Monday, June 27, 2011

Unggun Bersih


Unggun Bersih

Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.
24—25, 6.11. A. SAMAD SAID

Release date: Jun 27, 2011

Sunday, June 26, 2011

Sekadar


sekadar mahu menjadi manusia yang mengetahui dan mengerti makna penghidupan diatas dunia,terkadang ujian dan penderitaan yang melanda menyebabkan tersujud memohon pertolongan,adakah sujud kita itu betul-betul tunduk tawakal pada Tuhan,pada saat ujian menimpa, kita merayu dan memohon diringankan dan dilepaskan dari cengkaman derita tetapi Tuhan masih lagi menimpa-menimpa derita keatas diri kita,barangkali pada saat Tuhan menambah derita untuk kita,hanya tubuh badan saja yang sujud tunduk tetapi hati tidak benar-benar tunduk bersujud pada Tuhan

tenang

Oh, alangkah tenangnya diri jika berpegang kepada prinsip sendiri daripada terpaksa hidup bermuka-muka dengan topeng yang dipakai oleh kepura-puraan manusia… hanya untuk mencari nama, harta dan jawatan. Saya teringat cerita seorang Raja bertanya kepada seorang petani miskin, “siapa kamu?”

“Saya raja,” jawab petani.

“Raja?”

“Ya, raja pada diri saya sendiri!”.

Fitnah


Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda : “Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita”. (Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)

Dunia mempunyai daya penarik yang kuat kerana Allah SWT telah menjadikannya berkeadaan demikian untuk menguji manusia siapakah yang dapat menguasai hawa nafsunya dan dapat menjalani kehidupan di dunia menurut jalan yang diredhai Allah. Antara daya penarik dunia ialah wanita kerana lazimnya mereka mendorong lelaki dengan tutur kata yang manis, gerak geri yang menggoda dan pakaian yang memberahikan. Semua ini mencabar keimanan kaum lelaki sehingga mereka menjadi lalai terhadap tugas dan kewajipan mereka.

Oleh itu Rasulullah SAW menuntut kita supaya memelihara dan mengawal diri daripada diruntun oleh kemanisan dan keindahan dunia dengan menambahkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah sambil mengingati bahawa segala yang ada di dunia hanyalah sementara sahaja berbanding dengan segala nikmat di akhirat yang kekal abadi. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.

Saturday, June 25, 2011

iman

bila ada iman kita seolah-olah memiliki segala-galanya. Sebaliknya jika hilang iman, kita hilang segala-galanya”

Thursday, June 23, 2011

Peristiwa Israk dan Mikraj


Marilah kita mendengar firman Allah Taala yang menceritakan tentang peristiwa agung yang berlaku dalam sirah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w.

Walaupun para ulama telah bertelingkah di dalam menentukan bulan dan tahun berlakunya Israk tetapi ia adalah peristiwa yang benar-benar berlaku kepada Rasulullah s.a.w. kerana peristiwa ini dinyatakan oleh al-Quranul Karim dan diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadisnya yang sahih, yang diriwayatkan oleh para ulama secara sahih lagi mutawatir sehingga tidak boleh dipertikaikan lagi.

Matlamat yang penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah pengajaran yang besar apabila Rasulullah s.a.w. dijemput oleh Allah SWT menjadi tetamu-Nya pada malam yang sangat bersejarah itu.

Firman Allah Taala (maksudnya): "Maha suci Tuhan yang telah menjalankan hamba-Nya pada waktu malam dari Masjidilharam (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Baitulmaqdis) yang Kami telah berkati di sekelilingnya supaya Kami tunjukkan kepadanya ayat-ayat Kami (tanda-tanda kebesaran dan ketuhanan Kami), sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israk: 1)

Peristiwa Israk dan Mikraj untuk menyatakan Rasulullah s.a.w. adalah benar seorang rasul yang dipilih oleh Allah SWT, membawa satu agama dan pengajaran yang bernama Islam, firman Allah (maksudnya): "Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam." (A-li Imran: 19).

