Tuesday, December 4, 2012

Kontaminasi



Halimunan terbang di awang-awangan.Dilihatnya sebuah planet penuh kebiruan,penuh kehijauan.Indah sungguh di pandangan matanya,lalu halimunan terbang melayang menuju destinasi yang memikatnya itu.Memang dikenalinya bumi yang pernah dilawatinya dulu dan kini hatinya kepingin untuk melawatinya sekali lagi.

Tibanya di bibir langit,halimunan merasakan kelainan.Dadanya senak,nafasnya sesak.Hatinya tertanya-tanya mengapa demikian rasanya.Halimunan menjunam laju agar hilang sesak dadanya hingga hamper terlanggar geroda besi.Halimunan berhenti sebentar,melepaskan debar akibat kejutan mendadak.

Helang terbang berhampiran,ketawa terkekeh-kekeh melihat halimunan.

“Wahai Halimunan apa yang kau buat di sini?”tanya helang.

“Aduhai helang,telah sekian lama aku berada di awangan orbitmu.Berkesempatan melawat Cuma berkurun sekali.Keinginan kuat melihat bumimu yang indah ini sekali lagi.”jawab halimunan.

“Suatu masa dulu,memang bumi indah di lawati tetapi kini bahayanya banyak sekali.”

“Maksudmu ancaman si geroda besi?”celah halimunan dengan pantas.

“Geroda besi hanya cantuman besi.Rekaan manusia yang bijaksana.Kapal terbang diberi nama untuk membawa mereka kemana-mana.Perjalanan dulu sebulan purnama,tetapi kini sehari sahaja.”Helang member penjelasan panjang lebar.

“Jika manusia begitu bijaksana,mungkin kini aku juga mampu dilihatnya.”helang melayang-layang mengelilingi halimunan.

“Aku pasti kau tidak mungkin dapat dilihat pada pandangan kasar mata manusia.Meski akal fikiran mereka miliki,namun hati jua yang menjadi panduan tindakan laku.”

“Maksudmu?”halimunan bingung dengan penerangan helang.

“Pangkat,harta dan kuasa jualah yang menjadi punca.Masing-masing berlumba-lumba mengejar segalanya tanpa berfikiran waras.Kemajuan yang dicari-cari,namun kemusnahan pasti menanti.”

“Aku masih kurang mengerti,wahai helang.”Halimunan inginkan maklumat yang lebih.

“Jika masih belum memahami,ikutlah aku,pasti bukti akan ku beri.”Helang meluruskan kepaknya,melayangkan badan kea rah bumi.

Halimunan mengikut helang dari arah belakang dengan kepala penuh persoalan,dengan hati penuh soalan.Apabila tiba di awan yang paling rendah,kepulan asap hitam berhembus di ruang legar helang dan halimunan.Kedua-duanya terbatuk dan hampir hilang imbangan badan.

“Petala apakah gerangannya ini,wahai helang?”Halimunan bersuara di celah batuk yang seolah-olah tiada hentinya.

“Asap kilang yang punya angkara.Hasil sampingan keluaran manusia.”helang menjunam seperti kapal terbang yang terkena tembakan musuh di udara lalu hinggap bertenggek di bumbung yang lapang.Halimunan cuma mengikut setiap langkah gerakan helang.

Di bumbung bangunan kilang yang tinggi,dalam pandangan yang penuh jerebu,kelihatan kawasan perindustrian yang melaut luasnya.Kilang-kilang pelbagai bentuk.Ada yang canggih serta cantik.Ada yang biasa tetapi bergerak sasa menghasilkan keluaran kegunaan manusia.

“Mungkin inilah puncanya dadaku senak setibanya aku di ruang langitmu.Tetapi perlukah kawasan yang seluas ini untuk menghasilkan kegunaan manusia?”Halimunan meneruskan soal selidiknya.

“Inilah kawasan perindustrian binaan manusia.Pelbagai bahan,pelbagai bentuk dan rupa di cipta dan direka untuk kepentingan manusia tanpa mengira hasil sampingan yang tercipta yang sudah tentu akan membawa malapetaka jika tindakan wajar tidak di ambil kira untuk menyelamatkan bumi daripada bencana.”Helang berhenti sejenak untuk menarik nafas,meskipun oksigen berkurangan bagi menyumbang cerita buat santapan telinga sahabatnya,halimunan.

“Udara kini tercemar sudah.Asap hitam naik ke udara,menurunkan hujan asid penuh berbahaya.”Helang mengembangkan kepaknya dan terus melayang ke arah parit butan manusia yang penuh bahan sampingan kilang yang tiada terhingga busuk baunya.Baunya tidak dapat digambarkan kerana hidung mereka tidak mampu untuk menahan busuknya,berkali-kali busuknya dari yang biasa hidung mereka hidu.

Kedua-duanya terbang mengikut alur parit yang likat pekat dengan cairan berwarna kehijauan bercampur kehitaman.Kadangkala halimunan menutup telinganya kerana tiada tahan akan kehingaran bunyi jentera serta mesin yang bergerak cergas.Sedihnya halimunan melihat parit yang bercantum dengan sungai yang semula jadi wujudnya.Di tepi sungai yang tidak bermaya itu,pokok layu kekuningan.

Dalam dua kilometer dari cantuman parit dan sungai,wujud perkampungan yang tidak diiktiraf.Rumah papan berdiri tanpa jarak dalam susunan tidak teratur.Kelihatan anak kecil berlari-lari tanpa seurat benang membawa perut boroi.Kelihatan si ibu mencedok air di dalam buyung yang telah sompek.

“Lihat itu helang! Bukankah bahaya menggunakan air sungai itu?”Halimunan meluahkan rasa,bimbang akan kesihatan manusia.

Helang diam membantu,terus terbang ke kawasan perhutanan.Di sebatang pokok di atas bukit,helang hinggap di puncak pokok.Halimunan singgah di dahan yang terletak di bawah hinggapan ranting helang.

Dengan megah halimunan bersuara,” Mengapa engkau tidak menjawab ketika aku menghulur pertanyaan?”

