyak; Kita ketinggalan dalam memajukan dan mengumpul harta benda kerana terlalu mementingkan jihad (di medan perang), kita tidak dapat menguruskan kebun dan perniagaan dengan baik (kerana asyik berjihad)".

"Sesungguhnya Allah memberi kemenangan kepada Islam dan orang yang menegakkan agama Islam sudah ramai, maka langkah sebaiknya kita semua tinggal di Madinah, tidak payah lagi berperang. Kita serahkan urusan jihad itu kepada orang lain kerana kita mahu membaiki dan menjaga kebun kita dan apa yang ketinggalan selama ini dalam harta benda, agar kita dapat mengatasinya semula".

"Justeru, Allah Taala menurunkan ayat ini kepada Nabi-nya sebagai menolak apa yang kami katakan, "...Dan berbelanjalah kamu pada jalan Allah, dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan".

Abu Ayub R.A adalah seorang Sahabat yang berani, sekalipun dalam keadaan sakit beliau mewasiatkan supaya dikebumikan mayatnya di tepi kota itu (kota constantinople) dan melarang tentera Islam membawa pulang mayatnya ke Madinah. Ini kerana beliau mahu kuburnya dipijak oleh kuda-kuda tentera Islam yang meneruskan perjuangan Islam, menawan kota tersebut dari tangan musuh. Orang Islam berjihad beratus-ratus tahun lamanya untuk menawan kota Constantinople kerana kerajaan Rom Timur mempunyai teknologi yang kuat dan lebih daripada orang Islam. Mereka mempunyai berbagai-bagai senjata moden pada zaman itu antaranya mereka boleh melontarkan peluru api yang boleh bernyala di dalam air sehingga kapal-kapal tentera Islam terbakar.

Akhirnya Allah Taala memberi kurniaan kepada Sultan Muhammad Al Fateh iaitu Sultan kerajaan Islam Uthmaniyah yang memimpin tentera Islam dalam usia 20-an. Baginda diberi kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah S.A.W bahawa Baginda boleh menawan kota itu semula dan memimpinnya. Setelah kota itu ditawan orang Islam, mereka menukar namanya kepada Istanbul dan gereja Es Sophia (Aya Sophia)yang besar itu berhasil ditawan oleh orang Islam. Patung-patung yang dibina di dalam dan persekitarannya di buang serta ia ditukar menjadi masjid yang agung hingga ke hari ini. Sehingga sekarang masjid itu dikenali dengan Masjid Al Fateh atau Masjid Es Sophia tetapi sayangnya apabila Mustafa Kamal Ataturk berkuasa di Turki, dia telah menjadikan masjid itu sebagai muzium. Tetapi alhamdulillah setelah orang Islam kembali sedar, muzium itu ditukar semula kepada masjid.

Berdasarkan kepada ayat yang ditafsirkan ini dan berdasarkan kepada riwayat Abu Ayub Al Ansari, orang Islam boleh menunjukkan keberanian sehingga ke peringkat mati menentang musuh yang lebih ramai jika sekiranya tindakan itu memberi semangat kepada tentera-tentera Islam yang lain. Memang berlaku di kalangan orang Islam apabila hatinya terlalu kuat hubungannya dengan Allah Taala, di hadapan matanya hanyalah balasan baik daripada Allah dan janjiNya. Apabila berlakunya hubungan langit dan bumi yang terlalu erat dan tidak ada pemisahan lagi, maka seseorang itu tidak akan takut lagi kepada mati.

Kesimpulannya, mencampakkan diri ke dalam kebinasaan ini ialah ditujukan kepada orang yang tidak berjihad dan tidak memberi sumbangan harta benda serta jiwa raganya untuk meninggikan agama Allah. FirmanNya yang bermaksud, "Berbuat baiklah kamu, sesungguhnya Allah kasih kepada orang yang berbuat baik" (Al Baqarah:195). Di antara berbuat baik itu ialah membelanjakan harta benda kepada menegakkan agama Allah Taala dan sesungguhnya Allah amat suka dan kasih kepada orang-orang yang suka berbuat baik. - TARBAWI

HUBUNGAN ROMANTIK DALAM ISLAM

Romantik, menurut yang diistilahkan dalam kamus ialah, “memperlihatkan suasana penuh kasih sayang, keindahan dan kemesraan”. Ia berasal dari kata 'romance' yang bererti "hubungan cinta" atau "percintaan". Romantik dalam Islam terhad kepada pasangan yang sudah berkahwin sahaja iaitu mereka yang telah

mempunyai hubungan yang diiktiraf syarak. Inilah yang membezakan konsep romantik Islam dan konsep romantik Barat. Di Barat, mereka bebas melakukan apa sahaja tanpa apa-apa batasan. Sebaliknya dalam Islam, mereka perlu mempunyai tiket terlebih dahulu sebelum konsep romantik itu dapat dihayati sepenuhnya.