Dan Allah menyatakan juga (maksudnya): "Dan sesiapa yang mencari (berpegang) dengan agama selain daripada Islam, maka Allah tidak akan menerima dan pada hari akhirat dia tergolong dalam orang-orang yang rugi." (A-li Imran: 85)

Pada malam yang bersejarah itu, Rasulullah s.a.w. dihimpun bersama dengan roh para nabi dan rasul 'alaihimus solatu wassalam di Masjidil Aqsa, mereka solat berjemaah bersama-sama dengan Nabi Muhammad s.a.w. menjadi imam kepada mereka.

Ini menandakan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah satu daripada mata rantai ajaran Islam yang bersambung-sambung dari seorang nabi dan rasul kepada nabi dan rasul yang lain, bermula dari Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan nabi akhir zaman, tidak ada lagi nabi selepas Muhammad s.a.w.

Allah SWT memilih nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan manusia. Mereka terdiri daripada manusia yang memiliki akhlak yang luhur lagi tinggi, bersifat benar, amanah, menyampaikan, cerdik dan bijaksana di kalangan kaumnya dan dipelihara daripada melakukan kesalahan dan dosa.

Adapun mereka yang tidak memahami dan buta al-Quran tidak akan percaya kepada peristiwa Israk dan Mikraj, kerana pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w. ditemukan dengan nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan Bani Israil dan nabi-nabi dan rasul di kalangan umat-umat yang lain, yang cerita-cerita mereka disebut dalam al-Quran, sebuah kitab Allah yang masih wujud sehingga hari ini. Ini menandakan kebenaran al-Quran.

Kebenaran al-Quran bukan sahaja menandakan betulnya Rasululah s.a.w. bahkan juga menjadi pengajaran kepada umatnya. Semua nabi adalah menganut agama yang satu iaitu agama Islam.

Semua mereka bersolat dalam keadaan menghadap Allah SWT dengan cara-cara solat yang diajar oleh Allah. Semua nabi berpegang dengan akidah tauhid lailahaillallah, tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah, tuhan yang layak disembah kepada-Nya, tuhan yang menjadikan dan menguruskan alam ini.

Alam ini tunduk di bawah undang-undang peraturan Allah, maka wajib manusia hanya tunduk kepada undang-undang dan peraturan Allah SWT. Itulah ajaran yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul-rasul yang terpaksa berjuang mengharungi perjuangan yang panjang.

Di dalam peristiwa itu juga ditunjukkan kepada Rasulullah s.a.w. rasul yang disertai oleh pengikut yang ramai. Ada rasul yang disertai oleh pengikut yang sedikit, ada yang berjalan seorang diri, ada nabi yang dibunuh dan ada yang dipenjara.

Itulah nabi-nabi dan rasul-rasul yang membawa ajaran Allah yang berdepan dengan cabaran golongan manusia yang menjadi bala tentera iblis yang akan wujud sehingga hari kiamat.

Peristiwa Israk dan Mikraj untuk meningkatkan semangat Rasulullah s.a.w. supaya jangan takut dan gentar di dalam perjuangan Islam, kerana Islam yang dibawa itu ialah Islam Allah SWT.

Seluruh kuasa besar yang ada dalam dunia adalah habuk-habuk yang kecil yang boleh ditiup angin, bahkan ia lebih kecil lagi apabila berdepan dengan ketuhanan Allah SWT pada hari kiamat.

Seseorang yang menganut Islam hendaklah merasa mulia, tinggi dan hebat dengan Islam, dengan syarat mereka berpegang dengan Islam. Allah SWT memuliakan umat ini dengan Islam. Kehinaan yang menimpa umat ini apabila mereka meninggalkan Islam.

Ditunjukkan pada malam Israk dan Mikraj itu di mana perginya orang yang berpegang dengan Islam sehingga mati dan ke mana arah orang yang menyeleweng dan meninggalkan agama Islam.

Orang yang berpegang dengan Islam diletakkan di syurga dan mereka yang menyeleweng daripada Islam berada di dalam neraka. Hal ini digambarkan dengan jelas supaya diberitahu kepada umatnya sehingga kiamat.