“Mulutku tiada dapat berkata-kata.Haruskah aku kasihan terhadap manusia sedangkan bencana menimpa angkara manusia juga?Tamakkan harta,bumi digadai untuk memenuhi kehendak yang kaya sementara yang miskin dibuat aniaya.Apatah lagi sesama mereka berbuat aniaya,nasib haiwan semakin panjang ceritanya.”helang berkata-kata berhenti sejenak menghela nafasnya.

Halimunan berbaring di dahan merehatkan badan mendengar penjelasan helang sambil menghirup udara nyaman yang baru disebut sejak tibanya di bumi.

“Nun..lihat terus di hadapanmu itu.Pokok ditebang satu persatu.Mana tempatnya rumah kan ku bina?banyak saudara ku yang telah pupus.Dulu makanan banyak sekali.Jika lapar boleh berburu,tetapi kini tidak lagi.Sampah sarap buangan manusia pula yang menjadi habuan perut yang kosong.Rumah kami dirampas untuk membina rumah mereka.Jika tidak,dibuat padang permainan mereka.Dibina padang rumput yang sungguh luas hanya untuk permainan manusia yang kaya.”helang bernada sedih membayangkan pilu yang meresap kalbunya.

Halimunan cuma menggeleng tanda simpati mendengar keluhan helang.Masing-masing tidak bersuara,membisu seribu kata sambil menikmati pemandangan hijau yang pasti Cuma sementara.Jeritan lotong dan siamang mahupun cengkerik kecil ataupun unggas hutan telah ditukar dengan ngauman jentolak gagah menyodok pokok yang tumbang ke tanah.

“Mari ku bawa kau melihat bumi yang kononnya indah ini.”helang terbang menawarkan perkhidmatan sebagai pemandu pelancong.Halimunan cuma menurut ingin mengetahui cerita lanjut dari helang yang hatinya ibarat di ramas-ramas sampai berkecai oelh manusia yang tidak ada sedikit pun sifat sensitif terhadap perubahan alam yang di huni bersama dengan makhluk lain.

Mereka tiba di sebuah kawasan yang penuh dengan ruhtuhan bangunan.Suasana sepi menyelinap di segenap ruang.Kesan kebakaran di merata-rata.Kawah tanah wujud di sana sini.

“Gerangan bencana apakah yang berlaku di sini?umpama tahi bintang jatuh menimpa bumi.”halimunan hairan melihat kerosakan begitu teruk melanda kawasan bandar yang kini tidak berpenghuni lagi.

“Bukan tahi bintang yang punya angkara tapi manusia berhati binatang yang mencipta sengsara.Peperangan saudara melanda mengakibatkan bandar ini menjadi sedemikian rupa.Cuba kau lihat warna merah di merata-rata tempat.Tumpahan darah mereka yang tidak berdosa.”helang bercerita dengan nada mendayu.Sebaknya seperti sang ibu yang tepaksa memijak anak sendiri angkara durjana yang di lakukan oleh sang anak.

“Ke mana perginya penghuni di sini.Adakah mati atau melarikan diri?”

“Ada yang mati,ada yang lari.Di sini Cuma tinggal sejarah,perbuatan manusia yang tiada arah.Tamakkan kuasa,tamakkan harta,nyawa manusia yang jadi korbannya.”selesai helang berkata-kata,dia membawa halimunan berlegar-legar untuk melihat kebinasaan yang nyata.
Tiba-tiba kedengaran dentuman kuat.Kedua-duanya tersentak.Hampir halimunan terjatuh ke bumi.

“Mendung tidak,rebut pun tidak,tiba-tiba langit berdentum membelah bumi.Bunyi apakah itu wahai helang?”

“Itulah senjata manusia yang sungguh bijaksana.Sekali dentuman beratus nyawa pasti terkorban.”

“Mari kita ke sana.Ingin sekali memerhatikan peristiwa yang sedang menimpa.”Halimunan memujuk helang ke tempat kejadian.

“Wahai Halimunan yang ingin mengetahui,ku nasihatkan jangan ke sana.Suasana ngeri tidak terperi.Meskipun aku digelar binatang,tetapi aku sendiri tidak berani melihat manusia berhati binatang,bertindak ganas bukan kepalang.”

“Jika begitu nasihatmu,marilah kita beredar pergi.”Halimunan yakin kejadian yang berlaku,tentu buruk sekali sehingga helang yang gagah berani tidak sanggup membawanya pergi ke tempat kejadian yang dikatakan ngeri itu.

Mereka pun terbang pergi ke destinasi yang belum pasti lagi.Tiba di kawasan yang kuning keemasan,Halimunan terasa panas membahang.Diajaknya helang turun kerana tiada tertahannya panas hari.Tiba di bumi ,halimunan kehairanan melihat tanah kering merekah.Rumah yang berbentuk tiga segi dengan rumput kering menjadi dinding atap pelindung diri.

“Tempat apakah ini,tumbuhan tiada,air pun tiada tapi manusia tinggal melata?”Halimunan terus bertanya.

Anak-anak kurus.Ibu dan ayah pun begitu juga.Badan mereka kurus kering.Yang tinggal Cuma tulang dan kulit tanpa sedikit pun daging.Lalat menghurung mereka bagaikan bangkai berjalan.

“Inilah bencana kemarau.Tanah kontang tidak dapat bercucuk tanam.Mereka kebuluran tanpa makanan.”Helang member penjelasan.

“Marilah kita ke tempat lain.Tidak tertahan melihat mereka derita menunggu maut yang pasti tiba.”Halimunan dan Helang terbang ke destinasi yang lain pula.

Mereka sampai di tengah lautan.Ternampak sebuah kapal penuh muatan.Anak kapal sibuk bekerja,membuang isi muatan ke dalam laut.

“Apakah yang dibuang oleh manusia itu?”Halimunan bersuara bertanya helang.

“Apabila hasil tanaman tumbuh secara berlebihan,petani mewah takut harga jualan tiada dapat bertahan.Dibuang gandum ke dalam lautan agar jualan dapat kawalan.

Begitukah sifat manusia kini? Demi kekayaan,insane lain tidak di ingati.Alangkah olek sekiranya gandum yang berlebihan tadi diberi kepada mangsa kebuluran yang menunggu mati.”Halimunan mengeluh simpati.