Oleh itu, tidak wujud konsep cinta monyet, cinta suka-suka dan sebagainya. Ini kerana perhubungan sebegini hanya cenderung untuk memuaskan nafsu semata-mata dan tidak berkekalan. Maka romantik yang ingin dikaitkan di sini ialah mengenai hubungan cinta, iaitu hubungan yang amat penting dalam menjalin suasana erat suami isteri sepanjang usia perkahwinan.

Suasana romantik wujud kerana wujudnya rasa cinta ini. Bila rasa cinta dan sayang antara suami isteri diperlihatkan dalam bentuk kata-kata, sikap dan tingkah laku dalam kehidupan sehari-hari, tercetuslah suasana romantik. Bermakna persoalan romantik akan tetap relevan dan menjadi satu keperluan kepada pasangan sepanjang menjalin perkongsian hidup bersama. Allah berfirman yang maksudnya, "Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari dirimu sendiri, supaya tenteramlah kamu kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa cinta dan sayang..." (Ar Rum:21)

Dari ayat ini fahamlah kita bahawa rasa cinta dan sayang adalah pemberian Allah yang amat besar nilainya kepada pasangan suami isteri. Bagaimana rasa cinta dan sayang ini diperlihatkan terhadap satu sama lain, di situlah lahirnya suasana yang dikatakan romantik. Suami isteri yang dapat mewujudkan suasana seperti ini boleh dianggap bersifat romantik. Dalam satu hadis, Rasulullah S.A.W menyebut yang maksudnya, "Sekiranya seseorang itu menyintai saudaranya maka hendaklah diberitahukan kepadanya" (Sunan Abi Daud, Tirmizi dan Al Hakim di dalam Mustadrak-nya)

Maksud hadis ini, jika kita menyenangi seseorang jangan kita hanya menyimpan di dalam hati, tetapi luahkanlah rasa senang itu kepadanya menurut kehendak Islam yang sebenar. Hal ini boleh dikiaskan pada hubungan suami isteri. Oleh kerana hubungan yang unik antara kedua-dua insan ini sudah sedia diikat oleh cinta dan sayang, maka wajarlah rasa cinta-menyintai itu diucapkan. Kalaupun tidak dengan kata-kata, hendaklah dengan sikap dan tingkah laku.

Namun begitu, romantik yang sering digambarkan di layar perak tidak semuanya berpijak di bumi nyata. Romantik yang dipaparkan oleh kebanyakan filem Barat terutamanya, malah filem Melayu juga banyak yang tidak sesuai dengan nilai agama. Lambang-lambang dan aksi romantik yang ditonjolkan seperti berkucupan di tempat umum, makan berdua-duaan, bergurau senda di taman bunga dan seumpamanya, terlalu sumbang dan canggung bagi masyarakat yang cintakan Al Quran dan Sunnah. Sedangkan sifat romantik itu adalah anugerah Allah kepada manusia yang boleh agar menjadi penawar kepada hubungan kepada suami dan isteri, apa lagi bila sekali-sekala dilanda badai dugaan dan cubaan.

Sedangkan lidah lagi tergigit... Maka tatkala dilanda badai, di situ juga cinta dan sayang teruji serta menagih bukti. Salah satu pihak mesti mula mengorak langkah (make the first move) untuk membaiki semula 'frekuensi' hubungan dua hala yang tergendala. Jika satu pihak sedang marah, satu pihak lagi mesti tenang (cool down) dan diam. Api kemarahan yang sedang menyala tidak boleh dilawan dengan api kemarahan juga, tetapi perlu disiram dengan air kesabaran. Oleh itu, kadang-kadang romantik boleh diperlihatkan dengan cara diam dan membisu, bila dengan bersuara dirasakan akan memburukkan hubungan.

Rasulullah S.A.W ada memberi panduan dengan kata-katanya tentang unsur romantik ini yang bermaksud, "Beri-memberilah sesama kamu, nescaya akan saling cinta-menyintai antara kamu" (Riwayat Al Baihaqi).