Marilah kita menghayati peristiwa Israk dan Mikraj dengan bukan hanya kita mendengar cerita yang berlaku di dalamnya tetapi yang lebih penting ialah untuk menambah iman kepada Allah, Nabi Muhammad s.a.w. dan ajaran Islam untuk sehidup semati dengan Islam sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT.

Firman Allah (maksudnya): "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam." (A-li Imran: 102).

Wednesday, June 22, 2011

Beristighfarlah


Firman Allah menceritakan nasihat Nabi Nuh a.s. kepada kaumnya: (maksudnya)

“Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (sekiranya kamu berbuat demikian) Dia akan menghantarkan langit yang mencurah-curah (hujan) kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; Dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai” (Surah Nuh: 9-12).


Dalam Miskat al-Masabih ketika membahaskan hadis istighfar, diriwayatkan seseorang datang kepada al-Imam Hasan al-Basri r.a mengadu tanahnya tidak subur, lalu jawab Hasan al-Basri: Beristighfarlah. Datang yang lain mengadu kemiskinan, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang yang lain minta doa agar direzekikan seorang anak, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang pula yang lain mengadu kebunnya kekeringan, jawab beliau: Beristighfarlah. Lalu ditanya Hasan al-Basri mengapa jawapannya semua sama bagi soalan yang berbeza. Katanya “Ini bukan pendapatku, inilah yang Nabi Nuh a.s sebut” –lalu beliau membaca ayat di atas.


Tuesday, June 21, 2011

surat untuk perempuan-perempuan yang pernah aku cintai


Pertamanya, saya mendoakan yang terbaik untuk hidup kamu. Lalu apakah lagi perkara terbaik dalam hidup selain mendapat rahmat dan berkat Allah? Itulah yang saya doakan untuk kamu.

Mungkin sahaja hati kamu mahu menyelidiki niat saya menghantar surat ini, dan biarlah saya berterus-terang. Saya mahu memohon maaf sebanyak-banyaknya atas semua salah saya. Lalu saya mahu memberitahu juga antara sebab saya dahulu meninggalkan kamu, semoga dengan itu kamu mudah memberi maaf.

Dahulu, saya ini manusia yang sia-sia hidupnya, kerana saya mencampurkan air yang jernih dengan minyak yang hitam. Benar, saya belajar agama dan saya tahu halal haram, namun dalam masa yang sama, tindakan saya seperti bukan orang yang tahu halal dan haram. Semuanya bercampur dan celakanya, saya bahagia dengan hal itu.

Semuanya bermula dengan cinta. Walaupun sahaja saya tahu tidak ada dalil dan nas dalam Quran mengatakan bercintalah sebelum nikah, namun tetap juga saya lakukan, dan malah saya lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Pasti sahaja, tanpa dalil dan nas yang menyokong, lalu di mana kesuciannya cinta sebelum bernikah?

Itulah lemahnya saya sebagai lelaki. Maafkan saya kerana mengheret kamu sekali dalam hal-hal yang sebegitu. Bukan salah kamu, kerana saya jugalah yang memujuk, dan saya jugalah yang merayu sehingga kamu setuju. Sepatutnya sahaja saya lanjutkan hal itu kepada nikah agar cinta itu menjadi suci, namun tidak saya lanjutkan kerana saya melihat sesuatu dalam diri kamu yang membuatkan saya ingat kepada pesan Imam Ghazali. Yang sebenarnya lebih kepada manfaat diri sendiri. Sekiranya sahajalah waktu itu saya punya semangat mahu menyebarkan manfaat kepada kamu, pasti tidak perlu saya tuliskan surat ini.

Tidak mahu saya menyebutkan perkara itu, namun biarlah saya sebutkan sahaja pesan Imam Ghazali dan semoga dengan pesan-pesan itu, kamu dapat melihat apa yang saya lihat dahulu.

Berpesanlah Imam Ghazali, “Jangan engkau kahwini perempuan yang enam, jangan yang Ananah, yang Mananah, dan yang Hananah, dan jangan engkau kahwini yang Hadaqah, yang Baraqah dan yang Syadaqah.”

Perempuan Ananah, perempuan yang banyak mengeluh dan mengadu. Juga pada setiap saat dia memperalatkan sakit atau buat-buat sakit.

