Saturday, August 3, 2013

Dewan Niaga 4

Dari kelas ABS

Tentang mazhab Lean Startup

Ahli ABS Tuan Zashidi Wahab adalah pemilik syarikat guaman dengan pengkhususan bidang kontrak jual-beli.

"Bercerita tentang lean start up.... Saya rasa saya telah mengamalkannya di usia yang muda (26 tahun).

Perniagaan pertama saya ialah memproses dan menjual tempe. Sekitar tahun 1997-1998 zaman kemelesetan ekonomi. Saya terkena tempiasnya.

Kawan saya pembuat tempe di Kulim, Kedah. Dia telah mengajak saya belajar buat tempe. Saya ikut beliau selama hampir dua minggu, makan minum beliau tanggung. Balik dari kursus dengan semangatnya saya mulakan perusahaan tempe.

Duit simpanan saya ada dalam RM1800. Saya mulakan dengan menyewa rumah di Kampung Jawa, Ulu langat, berseorangan. Sewa rumah RM100.

Saya ada sebuah motor hadiah dari ayah sempena saya graduate.

Permulaannya sayalah yang proses tempe menggunakan tangan, dan sayalah yang menghantarnya ke pasar.

Permulaan saya buat sekilo, dan saya tunjukkan kepada orang Kampung Jawa. Mereka suka.

Apabila permintaan sudah sampai satu guni kacang, saya tak boleh pakai tangan lagi, saya gunakan duit simpanan untuk beli mesin.

Apabila permintaan bertambah lagi, saya sudah tidak boleh proses sendiri, lalu saya cari orang dan ajar dia cara proses buat tempe.

Apabila tempe sudah mencecah tiga guni, saya sudah tidak mampu untuk 'deliver' semua, saya cari pembantu delivery.

Apabila perniagaan tempe sudah boleh bergerak sendiri saya ingin kembali ke bidang guaman saya semula.

Saya membuka firma guaman, ini pun saya buat cara lean start up juga.

Tahun 1999, saya sewa bilik di dalam pejabat kawan saya yang sudah ada kerusi dan meja (air cond tidak ada).

Saya gunakan duit simpanan beli computer dan printer. Pada masa itu sayalah pemilik firma dan sayalah budak pejabatnya.

Enam bulan kemudian, kawan saya pindah ke pejabat baru, maka tiada bilik lagi untuk saya melainkan bilik 'pantry room'. Maka pantry room itulah menjadi bilik saya.

Dalam tempoh setahun, saya ada kemampuan menyewa pejabat sendiri. Saya sewa pejabat pada kadar RM600 (pejabat size 700 kp, 3 bilik).

Di situlah saya melalui susah senangnya menjual diri saya. Sehinggalah ada satu induvidu yang namanya besar dalam pasaran menawarkan saya sebagai rakan kongsinya. Tawaran tersebut saya terima.

Dalam tempoh 7 tahun saya lalui hidup yang penuh 'prosper'. Saya beli rumah, beli tanah, melabur dalam unit apartment, condo untuk disewakan, beli kereta, saya tunaikan haji dan umrah, biayai orang tua saya, bantu adik adik belajar dan support mereka untuk memulakan perniagaan.

Hal-hal ini berlaku hasil dari strategi lean start up, yang mana jika saya tidak mulakan dulu, pasti saya tidak merasa."

No comments:

Post a Comment