“Mungkin elok kita berehat seketika.Melepas penat setelah berharian terbang penuh leka,melihat gelagat dunia pelbagai cerita.”Helang member cadangan kepada Halimunan,lalu halimunan menggangukkan kepala tanda setuju dengan cadangan tersebut.

Tiba di pantai,pasir di jejak,mereka berehat untuk seketika.Halimunan melihat laut biru.Belum hilang penat terus berganjak.Dilihatnya di bibir lautan penuh cairan pekat kehitaman.Lalu helang ditanya untuk rujukan.

“Kenapa laut yang indah menjadi begini?Cairan hitam timbul di permukaan bersama sampah-sarap merata-rata?Haiwan lautan bergelimpangan sahaja!”

Helang mendekati halimunan yang sedang berdiri di gigi laut yang bertimbunan dengan bahan buangan dan bangkai binatang lautan yang mati bergelimpangan.”Yang hitam itu minyak dan yang bertimbunan itu sampah.Buangan manusia yang tidak tahu bahasa.Ikan mati kerana lemas.Udara tidak dapat diperolehi.

“Begini rupanya bumi kini,penuh dengan pelbagai pencemaran dan seribu macam kontaminasi.Kontaminasi udara,bunyi dan air akibat kontaminasi pemikiran manusia sendiri.Indahnya bumi ibarat kaca,dilihat dari jauh cantik bercahaya dengan kilaun biru dan hijau nyata,tetapi sayang menunggu pecah binasa.Wahai helang yang baik budi bicara,biarlah aku mengundur diri dulu.Entah bilakah bersua lagi.”Halimunan meminta izin beredar pergi,meninggalkan bumi yang tidak indah lagi.

“Jikalau engkau ingin pergi,mari ku tunjukkan jalan mudah yang dicari.Lubang yang terjadi akibat penipisan lapisan ozon yang semakin hari semakin nipis sekali.”

Helang menunjukkan jalan yang harus dilalui.Sampai di lapisan ozon yang semakin menipis mereka berhenti seketika.

“Cubalah kau lihat Halimunan,ozon yang semakin menipis ini akibat bahan gunaan manusia yang dicipta untuk kepentingan diri tanpa menghiraukan kebinasaan bumi.”Helang bersuara dengan sedih sekali.

“Aku bersimpati dan kasihan dengan nasibmu dan manusia bumi.Mungkin satu hari nanti,tiada manusia tiada haiwan lagi.Yang tinggal cuma sebutan seperti aku yang tiada kelihatan.Kontaminasi perlu diatasi,terutamanya fikiran manusia sendiri,jika mereka ingin hidup lebih lama lagi.”Halimunan terus terbang tinggi meninggalkan helang berlegar-legar dengan beban dunia yang semakin menjadi-jadi.



Sunday, December 2, 2012

Seorang Lelaki Tua dan Sebuah Laut



Irfan berdiri tercegat sambil memeluk tubuh.Matanya yang masih terkatup dibungkus kantuk semalam diam menatap ombak.Pagi masa suram-suram.Ombak yang gusar oleh pasang menghempaskan deburan yang kasar ke dada pantai.Riak-riak buihnya menggerumut di pantai..berlalu..dan meninggalkan sisa-sisa yang terbawa dari laut terdampar di dada pantai dan isinya.Angin laut yang beralun bersama ombak kudus menyapa pantai dan isinya,pohon-pohon ru,pasir,samun,belukar,bukit dan chalet-chalet yang dipagar dalam suatu kawasan luas ini.

Angin,benarkah ini hembusanmu?begitu segar dan nyaman sekali.Irfan menunduk,melihat pasir,melihat pantai,melihat laut.Jauh...laut kelihatan semakin bermanik-manik dikilau matahari yang perlahan-lahan bangkit dari garis horizontal menuju garis vertikalnya.Mandala yang sunyi,senyap,terasing dan terpinggir.Kedamaian dan kerutinan mandala ini ialah kesemulajadian yang tidak terusik oleh kelorah manusiawi.

Menghirup udara segar dan kenyamanan rasa di sini bagai mewujudkan dirinya dalam satu dunia asing yang misteri.Terasa keluasan laut itu telah perlahan-lahan membuka fikirannya.Sesuatu yang begitu lama terbenam dalam dirinya terasa bangun perlahan-lahan,segar dan gagah,mengalirkan suatu daya hidup merewak ke serata diri.Di sini jauh dari bising dan rimas kota.Tiada hambatan dan tiada yang perlu dikejarkan.Kesibukan dan beban kerja,kelicikan dan kekorupan,kepalsuan dan lakonan,keangkuhan dan penindasan.Semuanya itu tidak kelihatan di sini.Mungkin hanyut dalam debur ombak yang tidak pernah lelah itu.Mandala asing yang bermisteri ini terus membekam sejuta rahsianya yang tidak terungkap di dalam butiran-butiran pasir,rengus ombaknya dan desir anginnya.Mandiri dalam kesendiriannya.Membina keutuhan rahsianya dalam simbol-simbol yang tercitra,jelas dan kabur.

Di hujung sana,di tanjung yang berbukit dan berbelukar itu,dalam samar-samar kabus dia melihat satu objek manusia di pesisir pantainya.Tentu lelaki tua itu.Lelaki tua yang dilihatnya setiap pagi di pesisir pantai itu sejak tiba di sini.Tiada yang aneh dan ganjil atau apa-apa yang menarik pada lelaki tua itu.Lelaki tua  yang cuma suatu kewujudan yang tidak dipedulikan dan terpinggir di hujung dunia.Tetapi hari ini entah mengapa,terasuk oleh kebodohan apa,dia terasa begitu ingin mendekati lelaki tua itu.Mungkin luang-luang masa yang banyak ini mula menjadikannya seorang yang dungu.Ah,peduli apa dia!Kebebasan di sini tidak harus disekat oleh tanggapan-tanggapan dahulu.Ini bukan hidup dahulu.Ini mandala baru.Mandala yang tidak punya protokol,kasta dan ego.Di sini bebas daripada keterikatan itu.Semua di sini sama,bersatu dan saling membantu menghidup dan memakmurkan.Begitu harmoni.