Pemberian suami kepada isteri, atau isteri kepada suami mungkin berupa pakaian, makanan, barang cenderamata dan sebagainya mungkin satu panduan Baginda kepada mereka yang berkahwin. Tetapi bukan mahal atau murah, kecil atau besar pemberian itu, sebaliknya tanda ingatan dan tanda sayang yang terpancar pada pemberian itu sendiri. Pendek kata, untuk mewujudkan suasana romantik dalam rumah tangga, kita dan pasangan kita bebas memperlihatkan atau melahirkan rasa cinta melalui apa cara pun, asalkan ia bakal membahagiakan pasangan kita dan memperlihatkan rasa kasih kita kepadanya.

Caranya? Terpulang pada kesesuaian peribadi masing-masing. Ada yang suka dengan cara bermanja-manja, tetapi ada yang suka cara berterus-terang pada maksud (straight forward). Lain orang, lain cara dan gayanya. Asalkan batas syariat dan akhlak dijaga. Maruah dan kehormatan dipelihara.

Merenungi Romantik Khadijah binti Khuwailid

Mungkin kisah romantik paling agung ialah antara Rasulullah dan isterinya Khadijah R.ha. Ketika Rasulullah pulang ke rumah dengan mengalami keadaan yang luar biasa selepas menerima wahyu pertama, Khadijah menyelimutinya. Khadijah duduk di sebelah Baginda S.A.W dan meluahkan bait-bait kata yang lunak dan mententeramkan. Rasulullah tidak pula merahsiakan pengalamannya di Gua Hira', tetapi bersikap terbuka menceritakan detik-detik mencemaskan yang dialaminya. Sikap terbuka dan tawaduk Rasulullah, serta sifat keibuan Khadijah telah melahirkan suasana yang boleh dianggap begitu romantik ketika itu. Tidak hairanlah Rasulullah masih tetap mengenang Khadijah setelah Khadijah wafat terlebih dahulu sebelumnya.

Romantik Gaya Saidina Umar Al Khattab

Pada zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab R.A, terdapat sepasang suami isteri yang selalu bertengkar dan bergaduh. Si isteri tidak henti-henti membebel. Sedang memasak pun dia membebel, sedang membasuh pun dia membebel, sedang tidur pun kalau boleh dia nak juga membebel. Si suami tidak tahan dengan perangai isterinya yang sangat suka membebel. Dia pun memarahi isterinya kerana 'kuat' membebel. Sehingga lama kelamaan si suami merasakan yang isterinya memang seorang 'kaki bebel'. Memandangkan keadaan rumahtangganya semakin parah, si suami sudah tidak tahan dengan perangai isterinya, dia-pun mengambil inisiatif untuk pergi berjumpa dengan Saidina Umar untuk mengadu kelakuan isterinya.

Sebaik sahaja tiba di rumah Saidina Umar, si suami terdengar isteri Saidina Umar sedang membebel di dalam rumah. Tetapi tidak terdengar pula suara Saidina Umar membalas. Mendapati isteri Saidina Umar pun begitu, si suami tidak jadi hendak mengadukan hal isterinya. Menurutnya, "Kalau isteri Khalifah pun begitu, apatah lagi isteriku".

Ketika dia berpaling hendak pergi, tiba-tiba Saidina Umar memanggilnya dan bertanya, "Apa hajat kamu datang ke mari?"

Si suami tadi menjawab, "Aku sebenarnya datang hendak mengadu hal isteri aku yang kuat membebel, tetapi aku lihat isterimu pun berkelakuan demikian terhadapmu".

Saidina Umar tersenyum lalu berkata, "Apa salahnya aku membiarkan isteriku berleter. Bukankah dia yang menjaga aku, anak-anakku dan rumah tangga. Apalah halnya jika dia sekadar membebel kepadaku".

Itulah cara Sayidina Umar menghargai layanan dan khidmat bakti isterinya yang begitu setia setelah sekian lama bersusah payah menguruskan rumah tangga. Diam Umar adalah diam tanda sayang, paling-paling Umar hanya tersenyum mendengar bebelan isterinya itu. Itulah romantik cara Saidina Umar. Dibiarkannya isterinya membebel untuk meluahkan perasaannya. Bebelan isterinya juga adalah bebelan sayang, bebelan tanggungjawab dan keprihatinan, bukannya marah-marah yang menjatuhkan maruah dan tidak sampai ke tahap menderhaka kepada suami.