Perempuan Mananah, perempuan yang suka membangkit-bangkit terhadap suami. Perempuan ini sering menyatakan, “Aku membuat itu keranamu.”

Perempuan Hananah, perempuan yang menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain (atau bekas teman lelakinya), yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya daripada suami yang lain.

Perempuan Hadaqah, perempuan melemparkan pandangannya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.

Perempuan Baraqah, perempuan yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya, atau apabila dia marah ketika makan, dia tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagianya.

Perempuan Syadaqah, perempuan yang banyak cakap tidak menentu lagi bising.

Itulah yang saya lihat dalam diri kamu, dan tinggal untuk kamu sahaja menyemaknya kembali.

Namun sekali lagi saya memohon jutaan maaf atas semua perkara yang telah lalu. Semuanya salah saya, lelaki yang jahat, lelaki yang entah apa lagi gelaran yang kamu boleh beri. Tahu agama tetapi, tidak menggunakannya. Pada saat saya menggunakan hukum agama pula, saya menggunakannya hanya untuk kepentingan diri sendiri. Jahatnya saya, dan maafkanlah saya. Saya memohon sesungguhnya daripada kamu.

Mahu sahaja sebenarnya saya, pergi kembali kepada kamu dan memberikan cinta ataupun setidaknya kata sahabat, namun saya tidak mampu. Hayat saya sudah tidak lama, dan mungkin sahaja pada saat kamu membaca surat ini, saya sudah tidak ada lagi di dunia ini. Jadi, mohon maafkan saya.

Yang benar,
Lelaki yang pernah mencintaimu.

Thursday, June 16, 2011

Segenggam Garam




Sedang saya asyik bermain-main dengan gelas yang mengandungi air suam dan merenung sendirian di dapur rumah,pada saat itu datang kawan saya yang berambut kental duduk di kerusi sebelah saya.

"cuba kamu masukkan segenggam garam ke dalam gelas itu,"arahnya kepada saya.

"masin la beb,"jawab saya dengan muka ketat

kawan saya yang berambut kental ketawa kecil melihat gelagat saya setelah meminum yang masin itu.

"sekarang kamu ikut aku,"kata kawan saya yang berambut kental.

kami bersama menuju ke sungai yang berada berhampiran dengan rumah taman yang kami sewa dengan membawa segenggam garam.

"ambil garam ni dan taburkan ia kedalam sungai,kemudian kamu minum air sungai itu,"suruh kawan saya yang berambut kental

saya pun mengambil garam yang berada didalam genggaman tangan kawan saya yang berambut kental,kemudian menaburkan garam tersebut ke sungai.Saya mengambil air sungai menggunakan tangan dan meminum air tersebut.

"aaahhh,airnya sungguh segar,"kata saya sambil mengelap bibir dengan telapak tangan.

"adakah ada rasa masin garam yang kamu taburkan tadi ke dalam sungai,"tanya kawan saya yang berambut kental

"tidak ada rasa masin,"kata saya sambil mengambil air sungai untuk membasuh muka.

"ermm..begitu juga dengan segala masalah dalam hidup ini seperti segenggam garam,tidak kurang dan juga tidak lebih,"kata kawan saya yang berambut kental.

"hanya segenggam garam,banyaknya masalah yang kamu hadapi atau sebesar mana pun masalah tersebut semuanya itu ditentukan oleh Allah bersesuaian dengan kamu,jumlahnya tetap tidak berkurang dan juga tidak bertambah.Setiap manusia yang lahir ke dunia ini pun begitu,tidak akan lepas dari menghadapi masalah dan penderitaan,"kata kawan saya yang berambut kental sambil meletakkan kedua-dua tangannya kedalam air sungai tersebut untuk merasa kesejukan air sungai barangkali.

saya terdiam sejenak dan bermonolog seorang diri,betul juga apa yang diperkatakan itu.

"tapi,rasa masin dari penderitaan yang dialami sangat bergantung kepada besarnya hati yang menampungnya,jadi berhentilah jadi gelas.Jadikan hati di dalam dadamu seperti sungai ini.,"sambung kawan saya yang berambut kental.