Jejak-jejaknya di pasir semakin jauh meninggalkan kawasan chalet penginapannya menuju ke tanjung yang menganjur menentang laut.Puput angin lemah dan langsam.barangkali masih dingin dan malas lalu menjadikan suasana pagi ini cukup tenang.Laut,semakin hampir semakin terasa keluasannya.Semakin terkagum dengan kejadiannya.Benarkah laut sebegini luas masih tidak cukup meninta seluruh ilmu pengetahuan?

Semakin lama semakin hampir Irfan dengan tanjung itu.Ketika langkahnya sampai di sebuah banir ru dengan sedikit lelah,dia mengambil keputusan berhenti di situ,melabuhkan duduknya.Tenang dia beristirehat.Di sini rupa tanjung jelas dan nyata.Juga lelaki tua itu.Lelaki itu berjalan di gigi air,menunduk mengutip sesuatu,terkadangnya mencangkung agak lama mengorek-ngorek sesuatu di dalam pasir basah yang sedikit berlumpur itu,memasukkan hasil usahanya yang entah apa itu ke dalam kantung yang tersangkut di bahu,berjalan lagi dan kadang-kadangnya berdiri lama memerhati tunak ke laut lepas.

Kelakuan dan perwatakan lelaki tua itu ini semakin lama semakin menarik perhatian Irfan.Terasa benar ingin mendekati lelaki tua itu.Sekurang-kurangnya bertanya khabar,mungkin sepatah perkataan melahirkan sesuatu yang bermakna,setidaknya sekelumit kebajikan.Bukankah perjalanan beribu batu itu bermula dengan langkah yang satu.Itu kata-kata Lao Tze.Entah bagaimana pula dia teringat kata-kata falsafah itu.Mungkin suasana di sini mula menjadikannya seorang perenung.Ya,mandala ini menjadikan fikirannya segar dan luas terbuka berbeza daripada di kota yang menjadikan fikirannya penuh komplikasi dan terhimpit oleh hukum dunia kebendaan.Benar-benar keterasingan di sini melahirkan sesuatu yang baru kepada dirinya.Benar-benar.

Selamat pagi....."ketika langkahnya semakin hampir di sisi lelaki tua itu,suaranya terlepas mesra.

Lelaki tua itu berpaling.Matanya melemparkan pandangan sedikit aneh.Mungkin kaget oleh teguran yang tiba-tiba itu.Bibirnya kemudian menyungging senyum dan membalas ucapan irfan dengan perlahan dan mesra.

"Pak cik cari apa?Maafkan saya bertanya."Irfan bertanya selembut mungkin.

Lelaki tua itu tersenyum dan menyatakan bahawa dia mencari ulat laut bagi membuat umpan pancing.Sambil itu dia juga mengutip anak-anak ketam dan kapar-kapar yang terkadangnya masih memberi guna yang banyak.Kotoran,tidak semestinya keburukan semata.

Irfan mengangguk mengiakan kata-kata lelaki tua itu.Mereka sama-sama berdiri menghadap laut lepas.Membiar angin menampar-nampar tubuh mereka dan membiar laut menjilat-jilat kaki mereka.

"Saya menginap di chalet sana.Berehat menghabiskan cuti tahunan."Irfan menjelaskan kepada lelaki tua itu.

Lelaki tua itu mengangguk sambil bertanyakan perkerjaan Irfan.

"Saya berkerja sebagai pegawai tinggi di sebuah organisasi separa kerajaan."Jawapan itu bukan suatu jawapan yang tulus dan jujur.

Lelaki tua itu terangguk-angguk lagi.Mereka berbual-bual memesrakan perkenalan.Tidak lama kemudian Irfan meminta diri untuk kembali ke chaletnya,sambil berjanji bertemu lagi jika ada kelapangan.Lelaki tua itu menyambut salam Irfan dengan mesra dan berharap begitu juga.Mereka pun berpisah menuju rutin masing-masing,menuju dunia masing-masing.Irfan dengan chalet dan percutiannya.Lelaki tua dengan laut dan kapar-kaparnya.

Besoknya Irfan berjalan lagi ke tanjung itu.Melihat anak-anak ketam yang timbul dari pasir berlari menyerong dan tenggelam tiba-tiba di dalam pasir.Timbul lagi,hilang lagi dan lelaki tua itu muncul.Entah dari mana tidak disedari langsung oleh Irfan.Mungkin dari belukar sana,kerana kelihatan seperti suatu lorong dari belukar menghala ke pantai atau juga dari arah darat itu.Irfan tidak pasti.

"selamat pagi pak cik.Banyak dapat ikan semalam?"Irfan memulakan perbualan.

Lelaki tua itu mengangkat keningnya,tersenyum dan menyatakan cukuplah untuk makannya seorang.Kemudian di bertanya tentang keselesaan Irfan di tempat ini.

"Laut dan mandala ini cukup menenteramkan saya.Namun ketenteraman ini menimbulkan misteri yang bukan kepalang kepada saya.Saya kurang pasti apa yang melekap di kepala saya tetapi...."Kata-kata Irfan terhenti.Irfan merenung lelaki tua itu."Apakah pak cik punya jawapan?"

Lelaki tua itu mendongak memandang Irfan kemudian mengalih pandang ke laut lepas.Kemudian dia berkata: Laut sentiasa menaburkan rahsia-rahsianya yang tidak terungkap.Perasaan kita terhadap laut mencerminkan satu pertalian azali tentang bibit-bibit asal usul.Air mewujudkan kehidupan yang punya nyawa,punya roh,punya jasad.Kita sememangnya mempunyai pertalian yang rapat dengan air.

Irfan terpaku,terpendap ke dalam kehairanan.

Ketika jejari angin datang mengusap-usap pantai,lelaki tua itu berkata lagi,apabila dipandang dari darat,laut kelihatan dekat dan biasa,tetapi adalah sesuatu yang menakutkan apabila berada di tengahnya dan melihat sekelilingnya yang tiada apa-apa selain daripada air yang keluasannya merentang dari ufuk ke ufuk.Bebas daripada dominasi maujud dan hanya tertakluk kepada kekuasaan yang melampaui batasan baik dan jahat,batasan masa dan ruang,batasan nasib dan takdir.Kesunyian di sini seperti kesunyian di rahim ibu.Dampratan ombak-ombak di pantai adalah dampratan nasib kita terarca di tangan kita sendiri.Ketidaktentuan ombak itulah kehidupan.

Irfan diam terpukau.Merenung lelaki tua itu merenung laut.Dua kewujudan berbeza lahir daripada prinsip yang satu."Pak cik mungkin mempunyai banyak pengalaman tentang laut."kata -kata Irfan mati di situ.

Lelaki tua itu tersenyum tetapi tiba-tiba senyum itu mati dan wajahnya bertukar serius.Serius sekali.Laut itu ialah kehidupan dan kematian,kebaikan dan kejahatan.Matahari di sini membakar tanpa hadangan.Ketika badai dan taufan menggempur hingga awan-awan tergulung dan kegelapan di laut hingga tidak dapat melihat tangan sendiri,kuasa apakah yang akan menyelamatkan?Ketika laut tenang dan aman,sewaktu permastautin-permastautibya mengungkapkan keceriaan camar putih yang melayap,lompatan paus yang menerjah muka laut,penyu besar menjengulkan kepalanya dari wajah laut,kuasa apakah yang mengatur keharmonian ini?Sesuatu yang dekat dengan kita rasakan jauh dan sesuatu yang jauh kita rasakan dekat.Itulah kuasa yang menggerakkan ombak dan seluruh kewujudan lautan ini.Kekuasaan dan kemisterian laut adalah rahsia-rahsia penciptaan dan kewujudan.Langit dan bumi terjadi daripada air.Pernahkah didengar kata-kata ini?Dengarlah.Kewujudan yang dikatakan bermula daripada air atau apa yang bersifat air dan ia di namakan al-ma'.Daripada al-ma' ini dialirkan kewujudan dan kemaujudan.Membentuk alam semesta dan mempunyai sifat semesta.Al-ma' ini bersifat terbatas dan boleh tercacat cela dan sifat ini diwariskan kepada setiap kewujudan alam semesta.Lantaran itu pertalian kita didapati begitu rapat dengan laut.Bahkan komposisi garam dalam darah yang mengalir dalam tubuh kita adalah sama dengan komposisi garam dalam air laut.Dan keluasan laut di sini membawa kita dekat dengan asal usul.Dekat dan rapat.

Mengertilah tentang laut,tentang ombaknya,suatu mesej bagi bahaya yang paling besar,ketidakseimbangan,pergolakan,kegelisahan,kekacauan dan keributan.Tentang pantainya yang sering menerima dan pasrah pada kegelojohan ombak.Kehidupan adalah laut dan segalanya berkait dengannya.Tetapi kita tidak semestinya menjadi pantai yang terlalu pasrah dan menerima.Pernah di dengar kata-kata ini,jika takdir membuatmu merana,pohon kepada Tuhan agar Dia mengurniakan mu Takdir yang lain!Tidak terlarang bagimu untuk meminta takdir yang lain,kerana takdir yang berada di perbendaharaan Tuhan tidak terbilang banyaknya.Itu kata-kata pujangga Irfan!Terlalu malang untuk hidup sepanjang hayat seperti  pantai.Laut sentiasa memerlukan pelayar-pelayar yang gagah dan tegar untuk meregat keluasan dan ketidaktentuannya.Tetapi sedar laut tidak pernah memberikan apa-apa jaminan!Itulah laut dan itulah kehidupan.

Lelaki tua dan Irfan,masing-masing diam di depan laut.Ombak menggumpal buih dan riaknya bergiliran.Kilau matahari yang terbias di rabung ombak bersinar bagai kelemayar.Sepi bertangkup.

Dua hari lamanya selepas itu,Irfan tidak bertemu dengan lelaki itu.Hujan yang turun berturutan mengurung Irfan di dalam chaletnya.Hari ketiga,cuaca baik.Irfan bergegas ke tanjung untuk bertemu dengan lelaki tua itu,tetapi tiada seorang pun di sana.Sehari suntuk irfan di situ.Besok begitu juga,dan lusa pun begitu juga.Lelaki tua itu tidak muncul-muncul lagi.Dia cuba bertanya kepada kakitngan chalet itu dan orang tempatan yang di temuinya.Tidak seorang pun yang tahu tentang lelaki tua itu.Bahkan mereka tidak tahu pun tentang kewujudannya di tanjung itu.

Siapakah lelaki tua itu penghuni laut?Atau kapar-kapar yang tersingkir daripada kehidupan?Atau makhluk laut yang datang membawa satu alamat?Irfan pernah mendengar sebuah kisah purba ahli-ahli pelayaran Arab tentang orang kerdil yang keluar dari laut,memanjat kapal,bermalam di situ dan kemudian pergi tanpa berkata atau berbuat apa-apa.Bagi pelayar zaman itu,ia bererti akan berlaku tiupan angin laut yang paling buruk iaitu Khub,awan putih yang terkenal yang apabila bertembung dengan ombak akan menyebabkan ombak itu meluap dan meraung bagaikan taufan.Lubang dalam laut yang dikenali sebagai "durdur" menarik kapal ke dalam jurangnya dan gunung bermagnet di dalam laut menarik bot-bot ke arahnya dan menghancurkannya hingga berkecai.Apakah lelaki tua itu juga adalah makhluk laut seperti orang kerdil yang membawa petanda buruk itu? (atau baik?).Laut semakin dalam kemisteriannya.

Hari-hari terakhir Irfan di mandala ini diisi dengan menyusur pantai dan tercatuk di banir ru,menyeru angin,ombak,karang ,pantai dan siput-siput.Laut semakin akrab dan mesra.Perasaan itu juga sedang tumbuh di dada Irfan,halus dan prihatin di dalam roh di tubuhnya.

Beberapa lama dia di sini telah menyedarkannya tentang sesuatu.Sesuatu yang selama ini tenggelam di dalam arus dan ideologi sains moden yang membendung pemikirannya di bangku sekolah hingga menjadi ahli ilmiah yang unggul.Ideologinya yang memisahkan agama dengan kehidupan,memisahkan proses daripada prinsip dan memisahkan roh dari tubuh.Pemisahan yang membawa diri semakin renggang dengan wujud hakiki.Kini dia sedar bahawa kedua-dua ini tidak boleh di pisahkan dan tidak mungkin dipisahkan.Dan kehadiran lelaki tua itu telah menyedarkannya tentang hakikat ini.Walau mungkin lelaki tua itu senandikanya.

Ketika matahari merah mencantumkan langit dan laut seperti seulas bibir,Irfan berlalu meninggalkan laut dan lelaki tua yang tidak pernah wujud itu.



Saturday, December 1, 2012

Kentut


Kadang-kadang bentuk wajahnya tersergam macam gunung berapi yang tiba-tiba meletup dan memuntahkan belerang.batu-batu sepemeluk dua pemeluk,melambung menujah langit menembusi ruang angkasa.Dan kemudian selonggok-selonggok relai jatuh ke bumi dengan banyaknya menyuburkan tanah dan juga membunuh makhluk ciptaan Maha Kaya.

Demikian kadang-kadang bentuk wajahnya datang tersergam,terutama apabila keputusannya untuk permisi serta-merta dan sudah amat sukar untuk mempertahankan lagi kehadiran di daerahnya.Kalau disekat dan dibentengi juga dengan apa kaedah sekalipun,termasuk kaedah melayar imaginasi memberontak emosi atau mengganyah mental dan spiritual,dia menjerit dan meraung sekuat tenaga.

Namun kehadirannya di daerah yang memang disediakan sejak awal itu adalah satu haknya,satu fitrah juga.Pertimbangan antara kehadiran dan kepermisian ini kadang-kadang menuntut perjuangan yang sengit,melibatkan ketegangan urat saraf dan kekuatan mental.

Inilah kadang-kadang aku meminta sangat-sangat agar dia bersimpati denganku dan permisi dengan mudah mengikut jalan-jalan biaa yang dia sendiri lebih maklum tetapi berdegil dan ingin menapak juga.Tidak mahu berganjak,Tidak mahu berganjak barang seinci pun.

Dalam detik-detik khas,terutama detik-detik dalam keasyikan dan kehebatan memperhambakan diri kepada Allah yang Maha Esa,aku meminta agar dia bersabar serta berdiam diri seketika dan turut bersama dalam proses perhambaan itu.Dia memberontak ganas,malah beberapa kali dia menyentak bagaikan seorang revolusioner dengan senjata di tangan.Dia menggila dan menerjah untuk keluar juga.Dan apabila aku cuba menentang dia agar jangan cuba minta permisi ketika itu,dia terus sahaja mengamuk,menendang dinding-dinding,menerjah salur nadi sehingga melarat melonjakkan diri,bergelombang bagaikan berada di tengah-tengah samudera yang maha luas tidak bertepi.Beberapa kali pula dalam bebelannya yang memang sukar difahami,dia meresap memasuki salur pernafasan dan merayap naik ke dalam otak yang bersarang di kepala.Dan di situ menimbulkan pula pelbagai konflik yang sukar di kawal.Mata melilau-lilau dan gegendang telinga pun berdesing tidak tentu pangkal dan hujungnya.Dan pada detik-detik cemas sedemikian rupa,aku biasanya terpaksa memperkayakan imaginasi dan emosi,membiarkan mereka bebas merayau mengikut nafsu mereka sendiri-sendiri.Kadang-kadang mereka meranduk lautan yang maha dalam.Dan kerapnya mereka bermain-main sesama melontar angin dan dauan-daun di pokok berdekatan serta membebaskan fikiran ke mana sahaja yang di sukai.Dan fikiran pula biasanya mengambil jalan mudah dengan meredah ruang angkasa setinggi dan sesayup yang boleh atau menggelilingi dunia sekelip mata dengan singgahan-singgahan sebentar di New York,London,Beijing,Moscow,Copenhagen,Paris dan sebagainya.

Hanya dengan jalan membebaskan segala-gala yang ada sajalah  dapat meredakan kedudukannya,malah kerapnya terus melupakannya buat sementara waktu dalam detik-detik memperhambakan diri itu.Dan apabila habis sahaja memberi salam sesudah berada dalam kekhusyukkan yang paling puncak,aku kembali teringat kepadanya dan cuba bermesra dengannya.Dan dengan mudah aku membiarkan diri pergi mengikut jalan yang telah sama-sama termaklum.

Biasanya begitulah,tetapi ketika-ketika yang tidak dapat difahami oleh sesiapa,dia enggan pula keluar,malah meresap dan menjarap entah ke mana.Tadinya dia begitu galak dan sering bergelodak untuk membebaskan dirinya bagaikan dia tidak pernah sedari yang aku berada dalam kekhusyukkan memperhambakan diriku kepada Allah yang Maha Esa.

Dan kini apabila semua menjadi reda dan selesai,dia pula membuat fiil yang lain yang lebih sukar dimengertikan.Pengalamanku selama enam puluh tahun hidup bersamanya ini memang sulit dan rumit serta tidak dapat memahami fiilnya yang sering berbah,sering songsang perjalananya dan sering menjerit pada ketika-ketika yang menuntut kesepian.Sekali,dalam usiaku empat puluh tahun,dia begitu memilukan hatiku kerana dia langsung tidak menjaga hatiku yang amat sensitif ini.

Pada waktu itu aku sedang makan bersama keluarga sebelah isteriku.Kedua-dua mentuaku ada bersama mengelilingi hidangan serba lazat itu.Dan tiba-tiba dan begitu speontan pula dia meredah keluar tanpa memberi isyarat pun.Memang salahku juga kerana pada waktu itu aku cuba menjangkau ikan haruan bakar yang berada di hujung hidangan sebelah sana.Apabila aku condong dan angkatkan sedikit tubuh ku yang agak banyak isinya itu,tiba-tiba dia pun keluar bagaikan bedil senapang patah laras satu.

Malu betul aku dibuatnya.Dan semenjak itulah aku tidak tergamak lagi makan bersama kedua-dua orang mentuaku itu sampailah kedua-dua orang tua itu meninggal dunia.

Sampai sekarang ini pun,apabila mengingatkan sejarah bedilan senapang patah laras satu itu aku ketawa riuh-rendah seorang diri.Pernah perihal ketawa seorang diri itu diciumi isteriku dan dia marah-marah pula kerana menyangka aku ketawakannya.Beberapa malam pula dia merajuk.Dan ini mencemaskan juga tuntutan fitrah kehidupan ini.Tetapi apabila aku memperjelaskan duduknya keadaan sebenar,isteriku pula terkekeh-kekeh ketawa sampai senak-senak perutnya.Dan isteriku pula tanpa sedar melepaskan dia secara spontan meskipun pengeluarannya tidaklah sehebat bunyi bedilan senapang patah laras satu.

Memang kewujudannya kadang-kadang menyeronokkan dan memperindahkan kehidupan yang sering tercabar ini.kadang-kadanglah.Tetapi yang banyak,kewujudannya itu mendera jiwa dan raga selama ini kerana sukar mengawalnya.Dia bermaharajalela sahaja kerap kalinya tanpa mempedulikan sesiapa dan di mana kita berada.Kalau dia merasakan dia ingin mengeluarkan dirinya sendiri-sendiri ,dia terus keluar tanpa banyak perhitungan.Kalau proses pengeluaran diri itu dilakukan secara senyap-senyap seperti sepinya malam atau nyamannya petang hari di tepi pantai yang indah,tidak mengapa pula.Kadang-kadang dia bernada rancak yang songsang iramanya.Kehidupan ini menjadi gamat juga kalau fiilnya tidak tentu hala macam cuaca yang sasau.Kadang-kadang di tengah-tengah kemarau panjang dengan panas terik menikam ubun-ubun itu pun tiba-tiba hujan turun.

Bagitau juga perangainya.Dalam ketenteraman dia boleh mencetuskan peperangan secara tiba-tiba.Dalam peperangan pun dia mampu melahirkan ketenteraman secara tiba-tiba.Dia benar-benar seorang tokoh kerana kecanggihan ketokohannya.

 

 


Padanya Ada Hikmah



Pada ketika
seluruh indera
tidak lagi berperan
terkunci
termasuk semua pintu
kamar diri
aku terus beristighfar
menanti

Akhirnya
terbuka jua
pintu hati
lalu ku langkah kaki
berlari
di padang luas
penuh hikmah

Begitulah selalunya
bila sampai pada seru
Dia sentiasa di sisiku

juga pada subuh
hening yang buntu itu


Langkahan



Akan ku seret langkah
bersama kerawanan
wajah terbelah
jiwa yang sebelah
adalah kerana payah melucutkan
seksa dari kebodohan

Akan ku tanamkan dan benamkan dalam-dalam
sentimen dan prasangka wak sangka
di hulu hati
kerananya melengahkan perjalanan
menemui jati diri
yakin pada kaki sendiri

Meskipun di hujungnya
tidak perlu sinis lagi
atau merasa kerdil
memasuki sarang licik dan pura
atau merasa tersepit dan terhimpit
di celah-celah lapisan kasta berdarjat

Pangkal abad yang menunggu
tidak sesekali membenarkan berpaling
pada rajuk,emosi dan rendah diri
meskipun asing
di jalan hidup yang berliku


Friday, November 30, 2012

Palestin


Wajah diammu memancarkan
suara derita 
tak terkata
ku ratapi bingkai kemanusiaan
kayunya terkopak garisnya retak tak sekata

Apakah lagi yang masih
mereka rencanakan
di luar halaman
rumahmu terkakis dek bom kimia
dipinggir gaza
dibalik tembok pemisah

Ada mata sayu
merenung tubuh lesumu
ia tak bererti apa-apa
di tengah gamat
peperangan yang tidak adil

Tidak mungkin lagi
akan kembali ke dunia lama
memimpikan damai dengan semua
orang menjunjungnya
cinta senyap-senyap
dikuburkan
kini dan tidak selamanya
sujudmu tidak tenang di laman Aqsa.

Sebuah Memori


aku kembali ke sini mencari
temanku tika kecil dulu
pohon-pohon hijau mesra memayung
semerbak bunga hutan
tumbuh meliar di pinggir
rintihan mengkarung dari pohon rambai
bersama paduan suara sang unggas
melagukan damai


di sini
pernah aku menyusur
mimpi indah bersama kehijauan
berseloka bersama penghunimu


kemeriah itu masih ada
tapi suara-suara pesta makin mengecil...
 
 

Bingkisan Embun Disember


kesementaraan yang dipilih itu
telah berserakan
bak mutiara
di dedaunan keladi


ketika rindu itu tak tergapai
dan cinta yang tak tercapai
kau pun memilih sepi

yang berputih suci
bagai mimpi
dil luar janji


kegagalan yang diraih itu
telah berguguran
bak kaca-kaca
berderai melata


ketika hasrat tak terisi
dan kau hanya mampu mengiringi
malam yang bakal masuk
ke dalam kelam
siang yang bakal keluar
mencari sirna


ahh! tak daya ku menangguh embun disember.
selamat tinggal november!
 

Wednesday, November 28, 2012

Syarat Utama Masuk Syurga Sebuah Cerpen



Pada saat menunggu bermulanya separuh masa pertama bola sepak antara Malaysia lawan Laos,sedang asyik saya leka menyedut teh ais tiba-tiba dating seorang lelaki berambut kental,entah dari mana dia muncul sudah sekian lama lelaki berambut kental menjenguk saya,tetapi hari ini saya didatangi olehnya.


Lelaki berambut kental itu duduk betul-betul menghadap saya,sambil-sambil mengusap janggut yang sejemput lelaki berambut kental itu memulakan bicara.


“Tahukah kamu apakah syarat-syarat yang diperlukan untuk masuk ke syurga?”


Saya adalah seorang lelaki yang ada latar belakang agama dan mengetahui serba sedikit ilmu pengetahuan tentang agama,tersenyum saya dengan soalan yang semudah itu.Di dalam kotak fikir saya cuba mengatur ayat-ayat untuk memberi ceramah panjang lebar kepada lelaki berambut kental.Sebelum memulakan bicara,saya menyedut panjang-panjang teh ais dan bersedia memulakan bicara.


“Antara syarat-syarat yang diperlukan untuk seseorang itu masuk ialah seseorang itu harus beriman kepada Allah dan Rasulnya.Kita juga harus bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa.Melakukan segala perintah yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasulnya,serta menjauhi semua yang telah dilarang Allah dan Rasulnya.Yang paling terpenting sekali kamu tahu apa sahabatku lelaki berambut kental,kita tidak boleh sesekali menyekutukan Allah dengan sesuatu pun!sungguh,dosa orang yang berani menyekutukan Allah tidak akan diampuni-Nya!”dengan lagak seperti seorang ustaz memberikan tazkirah di surau panjang lebar,saya menerangkan kepada lelaki berambut kental.Agak bangga juga di hati ini dapat memberikan tazkirah kepadanya,kalau tak asyik-asyik saya yang di ceramahi oleh lelaki berambut kental itu.


“Lagi?”tanya lelaki berambut kental ingin menduga lagi saya.


“Kita harus banyak beramal soleh,menghindari perbuatan dosa dan juga perlu ada amar makruf nahi mungkar,ok,jelas?”tanya saya kepada lelaki berambut kental tersebut.


Lelaki berambut kental tersebut tersenyum dan menggelengkan kepalanya,pada saat itu juga lelaki berambut kental merapatkan kepalanya dan berbisik.


“Syarat utama seseorang itu untuk masuk ke syurga adalah mati,”berderau darah saya mendengar ayat yang keluar dari mulut berbisa lelaki berambut kental tersebut.



Oh!saya terlupa tentang mati...

Friday, October 19, 2012

TRAVELOG SI PENGUTIP SAMPAH

travelog si pengutip sampah.
pagi indah lagi damai
dengan kudrat yang ada ini ku berbakti pada bandar tercinta.
sadari pagi bergigih
ah tak ku pinta di julang kerna jasa
kerna yang terniat di hati
mahu melihat bandarku bersih dan wangi
apakala terlihat jasa yang sehitam semut di atas batu
di kegelapan malam


travelog si pengutip sampah
jika ditakdirkan kita tidak menemui apa-apa yang kita cari
terimalah hakikat ia memang tiada
kerna segala yang ada dan sempurna di akhirat sana
masakan jari yang kecil ini mampu menongkat langit
jika langit runtuh
janganlah kita terlalu di hidup ini
terlalu cinta
terlalu benci
terlalu duka
terlalu kecewa
terlalu gembira
apakalah kiranya kita berserderhana
kerna ia penyelamat hati

travelog si pengutip sampah.
di hati kecli selalu berkata
ah mengapa dunia ini tidak adil!
yang baik selalu ditindas,di tipu,di khianati
yang jahat acap kali terlepas
bukan sekali dua tapi berkali-kali
memang! dunia ini tidak adil
telanlah hakikat ini,
agar hati-hati kecil mu tidak lagi bersuara,
yakinlah!

Allah mahu menyimpan keadilanNya di akhirat sana
janganlah mengharapkan serba kena
kerna dunia ini serba tak kena!


 travelog si pengutip sampah
dibalik hari usai memerah keringat
si isteri datang menyapa dari dapur
"abang mahu tahu sesuatu?"
"apa?"
"mencintai kamu adalah perkara yang kedua terindah dalam hidup saya"
"apa yang perkara paling utama?"
"Allah menemukan saya dengan abang adalah perkara paling terindah dalam hidup saya,abang lelaki yang jujur,gigih dan selalu mahu dicintai!


 travelog si pengutip sampah
aku mahu jadi segigih nabi zakaria dan nabi ayub
mati di bunuh oleh musuh-musuh kebenaran
aku mahu seteguh nabi nuh,
mampu meninggalkan isteri yang dicintai
demi kebenaran yang di amanahkan ilahi
aku mahu setabah nabi ibrahim,
masih utuh genggaman tangan memegang belati
menyembelihkan nabi ismail anaknya tercinta
demi arahan Rabb.

Sunday, June 24, 2012

Warkah Terakhir Dariku Untukmu Ibu

Ibu,
sedari ku sebesar tapak tanganmu
kau mendukungku dengan penuh kasih sayang
tangisan ku di malam-malam buta tidak sedikt pun menganggu hidup,bahkan kamu gembira melayan rengekan anak kecil mu.
Kencing,berak ku bukanlah masalah bagi kamu,bahkan kau asyik dengan segala karenahku.
Air susu mu sentiasa suci dan ikhlas mengalir ke alur-alur tengkuk ku,mengalir bersama kasih dan sayang yang tidak terperi tulusnya.

Kini Ibu,
Sekujur tubuhmu terlantar di katil
tidak mampu lagi membelaiku,mendakapiku,mendukungku
Tetapi kasih sayangmu sentiasa mengalir didalam buluh darahku.
Lantaran takdir Tuhan,kau terlantar begini.
Barangkali Tuhan mahu aku berbakti pada kamu ibu,untuk sekian kalinya.

Apakalah kiranya,,,
aku yang memandikan kamu,mendukung kamu,membasuh kencing berak kamu.
Biarlah peluh kasih sayang ini mengalir ketika berbakti pada kamu
Pada Tuhan nanti tidaklah kekok untuk aku membentangkan amalan ini.

Sungguh!
Aku ikhlas berbakti pada kamu demi Tuhanku.
Oh ibu!.


Apakalah Kiranya-Sebuah Mainan Bahasa.

Apakalah kiranya,awak beri masa saya luahkan segala-galanya sebelum awak berlalu pergi begitu saja.

Apakalah kiranya,awak ambil satu dua minit mendengar luahan rasa suka duka pada awak.Tak rugi awak,tengok-tengok kan awak dah menyesal sekarang.

Sesalan awak dah tak berguna lagi,awak telah rugi serugi-ruginya kerana awak dah kehilangan rasa cinta saya,yang awak miliki sekarang ini adalah tubuh badan saya saja.

Rasa cinta saya telah saya kebumikan dalam-dalam di kuburan cinta.

Apakalah kiranya awak.........

Ayat di atas,tiada kena mengena dengan sesiapa pun dan tidak juga melibatkan lubuk hati perasaan saya.Ianya hanyalah rekaan  tiada kaitan dengan yang hidup,sedang sakit dan juga yang mati.

Perhatian sekali!,ayat di atas hanyalah sekadar mainan bahasa dan perkataan apakalah kiranya sahaja.
Saya suka bermain-main dengan bahasa-bahasa yang indah dan meruntun jiwa.